Oleh Abang Median Abang Said
JUSUF Sjarif Badudu atau lebih dikenal dengan nama J. S. Badudu, seorang pakar Bahasa Indonesia, mendefinisikan cerpen sebagai suatu cerita yang hanya menjurus serta terfokus pada satu peristiwa saja.
Selain itu, Jakobus Sumarjo atau Jakob Sumarjo, seorang budayawan dan pelopor kajian Falsafah Indonesia, mendefinisikan cerpen sebagai seni atau ketrampilan menyajikan cerita (skill to present story), yang di dalamnya merupakan satu kesatuan bentuk utuh, memfokuskan pada satu bahagian atau seorang watak sahaja dan tidak ada bahagian yang tidak perlu tetapi juga ada bahagian yang terlalu banyak. Maksud bahagian ‘terlalu banyak’ yang diutarakan oleh Jakob Sumarjo ini adalah bahagian cerita dari sisi sang tokoh atau bahagian ‘keakuan’ yang memang menjadi pusat cerita untuk dieksplorasi.
Jikalau menurut Zainal Abidin Suhaili – Sasterawan Negeri Sarawak kelima – penulisan puisi seperti memasukkan air kolam ke dalam gelas. Maknanya, puisi dihasilkan dengan memilih kata-kata yang terbaik untuk disusun menjadi baris dan rangkap yang mempunyai kesatuan makna serta diolah dengan bahasa yang puitis. Sedikit persamaannya dengan puisi, penulisan cerpen pula memerlukan pengarang memilih konflik yang terbaik untuk menjadikan ceritanya menarik yang didukung oleh watak yang menggerakkan konflik cerita menuju klimaks bersandarkan kepada latar masa, latar tempat dan latar masyarakat serta diolah dengan bahasa yang baik.
Ruangan Wadah Bahasa Dan Sastera bertarikh 29 Jun 2022 telah menyiarkan sebuah cerpen bertajuk “Naratif Seorang Nenek” karya Muhamad Bohari – seorang penulis yang rajin menimba ilmu penulisan melalui bengkel yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya akan cuba menelusuri persoalan yang cuba dilontarkan oleh pengarang dalam cerpen ini dari sudut pembaca dan mengaitkannya dengan pengertian sebuah cerpen yang perlu digerakkan oleh konflik. Wolfgang Iser dalam bukunya, The Act of Reading: A Theory of Aesthetic Response (1981) telah meletakkan pembaca sebagai penilai atau pemberi respons kepada karya yang memberi penekanan kepada pembaca implisit. Sesebuah karya itu akan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu dari aspek artistik dan aspek estetik.
Membaca cerpen “Naratif Seorang Nenek”, pembaca dihidangkan dengan rentetan perjalanan hidup seorang nenek yang tinggal di sebuah banglo besar berwarna putih yang dikelilingi taman astakona serta tumbuh-tumbuhan menghijau. Gambaran ini diterangkan oleh pengarang secara deskriptif hingga pembaca dapat merasai suasana tempat tinggal Nenek Hajah Faridah Haji Jamali atau lebih dikenali dengan gelaran Nek Edah yang telah berusia 79 tahun. Pengarang juga menyusun susur galur watak berkenaan, iaitu dari anaknya hinggalah kepada watak cucu yang seramai dua belas orang termasuk enam orang cicitnya. Tidak cukup dengan itu, pengarang juga telah menjelaskan tentang warna, pakaian dan bunga yang digemari watak berkenaan.
Pembaca tentu akan tertanya-tanya, apakah konflik yang ingin diketengahkan oleh pengarang? Cerpen “Naratif Seorang Nenek” hanya menceritakan tentang perwatakan dan kehidupan Nek Edah tanpa mengemukakan sebarang konflik yang jelas untuk membina jalinan plot dalam cerpen berkenaan. Pengarang seolah-olah keliru antara penulisan cerpen dan penulisan biografi.
Berbeza dengan autobiografi yang ditulis sendiri oleh orang yang mempunyai pengalaman, biografi merupakan karya tulisan yang ditulis oleh orang ketiga. Dalam hal ini, orang ketiga yang dimaksudkan adalah seorang penulis atau siapa pun yang bersedia menuangkan kisah perjalanan hidup seseorang yang menginspirasi ke dalam sebuah tulisan. Pengalaman hidup ini boleh berbentuk cerita tentang kegagalan hingga keberhasilan yang pernah dilalui. Dalam lingkup karya sastera, pengalaman dan runtutan peristiwa yang pelbagai sepanjang hidup ini mampu berdiri sebagai sebuah karya tulisan yang menarik untuk dibaca.
