

Oleh:Abang Median Abang Said
TRAUMAN CAPOTE (1924-1984), seorang penulis Amerika pernah ditanya sama ada tugasan menulis boleh diajar. Penulis berkenaan tegas menjawab, “Tidak.” Kemudian, beliau menegaskan bahawa penulisan kreatif memerlukan bakat yang perlu bergerak selari dengan pembacaan meluas. Perkara ini selari dengan pandangan Ralph Waldo Emerson (1803-1882), “Bakat sahaja tidak mampu membuat seseorang menjadi penulis. Dia juga harus suka membaca.”
Membaca cerpen “Gema Gong di Hati”karya Reagan Niru, bakat kepengarangan penulis begitu terserlah, lebih-lebih lagi cerpen ini merupakan karya pertamanya yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS). Cerpen yang dihasilkan menepati beberapa ciri cerpen yang menarik.
AS Laksana menegaskan bahawa cerpen yang menarik perlu diolah dengan pembukaan yang memikat – perenggan awalnya perlu mampu merangsang minat pembaca dengan perasaan ingin tahu yang mendalam terutama melalui konflik atau deskripsi yang menghantar pembaca ke dalam cerita berkenaan.
Cerpen “Gema Gong di Hati”mempunyai pendahuluan yang menarik dan pembaca dapat mengagak bahawa tema yang akan diungkap oleh penulis adalah bersangkutan dengan budaya. ‘Gong’ yang merupakan alat muzik tradisional telah dijadikan simbol untuk dikaitkan dengan tradisi dan budaya lebih-lebih lagi melalui nyanyian Dayung Borih. Biarpun semua yang berlaku dalam perenggan awal itu merupakan paparan mimpi tetapi tentunya mimpi itu muncul daripada gelodak jiwa atau kerusuhan yang ada dalam minda watak utama cerpen tersebut.
Antara kekuatan yang paling nyata menerusi cerpen ini ialah pengolahan gaya bahasa yang menarik. Penulis telah memilih kata dan gaya penulisan yang mampu mencipta suasana dan menyampaikan emosi sehingga aspek dalaman yang dialami oleh watak utama melekat dalam jiwa pembaca. Umpamanya, pengolahan bahasa penulis untuk menggambarkan keistimewaan makanan tempatan. Makanan itu seolah-olah berada di hadapan pembaca untuk dinikmati:
Setiap suapan pekasam ikan yang aku rasakan bagaikan satu kenikmatan yang tiada tandingan. Rasa masin yang lemak dari ikan yang diperap sempurna begitu menyatu dengan kehangatan sambal cili padi yang pedas dan beraroma pembuka selera. Setiap kali aku menggigit, rasa pekasam yang agak kuat itu membangkitkan selera, sementara sambal cili yang pedas menyegarkan tekak, menjadikan aku tidak berhenti menikmatinya.
Pengolahan gaya bahasa yang menarik daripada penulis telah berjaya memberikan gambaran realistik tentang kearifan lokal dalam aspek pemakanan masyarakat tempatan.
Sesebuah cerpen yang baik perlu mempunyai gambaran latar yang kuat untuk mendeskripsi tempat, waktu atau suasana yang akan mendukung perjalanan naratif. Gambaran latar akan menjadikan sesebuah karya itu dirasai impaknya oleh khalayak pembaca. Bacalah novel Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer – gambaran latar dalam novel berkenaan memberi kesan yang mendalam tentang konteks perjuangan identiti bangsa, keadilan dan kemanusiaan di Pulau Buru melalui watak Mingke, Annelies atau Nyai Ontosoroh.
Menerusi cerpen “Gema Gong di Hati”, penulis telah menggambarkan suasana di rumah gawai suatu ketika dahulu termasuk gerakan dan langkah dayung borih, babai pinyigar dan babai pinguguoh yang menari mengelilingi bawar. Pesta tersebut kali terakhir dihadiri oleh ‘aku’ pada bulan Jun tahun 2018 dengan suasana yang penuh meriah dan menggembirakan. Sewaktu menghadiri perayaan tersebut, ‘aku’ dan dua orang saudaranya, Ik Wadell dan Richard de Rozario akan berkampung bersama-sama pengamal adat untuk merasai suasana yang penuh dengan tradisi dan budaya. Tempat ini menjadi ruang untuk mereka mempelajari nilai kebersamaan, penghormatan terhadap alam, serta kepentingan memelihara warisan nenek moyang yang diraikan selama empat hari tiga malam.
