Oleh: Abang Median Abang Said
SEJARAH penulisan cerpen dalam konteks kesusasteraan Melayu bermula dengan sebuah karya prosaik yang dikarang oleh Nur Ibrahim Madrasi dengan judulnya, “Kecelakaan Pemalas” ( 4 Februari 1920, majalah Pengasuh). Perkembangan cerpen terus berkembang di tangan Ishak Haji Muhammad, A. Rahim Kajai – dengan tema nasionalisme. Banyak cerpen berunsur realisme dihasilkan sehingga dekad 60-an sebelum bertukar arah kepada cerpen eksperimen melalui karya Othman Puteh dan Anwar Ridhwan menjelang dekad 70-an lantas mempengaruhi perkembangan cerpen 80-an melalui karya Zaen Kasturi, SM Zakir dan beberapa penulis angkatan muda pada waktu itu. Begitu jugalah pembentukan jati diri dan perkembangan penulis-penulis baharu – selalunya bermula dengan sesuatu yang klise – hanya sebagai pencerita sebelum terus berkembang dan matang dengan karya yang berbeza atau menggugah fikiran. Penulis baharu perlu meneroka sesuatu yang berbeza untuk memberi impak yang berbeza kepada pembaca.
Cerpen “Titik Merah” karya Adie Abdul Ghani memaparkan masalah stereotaip yang sering dihadapi oleh golongan wanita pada masa kini, iaitu tentang kebimbangan mereka untuk mendapatkan jodoh. Mungkin asas yang dijadikan sandaran ialah tentang jumlah penduduk wanita yang lebih ramai berbanding lelaki termasuk taburan jumlah siswazah berdasarkan gender di institusi pengajian tinggi. Namun berdasarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2021, seramai 52.3 peratus penduduk di Malaysia ialah lelaki, manakala 47.7 peratus ialah wanita, dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita. Maknanya, kebimbangan itu masih boleh diperdebatkan jikalau data itu dijadikan sandaran. Walau bagaimanapun, pemilihan tema ini masih lagi relevan jikalau ditelusuri dari aspek sosiobudaya masyarakat Malaysia.
Antara persoalan yang berkelintar dalam fikiran penulis terutama penulis baharu, apakah yang boleh menyebabkan sesebuah karya itu dikatakan menarik? Adakah bahasanya yang lincah dan segar seperti karya Haruki Murakami? Adakah disebabkan oleh temanya yang kukuh dan belum diteroka oleh penulis-penulis lain? Adakah disebabkan imaginasi pengarang yang mengolah cerita dengan mengangkat kisah lampau untuk dipadankan dalam konteks kini seperti yang dilakukan oleh Abdul Razak Gurnah melalui novel Paradise? Fatimah Busu menjadikan binaan plot yang dibina oleh seseorang penulis sebagai elemen terpenting untuk menjadikan sesebuah karya itu menarik – biarpun Fatimah Busu agak seimbang dari aspek bahasa dan plot dalam penghasilan karyanya. Bacalah cerpen “Nasinya Tumpah” – impaknya terasa menusuk ke jiwa pembaca dengan binaan plot dan pengolahan bahasanya yang sangat lancar.
Cerpen “Titik Merah” ternyata mempunyai kekuatan pada pengolahan bahasa dan diksi yang segar. Pengarang juga menggunakan metafora untuk menyampaikan makna dalam pengolahan ayatnya. Pengarang bijak mempelbagai langgam bahasa dengan penggunaan ayat-ayat panjang dan pendek bersilih ganti sehingga mampu menggerakkan cerpen dengan baik. Pada permulaan cerpen, pengarang menggunakan ayat yang pendek. Ayat-ayat yang digunakan oleh pengarang pada permulaan cerpen terasa lincah menggerakkan watak dan latar sehingga semuanya teras berpadu dalam satu kesatuan. Ayat-ayat pendek ini diolah oleh pengarang untuk meringkaskan lagi penghuraian cerita. Ayat pendek yang digunakan ini jelas dan mudah difahami. Penggunaannya amat menarik dan sesuai. Diturunkan semula perenggan pendahuluan cerpen ini:
Zu memerhati awan dari sisi jendela pejabatnya. Tangannya seraya meraba ringan dokumen-dokumen yang bertaburan di atas meja. Dalam keputihan gebu awan yang diamatinya sejak tadi, wap-wap duga, spekulasi yang meragui langkah-langkah atma dalam jumantara kama mula menjelma. Zu belum lagi berkahwin dan baginya, masih andartu di usia akhir 20-an serta sibuk akan rutin kerjaya di era modenisasi kini bukanlah satu benda baharu. Barangkali, sesuatu yang jelas klise pada masa kini.