Menurut Dr. Burhan Nurgiyantoro dalam Teori Pengajian Fiksi, konflik dibezakan menjadi dua kategori, iaitu konflik internal dan konflik eksternal. Konflik internal atau kejiwaan adalah konflik yang terjadi dalam hati jiwa seorang tokoh cerita. Jadi konflik ini adalah konflik yang dialami manusia dengan dirinya sendiri. Manakala konflik eksternal adalah konflik yang terjadi antara seorang tokoh dengan sesuatu di luar dirinya. Konflik eksternal ini dibezakan dalam dua kategori lagi, iaitu konflik fizik dan konflik sosial. Konflik fizik adalah konflik yang disebabkan oleh adanya pertentangan antara tokoh dengan lingkungan alam. Sementara itu, konflik sosial adalah konflik yang disebabkan oleh adanya kontak sosial atau masalah-masalah yang muncul akibat adanya hubungan antara manusia.
Membaca cerpen “Naratif Seorang Nenek”, pembaca tidak menemui bentuk-bentuk konflik tersebut sama ada secara internal atau eksternal. Pengarang hanya menulis tentang pengalaman hidup Nek Edah sebagai seorang ibu yang juga aktif dalam bidang penulisan. Kehidupan Nek Edah yang memberikan inspirasi dijelaskan oleh pengarang hingga memberikan persepsi bahawa Nek Edah layak untuk diberikan pengiktirafan sebagai ibu mithali tatkala ramai anak-anaknya turut berjaya dalam pendidikan. Menurut pengarang, Nek Edah boleh dijadikan anjakan paradigma: Semua anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan mempunyai pekerjaan yang baik dalam jabatan kerajaan. Ini adalah hasil didikan dan bimbingan Nek Edah dengan lunas-lunas yang tepat berdasarkan panduan duniawi dan pendidikan agama dijalan yang diredhai Allah.
Kemiripan cerpen ini dengan penulisan berbentuk biografi terserlah apabila pengarang memperkatakan tentang keaktifan Nek Edah dalam bidang penulisan terutama dalam genre penulisan puisi. Pengarang merincikan perkara tersebut seperti berikut dalam cerpennya :
Ada beratusan hasil nukilannya berjaya dibukukan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak. Di masa senggangnya, di samping bertanam bunga-bunga di taman astakona, Nek Edah suka menulis puisi tentang alam, manusia dan patriotik. Dia juga menjadi mentor kepada beberapa orang penulis baru penulis yang baharu sahaja berjinak-jinak dalam bidang puisi dan mengolah sesebuah puisi yang berkualiti.
Gambaran secara deskriptif yang dihasilkan oleh pengarang hanya menumpahkan pengalaman watak berkenaan untuk dikongsikannya kepada pembaca. Pengarang tidak menghadirkan sebuah jalinan cerita yang menarik dan menyenangkan untuk dibaca. Jalinan cerita tidak mungkin menjadi menarik tanpa adanya konflik. Dengan bahasa yang sedikit dramatis, konflik dapat dikatakan sebagai jiwa dalam penulisan cerita. Pengarang perlu mengeksplorasi konflik yang unik dan menarik. Walau apa pun kaedahnya, pengarang perlu menciptakan sebuah efek yang dramatik hingga mampu memberi pengaruh emosional kepada pembaca. Semakin besar pengaruh emosinya untuk pembaca, maka karya itu akan menjadi semakin baik dan menarik.
Apa yang membuatkan sesebuah karya seperti cerpen itu menarik? Apa yang membuatkan pembaca mahu terus membaca untuk mengetahui apa yang berlaku sehingga akhir novel atau cerpen? Semua itu merujuk kepada konflik yakni elemen yang perlu dalam setiap cerita; memacu naratif ke hadapan dan menarik pembaca untuk terus membaca sepanjang malam mencari titik klimakss sehingga kepada peleraian. Kebanyakan cerita ditulis mempunyai watak, penataan dan plot tetapi apa yang membezakan sesebuah cerita itu dilabel hebat adalah dari aspek konfliknya.
