

Oleh: Jais Sahok
Pengenalan
CERPEN “Mencari Cahaya” yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu ialah karya tentang watak Mikha yang berlatarkan masa semasa, tempat setempat walaupun tidak spesifik, budaya setempat juga dengan latar budaya yang sedikit terpalit pemikiran religi hasil cipta Marshella Colina Masrie. Tahniah. Usaha Marshella Colina Masrie ini sekian lama saya tunggu kemunculannya dalam sastera Melayu di Malaysia, kali ini saya bersua. Tindakan Marshella Colina Masrie ini mendekati konsep kearifan setempat.
Saya sering menyatakan bahawa selayaknya perempuanlah yang menulis tentang perempuan, dan orang Ibanlah selayaknya menulis tentang budaya Iban. Begitu juga, orang Kristianlah selayaknya menulis cerpen tentang latar agama Kristian. Tindakan begini menjadikan penulisan itu kerja yang autentik dan benar, atau disebut juga asi. Sesuatu yang tidak asi, sama ada sifatnya silang budaya atau jatuh ke kategori palsu atau tidak autentik.
Dari segi cerita, Marshella Colina Masrie berjaya bermain dengan aspek fitrah watak Mikha yang digambarkan sebagai berlatarkan pemikiran wanita muda beragama Kristian (tidak dinyatakan mazhabnya), berlatar pemikiran budaya gereja dan penyelesaian cerita pun Mikha kembali kepada fitrah. Bahagian praakhir cerpen ini digambarkan oleh pengarang sebagai: “Hari demi hari berlalu, dan Mikha perlahan-lahan mula merasakan perubahan dalam dirinya. Dia semakin kerap menghadiri gereja dan meluangkan masa untuk merenung dan berdoa. Hubungannya dengan Vanesa juga semakin erat, kerana Vanesa sentiasa memberi sokongan dan dorongan yang diperlukan.”
Sementara puncak aspek fitrah, sekali gus akhiran cerpen, pengkarya memilih gambaran ini: “Penceramah itu membalas, “setiap insan pasti pernah tersesat, nak. Namun, Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Kembali kepada-Nya adalah langkah pertama untuk menemukan cahaya yang hilang. Kadang-kadang, dalam kegelapan yang paling pekat, kita lupa bahawa cahaya Tuhan sentiasa ada. Kita hanya perlu membuka hati dan mencari-Nya dengan penuh ketulusan. Tuhan tidak pernah meninggalkan kita, malah Dia sentiasa menunggu kita untuk kembali kepada-Nya,” ujar penceramah itu.”
Cerpen Fitrah
Cerpen fitrah, sama juga dengan karya fitrah yang lain sama ada prosa mahupun puisi, ialah karya yang menjadikan fitrah sebagai dasarnya. Fitrah melahirkan manusia teo-antroposentris yang mempunyai keperibadian religi (jika diperkatakan penulis beragama Islam aspek religinya ialah keislaman, jika dibincangkan oleh penulis beragama wahyu yang lain, akan berdasarkan agama anutan itulah – dalam cerpen ini, agama Kristian.)
Antara maksud yang terkandung dalkam medan semantik kata fitrah untuk menelusur cerpen ini ialah:
- Fitrah yang maksudnya suci.
- Fitrah yang bermaksud manusia menyerah dirinya kepada Allah (ad-din).
- Fitrah yang bermaksud keadaan selamat (al-salamah) dan lestari (istiqamah).
- Fitrah yang bermaksud mengakui kebesaran Allah (tauhid).
- Fitrah yang bermaksud kesanggupan manusia menerima kebenaran.
- Fitrah yang bermaksud potensi manusia untuk beribadat dan mengenal Tuhan.
- Fitrah yang bermaksud percaya atau meyakini ketetapan atau takdir.
- Fitrah yang bermaksud ciri-ciri sifat Allah (Asmaul Husna).
Cerpen “Mencari Cahaya”, sesuai dengan hakikatnya sebagai karya penulis baharu (mungkin juga muda usia) tidaklah memaparkan kesemua ciri dan maksud dalam medan semantik fitrah yang disenaraikan di atas. Namun dari segi psikologi manusia yang menyangkut tiga hal utama, cerpen ini memperlihatkan kekuatan ke arah karya fitrah. Tiga hal dalam psikologi manusia yang dinyatakan itu ialah kesedaran dan proses mental yang berkaitan dengan jiwa, kehidupan mentalis seperti fikiran, persepsi dan ingatan, serta tentang perilaku manusia terhadap persekitarannya.
