Oleh: Nur Amirah
ORANG kata, sakit kehilangan orang tersayang itu umpama anak panah yang menusuk ke dalam hati. Sementara menikmati terbenamnya matahari, aku melabuhkan tubuh di sebuah kerusi di beranda. Setiap sudut di rumah ini mempunyai ceritanya tersendiri, ada yang pahit dan ada yang manis.
Ini kisah aku dan dia. Seorang lelaki yang hebat dalam hidupku. Seorang yang pernah berkeringat untuk memperjuangkan masa depanku. Orang pertama yang pertama melaungkan azan di telingaku. Lelaki pertama yang aku gelar sebagai ‘abah’, seorang ketua rumah yang mengorbankan segala-gala buat keluarganya, seorang lelaki yang banyak menyembunyikan luka demi kebahagiaan keluarganya. Mungkin abah bukan dari keluarga yang berharta, dia juga tidak berpendidikan tinggi tetapi kami sekeluarga tidak pernah merasa putusnya rezeki makan setiap hari, kami tidak pernah merasa bumbung yang bocor dan kami tidak pernah merasa sakitnya dipukul. Dia memberikan pendidikan agama yang sempurna, dia mengajarkan erti bersyukur, dia memberikan segalanya buat kesenangan keluarganya walaupun dia harus mengorbankan impiannya sendiri. Bagi dia, kebahagiaan dia adalah sebuah keluarga yang telah dia bina bersama tanggungjawab dan amanah. Dia seperti bulan yang menerangi malam.
“Adik! Turun makan, sayang.” Kedengaran suara abah sudah cukup membuatkan hati aku senang.
Perlahan kakiku menuruni anak tangga sambil melihat abah dari jauh. Sosok yang tinggi, berkulit gelap sedikit, berkemeja biru sambil melipat lengan baju, rambut yang tidak terurus dan sedikit basah pada baju, sedang menyediakan pinggan di meja makan. Sosok itu melemparkan senyuman manis tatkala melihat tubuhku.
“Abah tahu adik mesti belum makan malam. Abah sediakan lauk biasa saja malam ni ya, mi sup campur telur setengah masak kesukaan adik.” Kata abah sambil menarik kerusi untuk duduk disebelahku.
“Wah! Sedapnya bau makanan ni. Abah tahu tak, makanan abahlah tetap nombor satu, takda seorang pun dalam dunia ni standing masakan abah.” Gurauanku membuatkan abah tergelak. Entah kenapa setiap kali abah gelak seakan duniaku sentiasa terisi yang indah-indah.
“Hari-hari abah masak untuk adik. Kesian abah kan. Mandi pun belum sempat, tah dah makan ke belum.” Kebiasaannya abah pulang jam 5 petang, mengikut jam pejabat manakala ibu bekerja ikut shif di Hospital. Kadang ibu turun petang balik malam sehingga tidak cukup masa untuk menyediakan makanan sebab tu abahlah yang sediakan makanan untuk kami berdua.
“Abah takutlah puteri abah ni kelaparan lepas pulang sekolah. Sekolah pulak dari pagi sampai petang. Nanti kurus macam tulang, dah tak manis.” Anak mataku menatap wajah abah. Seperti biasa, dia memulangkan senyuman manis walaupun bahunya lelah memikul.
Setelah makan, aku mula mengemas dapur manakala abah mengemas diri dan menunaikan solat di atas. Aku teringat pada pesanan abah. Abah selalu pesan siapalah kita sebagai manusia yang sering mengehadkan kesabaran yang hanya baru diuji sekecil kuman? Menurut abah, kita bukanlah sehebat para Nabi tetapi jadikan mereka sebagai idola, apapun masalah yang kita hadapi kita perlu sabar dan yakin akan ada cahaya yang menanti kerana abah berpegang teguh dengan ‘kesabaran itu senjata bagi orang mukmin yang sejahti’.
“Abah buat ape tu, rindukan ibu ke?” Aku membawa secawan teh sambil menghampiri abah yang sedang duduk santai di luar perkarangan rumah sambil merenung ke arah bulan.
“Lah mestilah rindu, radio abah kan.” Tanpa membalas kami berdua tergelak. Walaupun aku sedar jawapan itu seakan tidak lawak tapi tanpa sedar itulah hiburan kami berdua.
“Abah, Kalau adik nak tanya soalan boleh?” Aku memandang ke arah wajah lelaki yang lingkungan 50-an itu untuk memastikan jawapannya membenarkan aku untuk meneruskan pertanyaan. Dia menganggukkan kepala sambil menghirup secawan teh yang aku buat.