Pertama, pengarang perlu memahami pelbagai jenis konflik yang pada dasarnya boleh dipecahkan kepada dua kategori: konflik dalaman dan luaran. Konflik dalaman cenderung menjadi satu tatkala watak utama bergumul dengan dirinya sendiri, seperti keputusan yang perlu dilakukannya atau kelemahan yang harus diatasi. Konflik luaran pula merujuk kepada watak yang menghadapi cabaran dengan kekuatan luaran, seperti watak lain, perbuatan alam, atau masyarakat.
Kebanyakan cerpen memberi tumpuan kepada satu konflik tertentu sahaja sebagai fokus utama namun ada pengarang menyisipkannya dengan beberapa konflik sisipan yang turut mendukung konflik utama. Namun konflik yang terlalu banyak tanpa fokus yang jelas akan menghanyutkan pembaca malah menyukarkan pengarang memberikan perincian yang baik dengan kepanjangan cerpen yang relatif pendek.
Konflik merupakan masalah yang ditimbulkan penulis untuk membuat cerita tetap bergerak. Kehadiran konflik ini sangat penting kerana merupakan nyawa sebuah cerita. Ibarat kata, cerita tanpa konflik seperti sayuran tanpa garam. Menurut Thomas Paine, semakin keras dan sulitnya konflik dalam sesebuah cerita akan melonjakkan tingkat kualiti karya. Itulah masalah utama pada cerpen “Naratif Seorang Nenek” yang gagal dimasukkan konflik oleh pengarang. Pengarang hanya memasukkan pesanan-pesanan kepada anak, cucu dan cicitnya yang juga merupakan pesanan kepada pembaca melalui dialog yang dititipkan dalam cerpen tersebut
“Pastinya, manusia yang sihat akalnya dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan situasi dunia sekarang. Amalkan sepuluh ayat pertama dan ayat terakhir surah Al-Kahfi, semua perkara yang junjungan besar baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sampai dalam hadis-hadis, mudah-mudahan Allah Subhanahuwa Ta’ala selamatkan kita dari sekecil-kecil hingga ke sebesar-besar fitnah.”
Tentunya pesanan atau dialog tersebut akan menjadi lebih bermakna jikalau digunakan untuk menyelesaikan konflik, umpamanya antara watak Nek Edah dengan watak cucunya. Pengarang boleh menjadikan salah seorang cucunya sebagai watak antagonis dengan melakukan sesuatu yang negatif atau mempunyai kehidupan yang terlampau bebas hingga berkonflik dengan prinsip dan pegangan Nek Edah. Tentunya Nek Edah akan berasa tercabar kerana dia tidak pernah gagal mendidik anak-anak dan cucu-cucunya yang lain. Perkara ini perlu diolah oleh pengarang untuk lebih menonjolkan keupayaan watak utama berkenaan untuk menyelesaikan konflik tersebut.
Cadangan lain yang boleh diaplikasikan oleh pengarang ialah seperti menonjolkan watak yang bertentangan dengan minat Nek Edah. Disebabkan watak tersebut sangat meminati bidang penulisan sajak seperti digambarkan melalui puisi yang dimasukkan dalam karya berkenaan, pengarang perlu membina watak yang menentang minat Nek Edah itu. Mungkin watak berkenaan beranggapan bahawa minat Nek Edah itu sebagai sesuatu yang sia-sia terutama dengan minat pembacaan bahan sastera yang terlalu sedikit termasuk dengan jumlah jualan buku yang kian merudum. Konflik inilah yang perlu diselesaikan oleh pengarang dengan membuktikan bahawa perjuangan Nek Edah dalam dunia sastera akan memberikan manfaat kepada generasi akan datang melalui khazanah pemikiran yang ditinggalkan. Nek Edah bukan hanya meninggalkan harta fizikal daripada hasil penulisannya tetapi juga meninggalkan harta intelek yang berharga untuk dihayati. Konflik-konflik sedemikianlah yang perlu ditonjolkan oleh pengarang dalam cerpen berkenaan. Namun itu hanyalah cadangan dan tentunya pengarang mempunyai konflik lain yang boleh diketengahkan untuk menonjolkan kekuatan watak Nek Edah dalam cerpen berkenaan.