Pengarang sengaja memilih perkataan yang kurang lazim digunakan seperti perkataan ‘jumantara’ dan juga ‘kama’ – gabungan dua perkataan ini merupakan metafora yang merujuk kepada perasaan cinta yang begitu luas. Penggunaan ayat pendek dan diksi yang digunakan oleh pengarang telah mampu memberikan kesegaran pada karyanya biarpun pengarang sendiri pada perenggan awal cerpennya sudah menjelaskan bahawa isu tentang kelewatan melayari alam rumah tangga adalah sesuatu yang klise. Tentu dalam penulisan karya akan datang, pengarang akan mencari isu atau tema yang lebih sepadan dengan kekuatan bahasanya – tema yang lebih berat atau lebih segar – yang jarang ditulis oleh penulis lama atau baharu.
Pengarang juga banyak memilih perkataan yang mempunyai persamaan rima sama ada pengulangan vokal atau konsonan. Unsur bunyi, sama ada aliterasi dan asonansi sememangnya banyak diaplikasikan oleh pengarang dalam cerpennya. Antara contoh yang dapat dipetik daripada cerpen tersebut ialah “seluk kekok” dan “telaga rasa” yang bukan sahaja menunjukkan tentang persamaan unsur bunyi tetapi menjadi satu metafora yang menunjukkan rasa yang dalam. Menurut Bally, Jacobson dan Leech, perkara ini merujuk kepada suatu deskripsi linguistik daripada bahasa yang digunakan dalam teks sastera (Aminuddin, 1995).
Siti Hajar Abdul Aziz telah menjelaskan bahawa bahasa didefinisikan dalam pelbagai cara mengikut sifat-sifat semula jadi, peranan dan fungsinya. Bahasa diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada lambang-lambang dengan menggunakan alat-alat artikulasi yang ada pada penuturnya. Lantas, bahasa memainkan pelbagai peranan dan fungsi untuk memenuhi pelbagai tujuan dan matlamat tertentu. Menerusi cerpen “Titik Merah” ini, pengarang mengaplikasikan fungsi bahasa untuk menjadi bahasa yang kreatif. Berikut merupakan contoh penggunaan bahasa yang menarik oleh pengarang:
Sesunyi perhentian bas tersebut dengan sahutan suara unggas dan cengkerik nan perlahan, sunyi lagi peta di dalam aplikasi Grab tersebut.
Malar memerhati tarian pohon-pohon kota perlahan ditelan gempita.
Sesarat benaknya dengan tamsilan masa hadapan, sarat lagi benak Zu dengan igauan masa lampaunya.
Tidak melulu melepaskan peluru cinta. Janji hati yang sudah diacu, jitu sasarannya.
sekumpulan burung-burung terbang mengelak ceracak bata dan kaca.
Dalam penulisan karya kreatif, dialog merupakan antara elemen penting menggerakkan plot. Sesetengah pengarang lebih suka menggunakan teknik monolog untuk menggambarkan gelodak dan konflik kejiwaan watak. Dalam cerpen “Titik Merah”, pengarang menggunakan dialog untuk menggerakkan konflik dan menyampaikan cerita kepada pembaca. Antara dialog yang dapat dipetik dalam cerpen ini ialah:
“Tak lama lagi, dapat la kite merasa nasi minyak ni,” kata Asfa.
“Alhamdulillah…kan, kan” kata Maryam. “Masuk jugak kau dalam kelab kitorang ni Zu.” sambungnya lagi sambil ketawa kecil.
“Kalau ada jodoh, memang tak kemana. Tapi, aku baru je berkenalan dengan si Azman tu, takkan la kitorang terus naik pelamin,” balas Zu.
