
KINI tanpa sedar, kita berada di penghujung bulan yang mulia ini. Detik-detik terakhir ini bukanlah waktu untuk berasa letih atau mengendurkan ibadah, tetapi ia adalah saat yang penting untuk meraih sebanyak mungkin ganjaran dan keampunan daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW sangat menitikberatkan 10 malam terakhir Ramadan dengan meningkatkan ibadah dan berusaha sebaaiknya untuk mencari Lailatulqadar.
Dalam hadis riwayat Aisyah RA, beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuknya 10 malam terakhir (Ramadan), Baginda menghidupkan malam (dengan ibadah), membangunkan keluarganya dan mengikat kainnya (menjauhi isteri untuk lebih fokus beribadah).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Qadr, ayat 3 yang bermaksud: “Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Sesiapa yang beribadah pada malam tersebut akan mendapat ganjaran seperti beribadah selama lebih daripada 83 tahun. Lantaran itu, memperbanyakkan amal di penghujung Ramadan adalah satu usaha yang amat berbaloi.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang bangun (untuk beribadah) pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lampau.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Keberkatan Ramadan dapat dilihat dengan janji Allah SWT untuk mengurniakan nikmat dan pengampunan kepada semua hamba-Nya yang berpuasa dengan keikhlasan dan mencari reda-Nya.
Sabda Rasulullah SAW: “Semua amal bani Adam (manusia) akan digandakan kebaikan sepuluh kali sampai tujuh ratus kali ganda. Allah SWT berfirman kecuali puasa, maka ia untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan pahalanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Amalan Digalakkan Pada Akhir Ramadan
Pada penghujung Ramadan ini, umat Islam digalakkan untuk meningkatkan pelbagai amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Antara amalan yang boleh dilakukan adalah, beriktikaf di masjid. Beriktikaf merupakan salah satu amalan yang sangat digalakkan pada 10 hari terakhir Ramadan.
Iktikaf adalah berdiam diri di masjid dengan tujuan untuk beribdah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan ia memberi peluang untuk umat Islam lebih fokus beribadah, menghindari kesibukan dunia, dan meluangkan masa yang lebih banyak untuk berdoa, membaca al-Quran serta memohon keampunan daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW sendiri melakukan iktikaf pada sepuluh terakhir Ramadan, seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah RA: “Adalah Nabi SAW beriktikaf di sepuluh hari terakhir Ramadan dan beliau berkata: “Carilah malam Lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam masa yang sama, akhir Ramadan juga adalah waktu yang sangat sesuai untuk memperbanyakkan doa, istighfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
Doa pada Ramadan, terutamanya pada malam-malam terakhir, mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam Ramadan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang diberi taufik untuk beribadah pada malam itu, maka dia telah diberi kebaikan yang lebih baik daripada apa yang diberikan kepada orang yang beribdah seribu bulan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Doa merupakan medium yang paling mujarab untuk memohon kepada Allah SWT apa sahaja kebaikan, keampunan serta rahmat-Nya. Pada akhir bulan yang mulia ini, umat Islam digalakkan untuk memohon agar diberi kekuatan untuk terus berada di jalan yang lurus dan agar segala dosa-dosa yang lalu diampuni.

Kemuliaan akhlak Saidina Ali
SAIDINA Ali memiliki akhlak yang cukup indah. Manakan tidak, beliau membesar di rumah Rasulullah SAW. Selain itu, beliau merupakan menantu Rasulullah SAW yang selalu diberi tarbiyah, bimbingan dan panduan oleh baginda.
Sifat dan peribadi beliau dibentuk sendiri oleh Rasulullah SAW sebagaimana seorang ayah membentuk sifat anaknya. Oleh itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa akhlak Saidina Ali merupakan pantulan dari cahaya akhlak Rasulullah SAW.
Saidina Ali merupakan seorang yang pemalu. Namun begitu sifat malunya disulami dengan sifat kepahlawanan.
Saidina Ali juga terkenal sebagai seorang sahabat yang amat bersederhana dalam kehidupan sehariannya.
Beliau makan dari hasil titik peluhnya sendiri dan melakukan kerja rumah bersama isterinya sendiri seperti mengambil air dari telaga tanpa ada pembantu.
Bahkan isterinya, Saidatina Fatimah menggiling gandum dengan batu giling sehingga kedua tangannya melecet.
Mereka tidak menggunakan kedudukan mereka sebagai anak dan menantu Rasulullah SAW untuk mendapatkan kesenangan dunia.
Saidina Ali merupakan seorang insan yang dermawan. Beliau sangat ringan tangan untuk membantu orang-orang yang memerlukan.
Sedangkan kehidupan beliau tidaklah semewah mana. Namun itu bukanlah penghalang untuk beliau bersedekah.
Saidina Ali berkata, “Aku lebih suka mengumpulkan beberapa orang sahabatku untuk makan bersama dengan satu atau dua sha’ makanan daripada pergi ke pasar untuk memerdekakan seorang budak.”
Dikatakan bahawa Saidina Ali memiliki banyak harta wakaf yang dijadikan sebagai sedekah jariyah. Harta wakaf daripada beliau bernilai 40,000 dirham.
Suatu hari ketika Saidina Ali menjadi khalifah, datang seorang lelaki kepada Saidina Ali.
Lelaki itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, aku memerlukan bantuanmu Aku telah memintanya kepada Allah SWT sebelum memintanya kepadamu. Jika engkau memenuhi permintaanku ini aku akan memuji Allah dan berterima kasih kepadamu. Jika tidak, aku memuji Allah dan memaafkanmu.”
Saidina Ali membalas, “Tulislah di tanah, aku tidak mahu melihat pada wajahmu adanya kehinaan sifat meminta-minta”. Maka orang itu menulis “Aku orang yang memerlukan bantuan”.
Saidina Ali lantas berkata kepada pembantunya, “Bawakan padaku sehelai pakaian.”
Lalu dibawakan sehelai pakaian dan diberikannya pada orang itu. Orang itu segera mengambil dan memakainya, lalu memuji Ali dengan gubahan syair. Kemudian Saidina Ali berkata, “Bawakan padaku wang dinar.”
Maka dibawakan wang seratus dinar dan diberikannya kepada orang itu. Seseorang yang melihat kejadian itu bertanya kepada Saidina All, “Wahai Amirul Mukminin, engkau memberinya pakaian dan wang seratus dinar?”
Saidina Ali menjawab, “Ya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tempatkanlah seseorang itu sesuai dengan kedudukannya. Ini adalah kedudukan orang itu di sisiku.”
Oleh Hanzalah Azman