SIMUNJAN: Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang memperincikan senarai institusi kewangan yang akan mengambil bahagian dalam memberi pembiayaan berjumlah RM1 bilion di bawah Skim Pembiayaan Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri semalam berkata perincian ini akan diumumkan oleh BNM Julai ini yang akan turut menetapkan pengusaha-pengusaha pelancongan kategori kecil dan sederhana yang layak untuk mendapat bantuan pembiayaan itu.
“Kerajaan telah mengumumkan RM1 bilion untuk ditawarkan bagi membiayai inisiatif transformasi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke beberapa projek kerajaan yang dilaksanakan di kawasan Parlimen Batang Sadong di sini.
Lawatan itu merupakan yang pertama dilakukan beliau sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas.
Menurutnya, pembiayaan itu adalah langkah bagi memastikan PKS dapat terus beroperasi dan berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.
Nancy berkata kementeriannya sedang dalam proses untuk merangka pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan pasca-PKP bermula dengan pengaktifan semula aktiviti pelancongan domestik.
Katanya, menerusi Tourism Malaysia, inisiatif-inisiatif pelancongan domestik akan diperkukuhkan lagi di bawah kempen Cuti-Cuti Malaysia, meningkatkan lagi gerakan perhubungan awam dan promosi menerusi media sosial serta kerjasama dengan badan-badan korporat.
“Kita akan menambahbaikkan lagi kualiti produk-produk dan perkhidmatan pelancongan dengan menerapkan kebiasaan baharu untuk meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelancong untuk melancong, tinggal lebih lama dan berbelanja,” katanya.
Berhubung pasaran pelancongan antarabangsa, kementeriannya bercadang untuk menggalakkan ketibaan pelancong dari pasaran jarak dekat khususnya dalam kalangan negara ASEAN.
“Bagaimanapun, pelaksanaannya nanti akan bergantung kepada hasil perbincangan dua hala dengan negara-negara terlibat dengan pertimbangan utama diberikan terlebih dahulu kepada aspek-aspek kesihatan, imigresen, pengesanan data dan pengawasan berterusan,” katanya.- Bernama