Eksposisi “Mencari Cahaya”di perenggan pertama sudah cukup kuat untuk menggambarkan kesedaran dan proses mental yang berkaitan dengan jiwa watak Mikha dan menempias kepada kehidupan mentalis seperti fikiran, persepsi dan ingatan watak utama ini. Perhatikan eksposisi yang dimaksudkan: MIKHA termenung di jendela biliknya yang sempit, menatap salib kecil yang tergantung di dinding biliknya. Malam semakin larut, dan suasana sunyi di dalam rumah kecil itu semakin terasa. Hatinya gundah, penuh dengan pertanyaan dan kegelisahan.
Analisis terhadap perenggan ini membuka perspektif pemahaman pembaca sebagai yang berikut ini:“MIKHA termenung di jendela biliknya yang sempit” – seseorang yang termenung di jendela ialah gambaran pengkarya seni tentang perilaku manusia terhadap persekitarannya, yang lazimnya terkait aspek ketuhanan. Imbaslah lagu Ada-Mu, nyanyian Nadjwa Latif. Ketika dia merenung ke luar jendela, apakah yang ada dalam ujaran suara manis penyanyi itu? Tentang kebesaran Tuhan. Tentang nikmat kehidupan.
Apabila watak Mikha “menatap salib kecil yang tergantung di dinding biliknya”, tentu sekali fokus dan fikirannya tertumpu kepada kehidupannya dalam naungan tuhan. Aspek fitrah manusia dalam baris ini tebal dan jelas.
Seterusnya langkah ke ayat seterusnya: “Malam semakin larut, dan suasana sunyi di dalam rumah kecil itu semakin terasa”, menuntun naluri pembaca kepada perilaku manusia terhadap persekitarannya melalui watak fiksyen ciptaan penulis. Baris yang seterusnya tentu sekali ialah rentetan keadaan, “Hatinya gundah, penuh dengan pertanyaan dan kegelisahan” sesuai dengan keadaan watak fiksyen yang berkonflik dengan dirinya, iaitu konflik perasaan dan fikiran.
Dalam hal ini, ada unsur kekuatan pada watak Mikha. Mikha sangat beruntung dalam hal ini kerana mempunyai kawan yang menyediakan persekitaran kehidupan yang sangat kondusif untuk membantu dia kembali kepada Tuhan. Perhatikan keberuntungan hidup Mikha yang dimaksudkan di sini:
Vanesa, sahabat karibnya, selalu ada di sisi. Mereka sudah berkawan sejak kecil, dan Vanesa sering kali menjadi peneman setia dalam suka dan duka. Mikha sangat bersyukur atas keberadaan Vanesa, namun di dalam hatinya, dia tahu ada kekosongan yang tidak dapat diisi oleh sesiapa pun. Mikha masih buntu, terdapat banyak persoalan yang bermain di minda kerana ia merasakan diri seakan-akan berada di terowong yang gelap.
Penelusuranfitrah dalam cerpen ini akan mempertemukan kita dengan kemungkinan:
- fitrah yang maksudnya suci: hubungan baik antara Mikha dan Vanesa memberi gambaran hubungan antara dua orang insan yang berhati suci. Mereka saling membantu, Vanesa sentiasa menjadi sandaran Mikha dalam suka atau duka.
- fitrah yang bermaksud manusia menyerah dirinya kepada Allah (ad-din): Mikha secara naluriah dan fikiran, atas nasihat Vanesa dan melalui ceramah oleh penceramah agama memberi gambaran watak fiksyen ini Mikha berserah diri kepada Tuhan.
- fitrah yang bermaksud keadaan selamat (al-salamah) dan lestari (istiqamah): oleh sebab pengkarya fokus kepada cahaya, iaitu simbol kebaikan, keuntungan, tentulah keselamatan yang berterusan juga, maka aspek ini tidak digambarkan dengan langsung. Namun, ada.
- fitrah yang bermaksud mengakui kebesaran Allah (tauhid): jangkauan manusia yang terbatas, yang lazimnya membawanya kembali kepada
Tuhan, ialah satu manifestasi pengakuan akan kebesaran Tuhan.
