Menelusuri Kasih, Maruah dan Kuasa dalam Cerpen “Antara Dua Diam”

Facebook
WhatsApp

KASIH seorang ayah lazimnya dibayangkan sebagai tempat seorang anak berlindung, tangan yang memimpin ketika langkah masih kecil dan suara yang memberikan keyakinan ketika dunia terasa asing.

Namun, kasih juga boleh berubah apabila harapan bertukar menjadi tuntutan, tuntutan menjadi kawalan dan kawalan akhirnya merampas ruang seorang anak untuk menentukan kehidupannya sendiri.

Persoalan inilah yang menjadi nadi cerpen “Antara Dua Diam” karya Mohd Hapizan; sebuah kisah keluarga yang kelihatan sederhana tetapi menyimpan konflik tentang kasih, maruah, keturunan dan hak seseorang menentukan jalan hidupnya.

Cerpen ini disampaikan melalui sudut pandangan orang pertama, iaitu seorang bapa yang mengisahkan perjalanan hidup puteri sulungnya, Arya Adira, sejak dilahirkan sehingga dewasa.

Pilihan sudut pandangan ini merupakan salah satu kekuatan utama karya kerana pembaca tidak menilai si bapa dari luar tetapi dibawa masuk ke dalam fikirannya.

Melalui suara “aku”, pembaca mengetahui bahawa segala keputusan terhadap Arya lahir daripada keyakinannya bahawa dia sedang menjaga masa depan anak.

Namun, semakin cerita berkembang, pembaca mula menyedari bahawa kasih yang diyakininya sebagai perlindungan perlahan-lahan berubah menjadi penguasaan.

Sejak pembukaan, pengarang sudah meletakkan benih konflik tersebut. Ketika pertama kali mendukung Arya, si bapa mengazankan anaknya dan berjanji untuk menjaganya.

Bersamaan dengan janji itu muncul pula harapan supaya Arya menjaga nasab, maruah keluarga dan “keturunan yang baik”. Pada peringkat awal, ungkapan tersebut mungkin kedengaran seperti harapan biasa seorang ayah.

Namun apabila gagasan yang sama terus menguasai setiap tahap kehidupan Arya, pembaca mula menyedari bahawa nama dan keturunan telah menjadi semacam prinsip hidup yang menentukan cara si bapa memahami kasih.

Dari aspek tema, cerpen ini mengetengahkan konflik antara kasih sayang ibu bapa dengan kecenderungan mengawal kehidupan anak atas nama kebaikan dan maruah keluarga. Tema itu berkembang dengan konsisten.

Ketika Arya masih bersekolah, dia diingatkan tentang makna nama dan darah keturunannya. Apabila mendapat nombor dua dalam kelas, kejayaannya tidak diraikan sepenuhnya kerana bapanya mahukan tempat pertama.

Apabila dewasa, bapanya menentukan pula soal pengajian, pekerjaan dan akhirnya pasangan hidup. Dengan demikian, tema tidak muncul melalui penerangan semata-mata tetapi berkembang bersama usia dan pengalaman Arya.

Struktur cerita yang berbentuk episodik turut menjadi kekuatan cerpen. Melalui lompatan masa, pembaca dibawa daripada kelahiran Arya kepada zaman persekolahan, pengajian tinggi, graduasi, alam pekerjaan dan konflik perkahwinan.

Teknik ini memungkinkan tempoh kehidupan yang panjang dipadatkan dalam ruang cerpen. Lebih penting, setiap episod meningkatkan tahap penguasaan bapa terhadap kehidupan Arya: daripada nama, pencapaian akademik dan pendidikan kepada kerjaya serta jodoh.

Anjakan konflik ini tersusun dengan baik. Pada awalnya, si bapa hanya meletakkan harapan. Apabila Arya mendapat nombor dua, dia bertanya, “Kenapa bukan nombor satu?” walaupun mengetahui anaknya telah belajar bersungguh-sungguh.