Dialog yang diolah oleh pengarang mampu menunjukkan keakraban persahabatan antara watak dalam cerpen berkenaan dan teknik ini sinonim dengan cerpen-cerpen berbentuk realisme. Walaupun keistimewaan pengarang banyak ditonjolkan dalam aspek bahasa, tetapi masih terdapat beberapa kesalahan bahasa yang dilakukan oleh pengarang sama ada dalam aspek tanda bacaan, ejaan ataupun pengimbuhan. Umpamanya dalam contoh dialog di atas, “Alhamdulillah…kan, kan” – pengarang tertinggal tanda koma sebelum penutup kata. Kesilapan yang sama banyak dijumpai dalam cerpen berkenaan yang boleh menjejaskan kelebihan pengarang. Begitu juga dengan perkataan “kemana” yang sepatutnya dijarakkan, “ke mana”. Berikut merupakan antara kesilapan bahasa yang ditulis oleh pengarang dalam cerpen “Titik Merah”:
- bekerjaya (Sepatutnya dieja“berkerjaya”)
- … meneruskan agenda baru keesokkan harinya pula. (Kesalahan imbuhan – ‘keesokkan’ sepatutnya ditulis ‘keesokan’)
- … bahkan di perkarangan perbualan seharian kota batu juga. (Perkataan “perkarangan” sepatutnya dieja “pekarangan”)
- … beristirehat (Kesalahan ejaan. Sepatutnya ditulis “beristirahat”)
- …menjadikan suasana lebih ganjal. (Perkataan “ganjal” bermaksud alas. Jadi perkataan itu sepatutnya ditukar dengan ‘janggal’.)
- En Hasyim (sepatutnya ditulis En. Hasyim. Kependekan perkataan perlu diletakkan tanda titik)
Cerpen ini juga banyak menggunakan bahasa kolokial terutama dari aspek dialog. Dari segi linguistik, bahasa kolokial merujuk kepada bahasa percakapan atau bahasa basahan dengan tidak menggunakan tatabahasa dan sebutan yang baku. Kesannya, penggunaan bahasa ini akan menjadi bahasa rojak yang tidak tepat dari segi hukum bahasa. Dalam cerpen ini, terdapat beberapa perkataan yang dapat dikesan menggunakan bahasa kolokial seperti “takde”, “kite”, “korang”, “rase”, “kitorang” dan beberapa perkataan yang lain. Perkataan itu ditulis berdasarkan artikulasi watak dalam cerpen berkenaan yang cuba dijadikan pengarang sebagai sesuatu yang realistik dalam karyanya. Cuma sebagai seorang penulis, setiap pengarang perlu juga memainkan peranan sosial mereka untuk mendidik pembaca biarpun sedikit kelonggaran diberikan, iaitu poetic justice atau lesen berpuisi. Lesen ini bagi memastikan penulisan kreatif berbeza sedikit daripada penulisan rasmi. Walau bagaimanapun, penggunaan “kau orang” dan “kita orang” dirasakan lebih baik penggunaannya biarpun “kau” dan “kita” itu sememangnya sudah merujuk kepada orang.
Orhan Pamuk, penerima Hadiah Nobel untuk kesusasteraan 2006 menerusi ucapannya, “My Father’s Suitcase” telah mengutarakan beberapa pertimbangan asas untuk menjadi seorang penulis seperti bersendirian (bersama buku dan “fikiran”), masuk ke dalam diri, mencipta “dunia” lain, kesabaran, kerja keras dan keaslian. Semua elemen yang disenaraikan oleh Orhan Pamuk ini penting dalam membina plot cerita yang menarik yang turut merujuk kepada tema dan persoalan yang diketengahkan.