“Abah tak penat ke? Yalah, kerja siang sampai dah nak malam, lepastu sambung balik kerja di rumah, siapkan makan minum ibu dan adik. Adik yang melihat ni pun dah penat.” Mungkin soalan itu sudah lama terperap di ruang fikiran.
“Akan tiba suatu masa kita semua akan berehat. Berehat dari memikirkan masalah dunia, berehat daripada menggalas tanggungjawab, dan banyak lagi. Akan ada, jangan risau. Allah kan Maha Mengetahui. Jadi selagi masih ada masa ni abah nak buat yang terbaik supaya kelak bila ditanya tentang tanggungjawab, abah yakin tubuh abah, keluarga abah akan jadi saksi setiap titik peluh abah.”
Aku merenung wajah abah sedalam-dalamnya. Kata-kata yang penuh dengan keikhlasan.
“Nanti kalau Medina dah besar lagi sikit kalau dah rasa masa yang sesuai nak cari pasangan, carilah pasangan yang memahami dan menghormati Medina seperti berlian. Maksudnya, cari pasangan yang bukan memuaskan nafsu tapi sayang adik kerana Allah. Dia mesti layan adik lebih daripada abah layan adik. Abah tantang puteri abah seperti minyak yang penuh, jadi dia perlu buat lebih lagi.”
Kami saling memandang antara satu sama lain. Aku mengambil masa untuk menjawab soalan itu kerana sedar kata-kata abah adalah benar. Abah yang menjaga aku bak sang puteri seperti satu dalam sejuta. Terima kasih semesta pernah menjadi saksi kebahagiaan kami dan menjadi saksi perbualan kami berdua malam itu kerana ia adalah saat terindah buatku.
2 Tahun Kemudian
Kelihatan satu sosok yang amat dirindui yang sedang menunggu kepulangan anak tunggal perempuannya di luar rumah sambil memegang penyapu.
“Abah!” Insan yang pertama aku temukan ialah abah.
“Ya Allah adik, Alhamdulillah sampai juga dengan selamat.” Abah memeluk tubuhku ke dakapannya. Pelukan ini yang aku rindukan. Pelukan yang menjadi tempat pulangku setelah menghadap terlalu banyak masalah dunia.
“Adik rindu abah!” Sepanjang di Universiti, komunikasi antara aku dan abah semakin berkurang kerana jadual yang padat dengan kerja kursus, dan aktiviti-aktiviti siswa.
“Rindu abah je ke, adik?” Aku melihat tubuh ibu sedang menunggu di pintu rumah sambil tersenyum. Aku mula melepaskan pelukan abah dan menghampiri ibu.
“Ibu sihat?” Kini aku berada di pelukan ibu, hangat seperti abah.
“Alhamdulillah, sihat. Adik dah makan? Kalau belum pergi kemas lepastu makan kat dapur, abah dah siap bangun subuh masak masakan adik.” Kata ibu sambil mengerling ke wajah abah sambil senyum perli.
“Wahh rindulah masakan abah! Adik naik dulu ya, nak kemas pastu nak makan. Lama tak makan masakan abah ni!”
Abah dan ibu tertawa kecil.
Seusai solat isyak berjemaah, abah seperti biasa duduk di luar sambil merenung ke arah bulan. Abah sangat sukakan alam. Bagi dia, setiap yang diciptakan itu sangat indah. Abah pernah cerita dulu dia bercita-cita nak jadi angkasawan seperti Dr Sheikh Muszaphar sebab minat dia tapi takdir dia hanya sebagai penyelidik di pusat Falak. Abah cakap, apa pun pekerjaan perlu bersyukur walaupun bukan minat kita sebab pekerjaan yang halal juga rezeki.
Setelah beberapa bulan, aku dapat tawaran belajar lagi di USM Penang, mengambil ijazah sarjana muda. Sebelum giliran kapal penerbanganku, aku menatap wajah dua insan yang paling aku sayang. Rasa sedih dalam diri ini sehingga tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulut.
“Adik, abah nak minta maaf andai ada kata-kata abah yang menyinggung hati adik.” Perlahan-lahan abah mendekati diriku sambil mengenggam tanganku.
“Abah tak pernah buat salah dekat adik malah adik yang banyak buat salah dekat abah. Abah janji tau abah kena sihat dan kuat. Abah janji tau abah mesti ada sampai adik habis belajar.” Air mataku mulai berlinang membasahi pipi. Aku memeluk erat tubuh yang berada di hadapanku.
Setelah mengucapkan selamat tinggal aku terus berpaling masuk ke kawasan perlepasan kapal bercampur rasa sebak meninggalkan mereka sewaktu itu. Sebuah penyesalan bermula tatkala aku menaiki kapal terbang petang itu. Boleh dikatakan segala-galanya telah berubah hanya dalam sekelip mata. Ingin memutarkan waktu agar menjadi yang lebih baik namun apakan daya segalanya umpama nasi sudah menjadi bubur.