Penulis telah menggambarkan bahawa lagu borih yang dinyanyikan dayung borih di atas ayun itu bukan sekadar nyanyian, tetapi juga suatu bentuk komunikasi dengan roh leluhur untuk memohon restu dan berkat agar hasil tanaman pada tahun itu melimpah ruah. Dalam setiap bait lirik, ada pengharapan dan rasa syukur yang mendalam, seolah-olah mereka berbicara langsung kepada tanah dan langit, memohon agar segala usaha mereka mendapat hasil yang sebaik-baiknya.
Biarpun penulis mampu mencitrakan latar cerpen dengan baik, namun masih terdapat beberapa kekaburan yang perlu dirincikan dengan baik oleh penulis agar pembaca berada dalam gambaran naratif cerpen berkenaan. Jikalau perlu, masukkan dua hingga tiga baris lirik lagu borih untuk menunjukkan makna dalam liriknya yang dikatakan satu bentuk komunikasi dengan roh leluhur. Penulis juga perlu merincikan perbezaan antara perayaan Hari Gawai dan rumah gawai kerana pembaca yang kurang mengetahuinya, tidak dapat membayangkan gambaran yang sebenar. Selain itu, penulis perlu menyediakan glosari untuk menerangkan penggunaan bahasa sukuan atau istilah yang digunakan dalam cerpen agar pembaca mendapat gambaran yang lebih tuntas. Pembaca tentu akan tertanya-tanya tentang ‘bawar’ dan ‘dayung borih’ yang ada dimasukkan dalam cerpen berkenaan.
Cerpen “Gema Gong di Hati”ini juga boleh diklasifikasikan sebagai cerpen yang baik kerana mampu mempertautkan tema dengan pembaca dan beresonansi pula dengan kehidupan atau memberi sudut pandang baharu. Penulis telah menulis tentang tema budaya yang menjadi tema yang sangat menonjol untuk sesetengah penulis tempatan mahupun antarabangsa. Pertembungan antara kehidupan moden dan pengekalan tradisi menjadi antara konflik dalam cerpen ini, termasuk kekhuatiran watak utamanya tentang perayaan Hari Gawai yang sudah semakin jauh berubah. Penulis menghubung kait perkara tersebut dengan akar tradisi yang turut menjadi simbol untuk dipertahankan supaya tidak pupus ditelan zaman. Perayaan Hari Gawai dijalankan bukan hanya sekadar untuk keseronokan, malah mempunyai nilai dan makna yang tersisip jelas untuk dihayati.
Antara penulis barat yang sering menulis tentang budaya ialah Jhumpa Lahiri yang menggambarkan kehidupan masyarakat imigran India di Amerika Syarikat. Koleksi cerpennya, Interpreter of Maladies telah mengeksplorasi tema identiti, konflik budaya dan hubungan manusia. Penulis dari Nigeria, iaitu Chimamanda Ngozi Adichie pula menulis tentang pertembungan budaya Afrika dan Barat seperti dalam koleksi cerpennya, The Thing Around Your Neck yang menggambarkan pengalaman diaspora Nigeria dan isu-isu gender, kuasa serta ketidakadilan.
Walau bagaimanapun, tema yang diangkat oleh penulis menerusi cerpen “Gema Gong di Hati”pula agak kabur dan dinyatakan secara umum. Mengapa rumah gawai yang berhampiran dengan rumah nenek ‘aku’ semakin sunyi? Mengapa upacara gawai tidak lagi dirayakan dalam bentuk asalnya? Alasan yang dipilih oleh penulis terlalu umum dan tidak kukuh, iaitu generasi muda telah berhijrah ke kota dan terpengaruh dengan teknologi moden. Penulis perlu merincikan alasan itu secara tuntas dan mendalam – bukan hanya menerangkannya secara umum dan berandaian bahawa pembaca mengetahui sendiri sebabnya. Pembaca akan mempersoalkan alasan yang diberikan. Umpamanya, penghuni rumah panjang yang bekerja di kota boleh sahaja balik ke kampung masing-masing. Lagipun, kawasan pedalaman telah dihubungi dengan jalan pengangkutan darat yang lebih baik berbanding dahulu. Alasan meletakkan teknologi sebagai punca menghilangkan kemeriahan perayaan berkenaan juga masih boleh dipersoal dan diperdebatkan.