Cerpen “Titik Merah” menceritakan tentang watak Zu (tidak dinyatakan dengan jelas pekerjaannya) merupakan seorang wanita berusia akhir 20-an yang belum lagi bertemu jodoh berbanding dua orang rakannya, iaitu Asfa dan Maryam. Rentetan perjalanan plot cerpen ini mudah. Zu yang belum mempunyai kekasih setelah dikecewakan oleh Azman yang rupa-rupanya telah berumah tangga. Perkara itu terbongkar apabila Maryam mengajak Zu berjumpa dengan kliennya, iaitu Puan Aisyah untuk berbincang tentang proposal yang telah dibuat. Azman yang diletakkan oleh Zu sebagai calon suami mithali untuk mengisi kekosongan hatinya rupa-rupanya adalah suami kepada Puan Aisyah. Perkenalan antara Zu dan Azman diusahakan oleh Maryam yang merupakan sahabat satu sekolah dengan Azman di SMA Petra Tunku Jaya. Walaupun sudah lama terpisah sejak tahun 2004 demi melanjutkan pelajaran masing-masing, Maryam masih berhubung dengan Azman melalui surat dan poskad. Hubungan persahabatan mereka semakin erat setelah kedua-duanya bertukar nombor telefon bimbit. Di situ, mereka saling berkongsi imej dan berita tentang kehidupan masing-masing sehingga Maryam cuba untuk menjodohkan Azman dengan Zu. Azman sepertinya tidak menolak cadangan yang dikemukakan oleh Maryam. Perkara ini jelas dinaratifkan oleh pengarang dengan gaya penceritaan yang lancar menggunakan teknik imbas kembali.
Kekecewaan itulah menyebabkan Zu trauma untuk menyerahkan perasaan cintanya kepada sebarang lelaki. Dia tidak mahu berharap seperti yang telah dilakukannya kepada Azman biarpun En. Hasyim memberikan perhatian yang lebih kepadanya. Zu tetap beranggapan bahawa itu hanyalah layanan baik seorang ketua kepada orang bawahannya. Zu seboleh-bolehnya tidak mahu melayan perasaannya yang berbunga. Dia masih dibelenggu tragedi yang menjadi “titik merah” dalam kehidupan romantisnya tiga tahun yang lalu. Cerpen ini dibiarkan tergantung oleh pengarang apabila tidak memberikan kesudahan antara hubungan En. Hasyim dan Zu. Pengakhiran cerpen ini disudahi dengan En. Hasyim yang menghantar Zu balik ke rumah dari pejabat (setelah Zu tersedar daripada lamunan sedih masa lalunya bersama-sama Azman). Semua ini seolah-olah memberikan satu gambaran masa depan atau imbas muka tentang pengakhiran yang positif dalam hubungan mereka.
Teknik imbas kembali yang diselitkan oleh pengarang pada pertengahan cerpen ini ternyata akan mengelirukan pembaca. Perkara ini mungkin sengaja dilakukan oleh pengarang untuk menimbulkan unsur saspens. Pembaca pastinya akan tertanya-tanya kerana mereka ingin mengetahui tentang perhubungan antara En. Hasyim dan Zu. Adakah hanya sebagai majikan dan atau pekerja atau lebih daripada itu? Tiba-tiba sahaja pengarang memasukkan watak Azman untuk menggambarkan tentang cinta dan perhubungan masa lalu watak Zu. Lebih mengelirukan tatkala watak En. Hasyim wujud sewaktu watak Zu berhubungan dengan Azman, iaitu apabila Maryam mencuitnya dalam mesyuarat untuk mengajaknya berjumpa dengan Puan Aisyah.
Sememangnya, pengarang telah memasukkan ‘tanda’ untuk menunjukkan peralihan antara masa kini dan masa lalu melalui ayat berikut: “Beransur-ansur Zu mula lemas dalam ulitan kenangan pahit masa silam”. Pengarang cuba untuk menunjukkan peralihan masa itu dengan jelas untuk menjadikan cerpen ini tidak bergerak secara kronologi dan mudah untuk ditebak jalan ceritanya. Biarpun usaha pengarang ini boleh dipuji untuk menjadikan binaan plotnya tidak bergerak lurus, namun tema yang diolah oleh pengarang tetap menjadikan karya ini sebuah karya ringan yang kurang menggugah minda pembaca.
Dalam menghasilkan sesebuah karya, pembinaan tajuk juga menjadi batu masalah yang perlu dipecahkan. Tajuk yang dipilih perlu menarik, merangsang perasaan ingin tahu pembaca dan menggambarkan rentetan cerita atau inti cerpen yang dihasilkan. Ada pengarang yang suka memilih tajuk cerpen yang panjang dan ada pula yang melakukan sebaliknya. Tajuk sesebuah cerpen persis cinta pertama yang akan membina persepsi pembaca seperti juga perasaan Zu pada Azman dalam cerpen “Titik Merah”. Mengapa pengarang memberikan tajuk cerpen ini “Titik Merah”? Mungkin pemilihan perkataan “Titik” tidak memerlukan perdebatan yang panjang kerana jelas, perkataan itu merujuk kepada tanda, bekas, atau kesan; biarpun kecil tetapi tetap memberikan luka yang mendalam. Cuma perkataan “merah” yang dipilih oleh pengarang menimbulkan banyak tanda tanya dan persoalan.