Selepas itu, harapan berubah menjadi arahan apabila Arya diminta menyambung pengajian ke luar negeri.

Bantahan Arya tidak benar-benar membuka ruang perbincangan kerana bapanya yakin bahawa orang tua lebih mengetahui apa yang terbaik. Konflik akhirnya sampai ke kemuncak apabila dia mahu menentukan pasangan hidup anaknya.

Pembinaan watak si bapa merupakan antara kekuatan terbaik cerpen ini. Dia tidak digambarkan semata-mata sebagai seorang ayah yang kejam. Sebaliknya, kasihnya terhadap Arya memang wujud.

Dia mengetahui anaknya belajar sehingga tertidur kerana dialah yang memindahkan Arya ke bilik. Dia sanggup memikirkan soal pembiayaan pengajian anak, meskipun kemampuan kewangannya sendiri dipersoalkan.

Tragedi watak ini terletak pada paradoksnya: seorang ayah boleh benar-benar menyayangi anak tetapi pada masa yang sama menjadi sumber luka terbesar kepadanya.

Sudut pandangan orang pertama menguatkan lagi paradoks tersebut. Si bapa berkali-kali membenarkan tindakannya dengan alasan bahawa semuanya dilakukan demi kebaikan Arya.

Dia yakin bahawa pengalaman hidup memberinya hak menentukan jalan terbaik. Pembaca bagaimanapun dapat melihat sesuatu yang tidak disedari oleh narator.

Si bapa melihat tindakannya sebagai perlindungan sedangkan pembaca mulai melihatnya sebagai pemaksaan. Jurang antara keyakinan watak dengan penilaian pembaca ini mewujudkan ironi yang memberikan kedalaman kepada cerita.

Watak Arya pula banyak dibina melalui unsur “diam”, sesuai dengan judul cerpen. Sejak kecil, Arya lebih banyak mengangguk, menurut dan berdiam diri. Namun apabila dewasa, diam yang awalnya melambangkan kepatuhan perlahan-lahan berubah menjadi kekecewaan dan akhirnya jarak.

Oleh sebab Arya begitu lama berdiam, ledakan emosinya pada bahagian kemuncak mempunyai kekuatan tersendiri apabila dia akhirnya menyatakan bahawa sejak kecil bapanya tidak pernah bertanya apa keinginan sebenarnya.

Pada titik ini, “diam” bukan lagi sekadar ketiadaan suara tetapi menjadi lambang hubungan yang gagal berkomunikasi.

Watak ibu Arya meskipun tidak dominan, berfungsi sebagai suara kesedaran yang mengimbangi tindakan suaminya. Senyuman kelatnya dan pertanyaan, “Masa depan anak, atau masa depan abang?” memperlihatkan bahawa dia lebih awal menyedari kekeliruan si bapa antara kepentingan Arya dengan kehendaknya sendiri.

Judul “Antara Dua Diam” dengan demikian mempunyai pertalian yang organik dengan cerita. Diam hadir dalam pelbagai bentuk: diam kerana menurut, diam kerana kecewa, diam kerana marah dan akhirnya diam yang muncul antara bapa dengan anak ketika mereka cuba berdamai melalui telefon.

Judul tersebut bukan sekadar diambil daripada frasa di penghujung cerita tetapi boleh dibaca sebagai gambaran seluruh hubungan dua manusia yang terlalu lama gagal menyatakan perkara penting kepada satu sama lain.

Satu lagi unsur yang menarik ialah simbol tangan yang menghubungkan pembukaan dengan penutup. Cerita bermula apabila seorang ayah memegang anaknya yang baru lahir.

Pada akhir cerita, dia kembali memandang tangan yang sama dan menyedari bahawa tangan itu sepatutnya melindungi, bukan memaksa. Struktur bulatan ini memberikan kesatuan kepada keseluruhan naratif.