Dalam cerpen berkenaan, pengarang ada menceritakan tentang Nek Edah yang tidak dibenarkan oleh anak-anaknya untuk memandu kereta biarkan dia mempunyai kereta dengan nombor pendaftaran QAU 47 dan QAX 2420. Situasi ini boleh juga dijadikan konflik dalam cerpen berkenaan. Kedegilan Nek Edah untuk terus memandu biarpun ditegah oleh anak-anaknya boleh dibangunkan untuk menjadi konflik. Peleraiannya boleh jadi Nek Edah mampu membuktikan kemampuannya yang masih boleh memandu pada usia 79 tahun ataupun dengan kemalangan yang dialaminya untuk membuktikan bahawa teguran anak-anaknya mempunyai asas yang kukuh.
Sememangnya, cerpen “Naratif Seorang Nenek” mempunyai konflik yang tidak dikembangkan oleh pengarang untuk menjadi asas menanjakkan konflik cerita berkenaan mencapai titik klimaks. Pengarang perlu mengambil salah satu konflik yang dialami oleh Nek Edah untuk dikembangkan secara rinci. Jadikan watak anak, cucu atau cicitnya sebagai pencetus konflik seperti perbezaan zaman dan perbezaan pemikiran yang akan menjadi pemangkin kepada konflik yang lebih menggugah minat pembaca.
Dalam cerpen “Naratif Seorang Nenek”, terdapat banyak isu yang boleh dikembangkan menjadi konflik. Cuma pengarang perlu memilih isu manakah yang hendak ditonjolkan menjadi konflik dalam cerpen berkenaan. Pengarang hendaklah memilih konflik terbaik dengan bersikap selektif – bukannya memasukkan semuanya dalam sebuah cerpen hingga konflik-konflik itu hanya berbentuk catatan untuk meluahkan perasaan dan ketidakpuasan hati.
Antara isu yang menarik yang diketengahkan oleh pengarang dalam cerpen berkenaan yang boleh diangkat menjadi konflik ialah tentang sejarah negeri Sarawak yang kurang dimaklumi oleh masyarakat. Ramai yang tidak mengenali Dato Patinggi Ali, Abang Gafur dan Sharip Mashor dan bagaimana sebenarnya Sarawak diserahkan ke tangan Rajah Brooke. Perkara ini juga boleh diangkat menjadi konflik yang menarik jikalau pengarang bijak merincikan tentang konflik pemikiran dan konflik fizikal antara watak-watak berkenaan yang turut boleh dikaitkan dengan kesedaran masyarakat moden tentang sejarah kemerdekaan. Pengarang tidak sepatutnya mencatatkan perkara ini hanya sebagai sisipan peristiwa yang kurang memberi impak kepada pembaca.
Jikalau semua perkara ini mampu ditangani oleh pengarang, cerpen “Naratif Seorang Nenek” pasti akan menjadi karya yang berjaya apabila mengambil kira keupayaan bahasa pengarang yang boleh bercerita dengan lancar dan menarik. Pengarang perlu memanipulasi keupayaan bahasanya dengan memilih konflik yang menarik dalam karyanya pada masa akan datang. Antara teguran lain yang ingin ditujukan kepada pengarang ialah supaya tidak meletakkan sajak yang terlalu banyak tatkala sajak tersebut tidak berperanan untuk menggerakkan plot cerpen berkenaan.
Biarpun pengarang mempunyai pengolahan bahasa yang baik dalam penulisan cerpennya, terdapat beberapa kesalahan kecil yang perlu diambil perhatian supaya tiadanya kesilapan sewaktu karya itu dihantar ke meja editor. Berikut adalah kesilapan tersebut dan pembetulannya :
- Kadaq – qadak
- “final touch” sentuhan akhir – sentuhan akhir
- 70’an – 70-an
- meminati dia – meminatinya
- stress – stres
Begitulah antara kesalahan-kesalahan tatabahasa yang perlu diambil perhatian oleh pengarang supaya tidak mengganggu kelancaran pembaca menghayati karya berkenaan. Keseriusan dan ketelitian pengarang amat dituntut untuk menghasilkan karya yang terbaik.
Secara keseluruhannya, cerpen “Naratif Seorang Nenek” ini berjaya digarap dengan baik asalkan dimasukkan konflik yang mampu menggerakkan cerpen tersebut menuju klimaks dan peleraian hingga menjalinkan cerita yang lengkap teradun. Pengarang mempunyai masa depan untuk menjadi penulis yang baik dengan keupayaannya bercerita seperti seorang nenek yang meluahkan pengalamannya yang banyak kepada cucu dan cicitnya.