- fitrah yang bermaksud kesanggupan manusia menerima kebenaran: maka kebenaran itulah yang dilalui oleh Mikha melalui gambaran “Semakin lama, Mikha merasakan hatinya mulai tenang, beban yang selama ini menghimpitnya perlahan-lahan terangkat. Dia menyedari bahawa selama ini dia telah mencari di tempat yang salah.”
- fitrah yang bermaksud potensi manusia untuk beribadat dan mengenal Tuhan: walaupun Mikha pernah jauh dari aktiviti di gereja, potensinya kembali kepada kehidupan fitran diserlahkan ada, dan berjaya.
Penambahbaikan Karya
Kekuatan karya fitrah yang dipaparkan dalam “Mencari Cahaya” tidaklah lengkap sebagai sebuah karya besar yang menyuguhkan pemikiran mendalam tentang tema yang digarap oleh pengkarya.
Mungkin kerana pengalaman penulis yang belum banyak, maka persoalan fitrah dalam tema kehidupan manusia ini terasa berada di permukaan sahaja. Umpamanya watak Mikha yang bingung dan risau, tidak dinyatakan penyebabnya.
Pembaca tentu sekali akan tertanya-tanya, apakah yang menyebabkan watak Mikha itu menjadi begitu. Mungkin konsep atau hukum sebab akibat, hukum karma perlu diberi pertimbangan. Saya percaya rincian gambaran ini mampu mencambahkan kekuatan tambahan kepada cerpen ini.
Namun sebagai permulaan, karya ini sudah memberi pengalaman pembacaan yang munasabah. Satu lagi perkara yang perlu dianyam dengan mahir ialah sesebuah cerpen tidak akan mampu memuatkan semua perkara yang ada dalam pemikiran penciptanya. Namun jika ditampilkan secara panjang, nama dan sifatnya sudah menjadi novel. Dalam konteks inilah pencipta karya dituntut supaya bijaksana mengadun elemen-elemen karya agar harmoni dan lancar. Apabila dibaca, kesannya menggoda, mempengaruhi pembaca.
Terselit di celah-celah kekuatan dan kesegaran cerpen ini ada sedikit kelemahan yang saya kira sangat perlu diteliti oleh pengarang untuk perekayasaan cerpen lain yang belum dihantar ke penerbitan.
Antara yang perlu diberi perhatian ialah tatabahasa bahasa Melayu hendaklah mantap tanpa apa-apa kesalahan sama ada kesalahan pemilihan kata, ejaan, morfologi atau sintaksis, di samping berusaha menggagahkan aspek sastera dan keindahan bahasa. Lazimnya keindahan bahasa mampu menguatkan sesebuah prosa, di samping meneguhkan estetika prosa yang lain, iaitu:
- estetika bentuk
- estetika struktur
- estetika ilmu
Pertimbangan juga boleh diberi kepada estetika yang merujuk kepada objek alam dan seni yang mempunyai nilai. Objek alam memang akrab dengan pemikiran pencipta karya sastera. Bentuk dan ciri-ciri pemikiran dalam puisi sememangnya mempunyai hubungan yang kental dengan keadaan dan fenomena alam. Alam menjadi pusat tumpuan dan sumber pemikiran masyarakat pencipta. Begitu juga dengan penciptaan cerpen.
Kesimpulan
Saya berandaian, melalui penelitian karya ini (sahaja) bahawa pengkarya mempunyai bingkai cerpen yang lengkap ciri-cirinya sebuah karya. Dalam cerpen ini ada watak, yang berada di latar tempat yang munasabah, mempunyai matlamat yang hendak dicapai dan usaha itu mengalami halangan tertentu hingga menimbulkan konflik dalaman yang signifikan.
Permulaan penulisannya yang menggunakan gaya atau teknik eksposisi, dalam konteks cerpen ini sangat berkesan kerana mengundang naluri ingin baca untuk pembaca terus membaca karyanya. Tahniah.
Begitu juga dengan penyelesaian (ending), mengembalikan paradigma pembaca kepada fitrah seperti yang diperkenalkan tadi, iaitu hidup bertuhan. Dari dimensi deduktif, cerpen ini menuntun pengaruh jiwa remaja yang signifikan dalam kehidupan seharian – kembali kepada fitrah.