Tangan yang pada awalnya melambangkan perlindungan akhirnya menimbulkan persoalan tentang perbezaan antara memegang dengan menggenggam.

Ironi paling ketara muncul apabila konsep “keturunan yang baik” yang begitu diagungkan oleh si bapa akhirnya dipersoalkan oleh peristiwa itu sendiri. Dia memilih anak majikan Arya kerana keluarga tersebut dianggap memiliki akhlak, harta dan keturunan yang baik.

Namun lelaki itu rupa-rupanya sudah beristeri dan mempunyai anak, manakala bapanya pula merendahkan isteri pertama sebagai “orang biasa”. Pada titik ini, konsep keturunan yang selama ini menjadi kebanggaan watak “aku” mula mengalami keretakan.

Cerpen secara tidak langsung mengajak pembaca bertanya: apakah makna keturunan yang baik jika nilai kemanusiaan dan perasaan orang lain boleh diketepikan?

Walaupun cerpen ini mempunyai banyak kekuatan, terdapat beberapa aspek yang masih boleh dipertingkatkan untuk membawa karya ke tingkat pengucapan yang lebih matang.

Kelemahan paling ketara ialah kecenderungan pengarang untuk menerangkan semula makna sesuatu adegan setelah maknanya sebenarnya sudah dapat difahami oleh pembaca.

Sebagai contoh, selepas perbualan tentang pengajian Arya, si bapa terus menerangkan bahawa segala tindakannya dilakukan demi kebaikan anak.

Dijelaskan juga bahawa Arya akan berterima kasih suatu hari nanti dan pengalaman hidup membuatkannya lebih mengetahui jalan yang betul.

Sebahagian monolog ini memang penting untuk membina psikologi watak tetapi apabila terlalu banyak penjelasan dibuat, ruang tafsiran pembaca menjadi semakin sempit.

Dalam penulisan cerpen, pengarang perlu mempercayai kekuatan adegan dan dialog. Kadangkala satu ayat seperti “Dia akan berterima kasih kepadaku suatu hari nanti” sudah cukup untuk memperlihatkan keyakinan, kasih dan keangkuhan halus watak tersebut.

Pemadatan seperti ini akan menjadikan naratif lebih tajam dan memberikan ruang kepada pembaca untuk melakukan penilaian sendiri.

Bentuk episodik yang menjadi kekuatan cerpen turut membawa satu kelemahan kecil. Bahagian tengah kadangkala terasa seperti rentetan peristiwa yang digunakan untuk membuktikan bahawa si bapa semakin mengawal kehidupan Arya: pencapaian sekolah, pengajian, pekerjaan dan akhirnya perkahwinan.

Setiap episod mempunyai fungsi yang jelas, tetapi hubungan antara satu episod dengan episod berikutnya kurang dikembangkan sehingga perjalanan hidup Arya kadangkala terasa seperti rangkaian peristiwa yang disusun semata-mata untuk memperkukuh tema.

Pengarang boleh membina kesinambungan emosi yang lebih halus antara episod, misalnya melalui objek, kenangan atau imej tertentu yang terus hadir bersama perubahan usia Arya. Dengan itu, lompatan masa akan terasa sebagai satu kehidupan yang mengalir, bukannya beberapa peristiwa yang dipisahkan oleh masa.

Konflik perkahwinan juga boleh diperhalus. Pendedahan bahawa calon yang dipilih sudah mempunyai isteri dan anak memang menaikkan ketegangan cerita.

Namun apabila bapanya pula merendahkan isteri pertama sebagai “orang biasa”, konflik menjadi terlalu mudah dibaca secara hitam-putih. Pembaca tidak mempunyai kesukaran lagi menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah.