3 Tahun Kemudian
3 tahun telah berlalu dan sekarang aku berada di tahun akhir sebagai mahasiswa di USM, Penang. Sudah 3 tahun juga aku tidak pulang ke rumah disebabkan tiket untuk menyeberang lautan sahaja sudah memadai makananku sebulan. Aku tidak meminjam mana-mana biasiswa kerajaan kerana bagi abah dia masih mampu menampung keperluanku. Kata lain, abah tidak mahu aku dibelenggu dengan hutang sewaktu bekerja.
Hampir 10 kali deringan telefon tidak dijawab. Kali ke-11 aku mula mengangkatnya. Nama yang terpapar di skrin telefon sangat dikenali.
“Assalamualaikum, adik. Adik apa khabar? Adik dah makan? Duit yang abah bagi cukup tak?”
Suara yang sering aku rindukan dahulu. Aku tidak ingat bila kali terakhir aku menelefon orang tua itu. Mungkinkah seminggu yang lepas? Sebulan yang lepas? Atau 2 bulan yang lepas? Entah, yang pasti sudah lama agaknya tidak berhubung.
“Adik banyak kerjalah, abah. Dengan assignment lagi, kelas lagi dari pagi sampai malam.” Jawabku dengan nada yang agak tinggi.
“Takpalah, abah faham. Adik buat apa? Dah makan ke? Adik bila ba…” Berlontar-lontar peluru yang abah bagi. Terlihat jelas dia sedang dalam kerinduan.
“Abah. Abah tak payah risau, adik pandailah jaga diri sendiri. Takkan dah jauh macam ni pun abah sibuk juga. Nanti adik baliklah kalau ada masa. Dahlah bah, adik ada kelas ni. Nanti adik telefon balik.”
Belum sempat abah menjawab aku menutup telefon itu. Nanti? Bila nanti? Bulan depan? Atau tahun depan? Ampunkan segala dosa-dosa Medina, abah.
Selang beberapa bulan pada hari sabtu, di mana aku sibuk berfoya-foya di Mall bersama-sama rakan sekelas. Telefon yang berbunyi tidak diambil peduli. Tiba sahaja di kolej aku sedar sudah hampir 30 panggilan tidak dijawab daripada ibu. Sangkaanku mungkin sahaja mereka menelefon kerana rindu. Aku melenggahkan masa untuk menelefon semula sehingga larut malam. Sedang diulit mimpi, aku terbangun kerana telefon berdering lagi. Aku mengerling ke arah jam. Jam menunjukkan 4.35 pagi.
“Assalamualaikum, ibu. Kenapa call? kan boleh mesej je.” Jawabku dengan separuh sedar.
“Bila nak balik Medina? Seronok sangat agaknya di negeri orang sehingga dilenggahkan panggilan ibu!”
Mataku mulai segar apabila mendengar suara ibu yang tinggi. Ibu sedang menangis. Aku terdiam sejenak.
“Kamu baliklah sekarang. Ibu merayu sangat-sangat, baliklah. Tangguhkan dulu urusan kamu dekat sana. Kalau kamu masih rasa ada orang tua, kamu baliklah sekarang.” Sambung ibu. Suara ibu semakin pudar kerana tangisannya.
Buat kali pertama aku mendengar suara ibu menangis dan hati aku mulai resah. Tanpa berfikir panjang aku mengemas diri dan segala pakaian dan menuju ke KLIA. Tiba sahaja di kaunter aku membeli tiket ke Kuching, Sarawak. Sepanjang perjalanan mulut dan hatiku tidak berhenti beristighfar dan berzikir.
Jam 11.10 pagi, aku tiba di lapangan terbang Kuching. Kelihatan pakcik Syafiq sedang menunggu kepulanganku di lapangan terbang, bersedia membawaku pulang ke rumah. Sepanjang jalan pakcik hanya mendiamkan diri. Di tanya masih tidak bersuara. Hanya matanya yang berkaca cukup menjelaskan keadaan sedang tidak baik-baik sahaja.
Tiba di rumah, aku kelihatan binggung. Perlahan-lahan aku mengambil langkah untuk masuk ke rumah sambil memberikan senyuman kepada semua tetamu yang memakai baju kurung dan baju melayu. Tetapi abah tiada di luar. Kebiasaannya abah akan melayan tetamu di luar rumah.
‘Abah bantu ibu agaknya.’ Aku bermonolog sendiri.