Flannery O’Connor dalam bukunya Mystery and Manners telah membahaskan proses kreatif dan filosofi di sebalik penulisan cerita pendek, yakni dengan menghubungkan setiap titik persoalan dan merungkai setiap permasalahan antara watak dengan peristiwa untuk memberikan kejelasan kepada pembaca. Perkara ini perlu dilakukan oleh penulis dengan baik menerusi cerpen “Gema Gong di Hati”.
Sesebuah cerpen yang baik juga perlu mempunyai konflik yang relevan sehingga melonjakkan minat pembaca. Apakah konflik yang diangkat oleh penulis dalam cerpen ini? Penulis sebenarnya telah memilih konflik yang baik, iaitu tentang elemen budaya yang kian menipis dalam kalangan masyarakat Dayak sewaktu merayakan Hari Gawai, termasuk masyarakat Dayak moden yang tinggal di kota dan tidak balik ke kampung sewaktu perayaan berkenaan. Perkara ini berlaku kepada watak ‘aku’ sendiri yang kali terakhir balik pada Jun 2018. Dia pula melontarkan kerisauan itu kepada penghuni kota yang lain. Persoalannya, mengapa ‘aku’ sendiri jarang balik sewaktu perayaan? Perkara ini tidak dijelaskan oleh penulis dalam cerpen ini. Watak ‘aku’ tidak mempunyai konflik dengan ahli keluarganya. Dia tidak keberatan untuk balik ke kampung apabila diminta oleh ibunya. Jadi mengapa, dia jarang balik sewaktu perayaan? Perkara inilah yang tidak dijelaskan oleh penulis dalam cerpennya. Ada aspek yang tergantung dalam penyusunan rentetan plot dalam cerpen berkenaan.
Ritma naratif yang disusun oleh penulis juga agak monotonous dan mendatar seperti juga tentang perayaan yang dirayakan di rumah gawai yang semakin dilupakan. Tiada konflik menanjak antara watak ‘aku’ dengan ahli keluarganya sehingga berlakunya kerenggangan yang mengendurkan kemeriahan perayaan berkenaan. Tentu lebih baik dan menarik jikalau penulis turut memasukkan aspek perselisihan faham antara ahli keluarga ‘aku’ dalam cerpen tersebut untuk melonjakkan aspek ketegangan dalam karya berkenaan. Umpamanya, jikalau watak ‘nenek’ itu dimatikan, perkara itu boleh dijadikan simbol tentang tradisi yang pupus dan kesedihan watak ‘aku’ kerana mengecewakan harapan watak tersebut dengan rajuknya yang berpanjangan. Cerpen itu boleh diakhiri dengan tekad aku untuk meneruskan kemeriahan rumah gawai supaya tidak terus sepi dan dilupakan. Mungkin dengan penyusunan plot yang sedemikian, akan lebih menimbulkan konflik dan elemen dramatik dalam cerpen berkenaan.
Walau bagaimanapun, semua itu hanya merupakan cadangan untuk penambahbaikan daripada binaan plot yang disusun oleh penulis yang turut ada meletakkan simbol dan unsur falsafah dalam cerpen yang ditulisnya:
Aku mengusap air mata yang jatuh perlahan, kemudian bangkit dari tangga rumah gawai itu. Aku menoleh sekali lagi ke arah rumah gawai yang penuh sejarah ini, terasa seperti ada ikatan yang kuat antara diriku dengan setiap dinding, setiap tiang yang menyokongnya. Rumah gawai ini bukan hanya sebuah struktur kayu, tetapi ia adalah simbol kehidupan dan identiti masyarakat yang telah mewarisinya. Ia adalah tempat di mana cerita-cerita lama disampaikan, tempat di mana generasi bertemu dan berhubung, tempat di mana tradisi dipelihara dan dihargai.
Tentunya, penerapan falsafah struktur kayu yang digarap oleh penulis dalam karya awalnya ini merupakan sesuatu yang sangat menarik. Karya ini seolah-olah bukan karya seorang penulis yang baru berjinak dalam penulisan kreatif. Terserlah bakat dan keupayaannya mengolah idea, gagasan dan falsafah yang menarik. Perkara inilah yang perlu diteruskan kelangsungannya oleh penulis, ditambah lagi dengan beberapa cadangan yang telah dinyatakan tadi.