Sedangkan kekuatan bahagian awal cerpen terletak pada wilayah moral yang lebih kelabu. Si bapa benar-benar menyayangi Arya tetapi salah dalam cara menyayangi. Jika calon yang dipilih merupakan seorang lelaki yang baik, berpendidikan, berkemampuan dan belum berkahwin tetapi Arya tetap tidak mahu menerimanya, konflik akan menjadi lebih rumit.

Persoalannya bukan lagi sekadar tentang kesalahan memilih lelaki beristeri tetapi tentang sejauh mana seorang bapa berhak menentukan “yang terbaik” untuk anak apabila pilihan tersebut pada pandangan masyarakat memang kelihatan baik.

Dengan cara ini, persoalan utama cerpen akan menjadi lebih tajam: adakah kasih memberikan seseorang hak untuk menentukan kehidupan orang yang dikasihinya?

Watak Arya juga masih boleh diberikan kedalaman psikologi yang lebih besar. Pembaca mengetahui banyak perkara tentang apa yang bapanya mahu daripada Arya tetapi kurang mengetahui siapa Arya sebenarnya.

Apakah cita-citanya? Apakah minatnya? Apakah pekerjaan yang benar-benar diingininya? Pengarang tidak perlu menukar sudut pandangan kepada Arya kerana perspektif bapa ialah kekuatan cerpen.

Sebaliknya, dunia Arya boleh diperlihatkan melalui perkara kecil yang dilihat tetapi tidak pernah diberi perhatian oleh bapanya.

Misalnya, si bapa mungkin sentiasa melihat sebuah buku, lukisan atau benda tertentu di bilik Arya tetapi tidak pernah bertanya tentangnya. Kemudian, apabila Arya mendapat pekerjaan yang diminatinya, pembaca menyedari bahawa selama bertahun-tahun si bapa tinggal bersama anak itu tetapi sebenarnya tidak benar-benar mengenalinya. Teknik seperti ini akan menambahkan kedalaman cerita tanpa memerlukan penerangan panjang.

Bahagian peleraian juga masih boleh dimurnikan. Selepas sekian lama berpegang kepada prinsip tentang maruah dan keturunan, kesedaran si bapa berlaku agak cepat dalam satu panggilan telefon.

Dia meminta maaf dan hampir serta-merta mampu merumuskan bahawa dirinya telah bersalah. Secara emosi, penyelesaian ini memberikan kepuasan tetapi dari sudut psikologi watak, perubahan manusia yang mempertahankan sesuatu keyakinan selama bertahun-tahun lazimnya tidak berlaku dengan begitu mudah.

Permohonan maaf itu mungkin lebih kuat jika diberikan sedikit ketidaksempurnaan. Si bapa boleh teragak-agak, hampir membela dirinya sekali lagi, berhenti dan akhirnya mengaku salah.

Kesukaran mengucapkan kata maaf akan menjadikan perubahan watak lebih meyakinkan dan selari dengan motif diam yang sudah dibina sepanjang cerita.

Bahagian terakhir juga sedikit terlalu menjelaskan kesimpulan moral. Ayat tentang tangan yang sepatutnya melindungi dan bukannya memaksa sebenarnya sudah cukup kuat untuk menutup cerita.

Selepas imej itu, si bapa masih menerangkan bahawa dia terlalu sibuk menjaga nama dan keturunan sehingga mengabaikan perasaan anak serta akhirnya menyedari bahawa hubungan kekeluargaan lebih penting.

Maksud tersebut benar, tetapi penjelasan tambahan mengurangkan sedikit gema simbol yang telah dibina.

Pengarang seharusnya mempercayai imej terbaiknya. Tangan yang memegang Arya ketika bayi dan tangan yang direnung semula setelah anaknya menjauh sudah mampu membawa keseluruhan tema.

Bahkan perbezaan antara “memegang” dengan “menggenggam” sahaja sudah merangkum persoalan utama karya.

Secara keseluruhannya, “Antara Dua Diam” merupakan sebuah cerpen yang mempunyai asas yang kukuh dari segi tema, struktur, pembinaan watak dan emosi.

