SALAH satu masalah besar timbul apabila Malaysia di ambang pembentukannya adalah penentangan dari pihak Indonesia. Presiden Sukarno telah mengisytiharkan konfrontasi ke atas Malaysia yang membawa kepada kempen kekerasan dan menganggu kehidupan masyarakat di sempadan Sarawak dan Kalimantan.
Pihak British dan kemudiannya kerajaan Malaysia melakukan usaha sedaya upaya untuk membanteras pencerobohan ini. Tentera British, Malaysia dan Komanwel bersama-sama membantu membanteras kegiatan pencerobohan ini. Namun demikian usaha ketenteraan ini memerlukan sokongan daripada penduduk tempatan yang mampu memberi maklumat tentang pergerakan tentera penceroboh dari Indonesia. Oleh itu pihak British mewujudkan ‘Border Scout’ atau Pasukan Pengakap Sempadan.
KEWUJUDAN
‘Border Scout’ telah ditubuhkan pada Mei 1963. Unit ini diwujudkan sebagai “frontier force” atau angkatan barisan hadapan. Unit ini telah diberi latihan yang terhad oleh Special Air Service (SAS) dalam kempen perang dalam hutan. Anggota ‘Border Scout’ ini telah dilatih di Sematan, Lundu.
Pengambilan ahli unit ini hanya kepada pemuda berusia 17 hingga 45 tahun. Jumlah anggota satu-satu unit ‘Border Scout’ ini juga tidak ramai. Ini kerana ia akan memudahkan pergerakkan mereka, dan tidak menganggu kehidupan penduduk yang diawasi. Mereka juga dibekalkan dengan senjata api. Tambahan daripada itu, unit ini juga dibekalkan dengan pakaian seragam berwarna hijau dengan lencana dan tanda bahu mereka sendiri.
‘Border Scout’ ini juga dianggap sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan. Hal ini dinyatakan oleh Majer Jeneral, W. C. Walter apabila beliau memuji unit ini bahawa, ‘mereka tahu laluan dan mereka bekerja keras.’ ‘Border Scout’ ini mempunyai fungsi mengumpul dan menghantar maklumat taktikal kepada pihak keselamatan. Tambahan daripada itu, mereka juga melakukan tinjauan di kawasan sempadan, menghantar maklumat tentang pencerobohan sempadan secara haram dan memberi semangat moral kepada penduduk di sempadan.
‘Border Scout’ berkhidmat minimum setahun dan layak mendapat bonus tahunan sebanyak $120. Namun demikian mereka hanya dibayar elaun apabila dipanggil bertugas. Mereka akan diberi gaji bulanan sebanyak $250 iaitu $120 untuk gaji pokok dan $130 ‘ration’.
OPERASI
Pada peringkat awal, ‘Border Scout’ ini ditugaskan menjaga sempadan di Bahagian Pertama dan Kedua. Ini kerana kawasan sempadan itu sering diserang dan diceroboh terutama di Gumbang dan Tebedu. Kebiasaannya mereka yang ditempatkan di kawasan sempadan adalah mereka yang berasal di kawasan tersebut dan mengenali kawasan berkenaan.
‘Border Scout’ ini telah dilatih pada Jun 1963, dan seramai 300 orang anggotannya telah bersiap sedia menjalankan tugas mereka di kawasan sempadan pada bulan berikutnya. Pada Julai 1963, ‘Border Scout’ ini telah meronda bersama-sama dengan tentera British di kawasan sempadan. Semangat mereka tinggi semasa membuat rondaan tersebut dan mengenali kawasan yang mereka lawati.
Pengalaman mereka berdepan dengan musuh pernah berlaku seperti di Gumbang pada Ogos 1963. Serangan daripada penceroboh sempadan ke atas kampung di Gumbang telah dipertahankan oleh ‘Border Scout’ bersama unit tentera lain, manakala pertempuran pada bulan yang sama di Long Lopeng, Bahagian Kelima membawa kepada korban pertama ‘Border Scout’.