Darwis Triadi, seorang jurugambar dari Indonesia menulis dalam bukunya,Color Vision, “Warna dapat menciptakan keselarasan dalam hidup. Dengan warna, suasana nyaman dan damai boleh tercipta. Dengan warna juga dapat menciptakan kebengisan dan kekacauan.” Menurut ahli psikologi, warna merah adalah warna api, sinaran matahari dan warna darah. Warna ini memberi kesan kehangatan, kebahagiaan, keberanian, semangat, kekuatan, keghairahan dan juga merupakan tanda peringatan. Dalam psikologi, warna merah merupakan simbol daripada tenaga, tindakan, kekuatan dan kegembiraan. Dominasi warna merah mampu merangsang indera seperti meningkatkan nafsu makan dan ghairah seksual. Negatifnya warna merah dicanangkan dengan kekerasan dan kecemasan. Pengemar warna merah juga dikatakan seorang yang pendendam, tamak dan mudah tersinggung.
Berdasarkan cerpen tersebut, warna merah tidak menggambarkan perwatakan yang ada pada watak Zu. Tidak ada kehangatan cinta antara Zu dan Azman. Tidak ada kebahagian yang tercipta antara dua watak berkenaan, apatah lagi untuk menggambarkan keberanian dan kekuatan tatkala watak Zu terus diulit dengan trauma daripada kegagalan cintanya. Mungkin warna hitam boleh dipertimbangkan oleh pengarang kerana warna hitam merupakan warna yang misteri, berdikari, dramatis dan kesunyian. Warna hitam juga digolongkan dalam warna tegas, solid dan kuat. Namun, simbol-simbol itu tetap merupakan sesuatu yang subjektif dan tetap memberikan kebebasan kepada pengarang memilih yang terbaik untuk karya.
Secara keseluruhannya, Adie Abdul Ghani merupakan penulis muda yang menjanjikan jikalau terus dibimbing dan mempunyai kekentalan semangat untuk menjadi penulis yang berjaya. Semuanya terletak pada keazaman dan kerajinan penulis itu sendiri. Menurut Othman Puteh (1988) lewat bukunya, Persediaan Menulis Cerpen, seseorang penulis perlu rajin membaca, rajin mengkaji, rajin menelaah, rajin mengedit, rajin mencipta masalah dan harus sedia bersendiri. Dorothea Brande (1981) pula menegaskan bahawa seseorang penulis perlu mempunyai kemahiran “membaca sebagai penulis” (reading as a writer). Mereka harus memegang buku sebagai specimen dan bukan hanya amusement. Bahan bacaan seseorang penulis juga tidak boleh dijumudkan dengan bahan sastera seperti novel, cerpen, biografi, autobiografi atau puisi semata-mata. Bahan bacaan yang multidisiplin seperti perubatan, sejarah, politik, ekonomi, komputer, kajian lautan, kajian angkasa lepas atau budaya akan menambahkan lagi pengetahuan dan sumber penulisan seseorang pengarang. Dengan pembacaan yang meluas inilah akan memisahkan seseorang pengarang itu daripada menulis sesuatu yang klise sehingga gagal memberi impak kepada pembaca.
Dengan keupayaan bahasa yang segar dan lancar, Adie Abdul Ghani sememangnya merupakan seorang pencerita yang baik. Namun, kelebihan ini perlu dilakukan penambaikan agar karya yang dihasilkan bukan hanya “bercerita” tetapi juga mempunyai “cerita” dan “ilmu” agar akan ditemui “Titik Keistimewaan” yang ada pada pengarang yang belum sepenuhnya ditonjolkan menerusi “Titik Merah”.
Saya yakin dan percaya, pengarang akan menemui “Titik Keistimewaan” pada hasil karya yang akan datang dengan semangat dan kesungguhannya sebagai penulis.