“Ibu? Ibu kenapa menangis?” Berdiri sahaja di hadapan pintu masuk, kelihatan ibu sedang menangis sambil di pupuk oleh adik beradik ibu.
“Ibu, ibu buat majlis apa ni? Kenapa tiba-tiba? Kenapa ibu menangis?” Tanyaku sambil mata masih melihat sekeliling. Tiada satu bayang abah kelihatan. Hati aku mula berdegup laju. Mana abah? Kenapa bukan abah orang pertama yang menjemputku pulang? Kenapa bukan sosok abah yang pertama aku lihat?
“Ibu, mana abah?” Jiwa aku sedang meronta-ronta. Ibu masih tidak menjawab persoalan aku.
“Abah dah pergi tinggalkan kita, sayang.”
Hatiku tersentak. Duniaku seperti dalam kegelapan. Dalam satu minit segalanya dikenang semula. Kenangan bersama abah. Pipiku dibasahi penuh dengan air mata. Pakcik cakap abah sudah dikuburkan subuh tadi kerana tidak elok dibiarkan jasadnya semalaman. Abah sudah meninggalkan dunia sejak aku di Mall. Sedang aku tidur, abah menungguku di rumah. Di hari terakhir dia, bukan aku yang berada di sisi. Jangankan wajah kali terakhirnya tidak sempat aku tatap, bahkan suaranya juga belum sempatku dengar.
Malam itu terasa sangat asing. Selalu kerusi luar itu diisi oleh abah. Malam ini ia kosong, sunyi dan dingin. Adakah ini rasa abah sepanjang ketiadaanku? Masih ada bayang gelak tawa kami di setiap sudut rumah. Aku merenung cawan kegemaran abah yang pernah aku hadiahkan pada usiaku 16 tahun.
“Abah rindu adik. Abah selalu berharap esok dia bangun ada adik di sisi. Setiap hari abah tengok telefon, tunggu panggilan dari adik. Dia sangat. Sangat adik. Rindukan puteri dia.” Hati aku sakit. Sakit menahan sebak di dada. Sebegitu sekalikah abah rindukan aku? Derhakanya diri ini, Ya Allah.
“Setelah disahkan kanser paru-paru, abah siap tuliskan adik surat. Dia tak nak bagitahu sebab tak nak adik risau dan hilang fokus dalam pelajaran.” Ibu menghulurkan sepucuk surat. Melihat sahaja dari luar membuatkan aku sedih apa lagi isinya. Aku mula membuka surat itu sambil duduk di kerusi abah.
‘Assalamualaikum, adik. Abah nak adik tahu yang abah sayang adik sangat-sangat. Abah yakin bila adik baca surat ni maksudnya abah dah pergi menghadap Ilahi. Maafkan abah sayang, abah gagal lagi tunaikan permintaan adik. Adik, hadiahkan doa untuk abah, ya? Jadi anak dan isteri yang solehah, taat dalam agama, jaga ibu. Abah nak adik tahu adik adalah anugerah yang sempurna buat abah dan ibu. Abah faham, jiwa remaja adik sedang meronta-ronta. Tapi ingatlah, jiwa yang tidak terkawal akan jatuh ke lembah kegelapan. Kalau ada masalah, jumpalah Allah di setiap lima waktu. Semakin adik besar, semakin berat bahu memikul beban, semakin adik besar juga semakin banyak liku-liku kehidupan. Akan ada masa sedih, ada masa gembira. Percayalah, doa seorang ibu itu akan diangkat setinggi-tinggi langit. Kalau ada masalah, mintalah ibu doakan. Tugas abah dah selesai di dunia sayang. Siramlah abah dengan doa. Janganlah sedih. Jangan lupakan abah tau. Nanti kita jumpa lagi. Abah maafkan adik semoga adik pun maafkan abah, ya? Jadi anak kebanggaan abah dan ibu selamanya, sayang. Abah minta diri dulu.’
Aku ditemani dengan kesedihan malam itu. Kata-kata abah, wajah abah mula bermain di ruang fikiran ketika itu. Bagaimana untuk aku menghadap rindu yang tidak berbalas ini. Seperti mana masa depanku dengan membawa rasa sesal dalam diri ini?
“Abah. Adik redha…”
5 Tahun Kemudian
“Alhamdulillah, terima kasih adik. Ibu gembira sangat-sangat dengan hadiah ni.” Aku hadiahkan pakej umrah untuk ibu. Dengan izin Allah, kami akan berangkat umrah hujung tahun ini. Alhamdulillah.
Akhiri kalam ini, kepergian mengajarkan hidupku bahawa masa tidak pernah menunggu malah kita yang harus mengejar. Hargailah masa dengan orang yang tersayang selagi masih ada nafas.