Masalah korban ini tidak mematikan semangat ‘Border Scout’. Mereka bersama-sama tentera yang lain meneruskan rondaan di kawasan sempadan. Pertempuran di Long Jawai sekitar September 1963 merupakan antara pertempuran melibatkan ‘Border Scout’ bersama-sama pasukan Gurka dan Polis Hutan Sarawak berhadapan dengan penceroboh. Pertempuran yang memakan masa selama sembilan jam itu berjaya kerana pihak musuh kehabisan peluru.
KEKEJAMAN
Namun demikian kisah serangan di Long Jawai ini dicerita semula oleh Temenggung Jugah Barieng dalam lawatannyapada 2 April 1964 di Long Jawai. Dalam lawatan itu, Temenggung Jugah menyatakan bahawa tindakan penceroboh ini amat keji dan tidak beperikemanusiaan kerana menyeksa lapan anggota ‘Border Scout’ yang ditawan sebelum dibunuh.
Dalam lawatan tersebut Temenggung Jugah mewakili Kerajaan Persekutuan memberi sumbangan kepada keluarga mangsa yang terlibat. Sebanyak RM1,500 telah diberi kepada keluarga anggota yang terkorban dalam operasi tersebut. ‘Border Scout’ juga memain peranan berkesan apabila berjaya melakukan pengesanan pihak musuh di sempadan Balai Ringin. Hal ini berlaku pada awal April 1966 apabila penceroboh ini telah ditentang dengan senjata menyebabkan seorang musuh cedera dan yang lain sempat melarikan diri.
Pada 20 Mei 1966 sekumpulan pasukan ‘Border Scout’ berjaya mengesan penceroboh yang berada di Gunung Gading. Atas usaha ‘Border Scout’ ini membawa kepada tindakan menghapus kumpulan penceroboh. Menurut Leftenan Kedua, Dunstan Ak Nyaring yang mengetuai serangan tersebut pihaknya meminta penceroboh menyerah diri tetapi saranan mereka dibalas dengan tembakan. Pertempuran itu berakhir dengan pengunduran pihak penceroboh.
KOMUNIS
Apabila tamatnya konfrontasi pada sekitar Ogos 1966, ‘Border Scout’ ini telah menumpukan pula kepada usaha membanteras kegiatan komunis di Sarawak. Pada 1971 anggota ‘Border Scout’ yang bertaburan disusun semula menjadi satu unit baharu. Penyusunan semula unit ini mengubah peranan mereka. Antara peranan mereka adalah melakukan rondaan dan memberi keselamatan serta melindungi kawasan yang ditugaskan.
Mereka juga mengumpul dan melaporkan maklumat tentang pihak musuh kepada Pegawai Cawangan Khas Bahagian. Tambahan daripada itu mereka juga menguatkuasa keadah kawalan makanan apabila diarahkan di kawasan yang dijaga, dan mengambil tindakan segera ke atas keberadaan pihak komunis di kawasan jagaan mereka. Berdepan dengan kegiatan bersenjata komunis ini, ‘Border Scout’ juga tidak terlepas daripada bahaya yang menimpa anggotanya. Kejadian serangan hendap oleh pihak komunis di Sungai Pra, Song merupakan antara salah satu kejadian genting dihadapi oleh unit tersebut. Kejadian yang berlaku pada 27 Ogos 1970 telah mengorbankan beberapa anggota ‘Border Scout’.
Bagi mengenang jasa yang diberikan oleh anggota yang terkorban ini, pihak kerajaan memberi sagu hati sebanyak $2,000 setiap seorang, manakala anggota yang tercedera pula menerima $1,000 setiap seorang. Begitulah pentingnya unit keselamatan ini untuk mempertahankan bukan setakat nyawa atau harta benda tetapi juga kedaulatan negara. Usaha ‘Border Scout’ ini boleh diiktiraf sebagai satu usaha yang berkesan dalam membantu menjaga sempadan Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).