Pengarang berjaya mengangkat konflik keluarga yang dekat dengan kehidupan masyarakat tanpa memerlukan tragedi besar untuk meraih simpati.

Tragedinya lebih senyap tetapi mungkin lebih akrab dengan pengalaman manusia: seorang anak yang perlahan-lahan menjauh daripada rumah kerana rumah yang sepatutnya menjadi ruang perlindungan telah menjadi tempat kehendaknya sentiasa ditentukan.

Kekuatan paling penting cerpen ini ialah segala-galanya bermula dengan kasih. Si bapa bukan manusia yang tidak mempunyai perasaan terhadap anak tetapi manusia yang terlalu yakin bahawa kasih memberikannya hak menentukan segalanya.

Justeru, konflik cerita tidak sekadar mempertentangkan bapa dengan anak tetapi mengajak pembaca memikirkan sempadan antara kasih dengan kuasa, perlindungan dengan pemilikan dan bimbingan dengan pemaksaan.

Cerpen ini tidak memerlukan rombakan besar sehingga kehilangan kesederhanaan dan kejujuran asalnya. Yang diperlukan ialah pemadatan naratif, pengurangan penerangan yang terlalu langsung, sedikit pendalaman terhadap watak Arya serta keberanian untuk membiarkan beberapa perkara terus berada dalam ‘ruang diam’.

Motif ‘tangan’ dan ‘diam’ yang sudah tersedia pula boleh dimanfaatkan sebagai unsur simbolik utama untuk mengikat keseluruhan cerita.

Cerpen yang matang tidak semestinya menjelaskan segala-galanya. Ada kalanya kekuatan karya terletak pada perkara yang tidak selesai diucapkan. “Antara Dua Diam” sendiri sudah memberi petunjuk tentang kemungkinan itu melalui judulnya.

Jika pengarang lebih berani membiarkan diam itu bekerja, pembaca mungkin akan mendengar lebih banyak daripada apa yang mampu dinyatakan oleh kata-kata.

Akhirnya, perjalanan si bapa boleh dibaca melalui perubahan yang sederhana tetapi bermakna. Pada awal cerita, tangannya memegang seorang bayi dan berjanji untuk menjaganya.

Sepanjang kehidupan anak itu, pegangan tersebut menjadi semakin kuat sehingga hampir bertukar menjadi genggaman.

Hanya apabila Arya melepaskan diri dan pergi jauh, barulah dia memahami bahawa tugas seorang ayah bukanlah menggenggam anak agar tidak pernah terlepas tetapi memegangnya secukupnya sehingga anak itu mampu berjalan dengan langkahnya sendiri.

Di situlah “Antara Dua Diam” menemukan kekuatannya yang sebenar. Dengan penyuntingan yang lebih teliti dan pengucapan yang lebih halus, karya ini berpotensi berkembang daripada sebuah kisah keluarga yang menyentuh menjadi sebuah cerpen yang lebih matang tentang kasih, kuasa dan kebebasan manusia.

Oleh Abang Median Abang Said

Antara Dua Diam

HARI pertama aku pegang dia. Kecil. Cerah kulitnya, ikut mak. Tangisannya kuat, seolah-olah dia belum bersedia menghadapi dunia. “Abang nak

Unsur Prosa dan Puitis dalam Sajak

APABILA membuat penelitian terhadap sesebuah sajak, selalunya usaha lebih tertumpu untuk memahami aspek intelektualisme dan nilai ilmunya. Namun pada masa

Antara Peniruan Kenyataan dan Karya Seni

‘‘Kualiti penulisan seseorang secara tidak langsung akan berhubungan dengan tahap pemahamannya mengenai sikap manusia.’’ – Bong Joon Ho, pengarah filem

Puisi

Lara Hati Jika diikut lara hati ingin terasing membawa diri pergi jauh menuju alam nian abadi. Lara hati membawa lari,