SIBU: Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) telah dianugerahkan status universiti penuh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 20 November 2020.
Kini, UCTS dikenali sebagai Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Awam Kerajaan Negeri Sarawak atau ‘Public Sarawak State-owned University’.
Majlis pelancaran UTS yang berlangsung petang semalam telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ketua Menteri berkata, sempena dengan pelancaran itu Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan insentif kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di UTS.
Katanya, inisiatif tersebut ialah UTS Foundation Scholarship dibiayai oleh Kerajaan Sarawak untuk semua pelajar.
“Biasiswa ini adalah dalam bentuk yuran pengajian berjumlah RM10,000 bagi setiap pelajar. Biasiswa Kerajaan Sarawak untuk tujuan ini adalah berjumlah RM5.5 juta hingga RM7.5 juta setahun,” jelasnya pada sidang media selepas majlis perasmian tersebut, petang semalam.
Ketua Menteri berkata, UTS Undergraduate and Postgraduate Sholarship dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, Skim Biasiswa Khas untuk warga Sarawak dengan 50 peratus pengurangan yuran pengajian untuk semua program pra-siswazah dan pascasiswazah.
“Berdasarkan unjuran lima tahun ini, ini menunjukkan sumbangan dan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak berjumlah RM17.2 juta sehingga RM27 juta setahun,” ujarnya.
Katanya, UTS Bursary Scheme untuk warga Sarawak kategori B40 dan M40, skim biasiswa hasil kerjasama pihak UTS dan Yayasan Sarawak bertujuan membantu warga Sarawak dari kategori B40 dan M40 dengan pengurangan 80 peratus yuran pengajian.
“Skim ini akan menampung seramai 100 pelajar Bumiputera dan 100 pelajar bukan Bumiputera setahun. Berdasarkan unjuran lima tahun, ini melibatkan sumbangan dan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak berjumlah RM3 juta setahun,” ujarnya lagi.
Bantuan kewangan yang lain daripada Yayasan Sarawak, katanya lagi, dalam bentuk pinjaman pelajaran tanpa faedah untuk menampung pembelajaran serta kos sara hidup semasa melanjutkan pelajaran di UTS.
“Dengan adanya biasiswa dan insentif kewangan yang lain, ia akan memberikan lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak di semua peringkat untuk melanjutkan pelajaran ke UTS yang merupakan milik penuh Kerajaan Sarawak.
“Inisiatif ini akan memberi akses yang lebih besar kepada pendidikan tinggi kepada semua pelajar yang berada di kawasan luar bandar terutamanya pelajar dari kategori B40 dan M40,” ujar beliau.
Dalam sidang media yang sama, Ketua Menteri bersetuju dengan cadangan Pengerusi UTS, Dr Annuar Rapa’ee tentang penubuhan Kerusi Penyelidikan (Research Chair) baharu iaitu “Datuk Patinggi Dr. Wong Soon Kai Research Chair In The Medical Devices Technology and Innovation.
“Pembiayaan untuk kerusi ini akan ditaja oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR),” ujarnya lagi.
Oleh AKUN GIMAN