PUISI

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Dalam Nama Ayah, Ada Keringat dan Darah

Dari hati seorang ayah

terungkap dalam isi

keringat dan darah

sebagai bukti nilai cinta

tercatat pada hari pertama

namanya terukir sebagai ayah


Pelukan subuh membangkitkan

semangat ayah pada setiap pagi

menjemput dirinya bertahan

dalam apa jua musim

dengan tangan yang tidak pernah

mempunyai perasaan

pada kening yang tidak pernah

merungut atas kebanjiran beban


Di saat badai kehidupan

meredah payahnya, dia masih

mampu berdiri tegak

tanpa menggoyahkan rasa cinta

pada keluarga yang sentiasa

menanti kepulangan si ayah

berbekalkan darah yang disembunyikan

dalam kebasahan keringat

dibilas dan dikeringkan

sebelum tiba di kaki pintu.


Stephanie Juanita Ahlee

9 Mei 2024, Miri.

Warkah yang Menyembunyikan Resah

Menemui takdir yang telah

menjemput ayahku pulang,

sudah hampir sedekad,

separuh hidupku gelita,

mendakap perih,

mendewasa dalam sunyi.


Wahai takdir,

hidupku kini penuh ketakutan,

seandainya sudah tiba waktu,

kau menggelapkan separuh

lagi sisa hidupku.


Aku coretkan warkah ini,

meminta secebis ihsan,

berikan lagi banyak masa, ya takdir

kerana aku masih belum kenyang,

mendengar suara ibuku.


Yang memohon,

Anak yang trauma akan kehilangan.


Nabillah Bolhassan

Sibu, Sarawak

Ayah

Ayah,

di wajahmu ada tanda waktu yang menua

suram, sayu dan kau tersesat

dalam renungan duka yang merimbun

binar matamu yang dulu

padam oleh gerimis kesedihan

yang perlahan melebat.


Ayah,

Beban tubuhmu adalah

berat air mata yang kautanggung seumur hidup

langkah lemahmu adalah tubuh lelah

yang dibeban kenangan tentang

tawa bahagia dan duka cabar kehidupan.


Ayah,

darimu aku belajar bahawa kebebasan

bukan terletak pada luaran tetapi di lubuk jiwa

darimu aku belajar bahawa kekuatan

dan rahmat tetap ada

meski dalam dunia yang menyesakkan.


Dunia ini telah mengajarku

tentangmu, ayah

tentang dirimu adalah harta yang bernilai,

dan kenangan yang terkumpul pada wajahmu

terlalu berharga untuk dilepaskan.


Meena Nahar

Puisi

Lara Hati Jika diikut lara hati ingin terasing membawa diri pergi jauh menuju alam nian abadi. Lara hati membawa lari,

Cerita untuk Masa Depan

SEPANJANG aku menjadi penulis, keobsesan aku terhadap cerita yang aku tulis melebihi segala-galanya. Kadang-kadang, sampai tahap sukar untuk membezakan yang

Puisi

Lara Hati Jika diikut lara hati ingin terasing membawa diri pergi jauh menuju alam nian abadi. Lara hati membawa lari,