Menurut Edgar Allan Poe, sesebuah cerpen yang menarik perlu mempunyai klimaks yang mengejutkan atau mampu menggoncang perasaan pembaca. Perkara ini selari dengan karyanya, iaitu The Tell-Tale Heart yang mengisahkan tentang watak ‘aku’ (narator) yang menceritakan bagaimana dia membunuh seorang lelaki tua kerana terganggu oleh “mata burung hantunya” yang menyeramkan. Dia menyembunyikan mayat lelaki itu di bawah lantai rumahnya. Sewaktu polis datang menyiasat di rumahnya, sang narator yang menjadi watak utama dalam cerpen berkenaan telah mula mendengar degup jantung lelaki tua itu dari bawah lantai sehingga dia mengaku bersalah kerana merasa sangat tertekan seperti orang gila tatkala mendengar degup jantung orang yang dibunuhnya. Klimaks cerpen ini begitu menegangkan kerana menggambarkan psikologi penjenayah yang dihantui rasa bersalah sehingga memberikan pengalaman hebat kepada pembaca.
Pengalaman dan perasaan tersebut kurang dirasai apabila membaca “Gema Gong di Hati”. Tentu tidak adil apabila membandingkan pengalaman membaca karya penulis hebat seperti Edgar Allan Poe dengan karya penulis yang baru berjinak-jinak menulis karya kreatif seperti Reagan Niru. Cuma penulis perlu mengambil semangat dan pendekatan penulis-penulis hebat berkenaan. Penulis perlu membaca karya-karya yang menarik sama ada penulis tempatan atau luar negara untuk mengetahui dan menilai cara penyusunan plot dilakukan dengan berkesan.
Klimaks yang diolah menerusi cerpen “Gema Gong di Hati”pula agak mendatar dan tidak mendatangkan kesan yang mendalam kepada pembaca – mungkin disebabkan konflik yang diolah oleh penulis. Konflik dan klimaks merupakan dua elemen yang akan bergerak selari untuk membentuk plot yang menarik. Seorang penulis karya prosa sama ada penulis cerpen atau novel perlu menjadi pencerita yang hebat dan menguasai seni bercerita dengan baik. Pencerita yang baik perlu pula mempunyai penguasaan bahasa yang lancar. Elemen ini pula dimiliki oleh penulis. Maknanya penulis hanya perlu meningkatkan kualiti penulisan kreatifnya dalam aspek penyusunan plot.
Penulis boleh merangka draf penulisan cerpen dengan menentukan idea utama atau tema yang ingin ditulis terlebih dahulu sebelum menyusunnya dalam struktur plot dasar. Kemudian penulis perlu membangunkan karakter yang menggerakkan cerita dengan memastikan watak berkenaan mempunyai perubahan emosi dengan sifatnya yang manusiawi – ada kekuatan dan kelemahan – agar watak tersebut realistik dalam minda pembaca. Penggunaan peta plot dengan membuat kerangka cerita dengan isi-isi penting akan dapat banyak membantu penulis agar naratif yang disusun tidak akan tersasar. Daripada peta plot ini jugalah, penulis akan dapat memasukkan elemen kejutan dan juga plot twist untuk menjadikan cerpen berkenaan tidak terlalu mudah untuk dijangka.
Secara keseluruhannya, cerpen “Gema Gong di Hati”tetap merupakan sebuah cerpen yang menarik dalam memperkatakan tentang nilai budaya yang kian hilang dalam masyarakatnya disebabkan penghijrahan generasi muda ke kota dan juga tentang pengaruh teknologi yang perlu ditangani sebijaknya. Perkara ini turut ditonjolkan oleh penulis apabila watak ‘aku’ ingin menjadikan teknologi sebagai alat penyelesaian kepada konflik yang dihadapi seperti paparannya dalam perenggan kedua terakhir cerpen berkenaan:
Aku berjanji kepada diriku, aku tidak akan membiarkan budaya ini hilang begitu sahaja. Aku akan mencari jalan, mungkin dengan menggunakan teknologi, mungkin dengan mendokumentasikan cerita-cerita ini, atau dengan mengajak orang muda kembali ke akar budaya mereka. Aku tahu, walaupun ramai yang memilih untuk bergerak maju ke dunia moden, ada ruang untuk kita menyimpan dan merayakan warisan yang telah membentuk kita.
Akhir kata, semoga kemajuan teknologi akan turut menjadi wahana yang akan memudahkan penulis untuk mencari, menyelongkar dan membaca karya-karya penulis luar yang boleh dijadikan landasan untuknya terus menapak menghasilkan karya yang baik.
Sekali lagi, tahniah kepada penulis kerana cerpen pertama yang tersiar dalam ruangan WBS ini menonjolkan bakat yang menyerlah untuk terus digilap menjadi permata.