
SIBU: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan untuk menangani isu ‘menara kosong’ dan kawasan tanpa liputan telekomunikasi di Sarawak melalui kerjasama rapat bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata satu jawatankuasa khas dikenali sebagai Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat (MED4IRN) telah ditubuhkan bagi mencari penyelesaian terhadap masalah kesalinghubungan digital di negeri ini.
“Jawatankuasa ini bersidang setiap suku tahun dan turut disertai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal digital. Antara isu utama yang dibincangkan ialah kawasan tanpa liputan serta kewujudan menara telekomunikasi yang tidak beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jelajah Rumah Panjang di Rumah Collin, Selangau, hari ini.
Menurut Gobind, beliau telah meminta SKMM menyediakan laporan lengkap berkenaan isu berkenaan yang dijangka dibentangkan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Mesyuarat terkini jawatankuasa tersebut telah diadakan pada 28 April lalu di Pulau Pinang dan turut dihadiri Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong serta wakil SKMM.
“Kami komited memastikan semua pihak berkepentingan bekerjasama rapat dalam menyelesaikan masalah ini secepat mungkin demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa permohonan pelaksanaan rangkaian 5G di kawasan Selangau kini sedang dalam peringkat penelitian.
“Saya telah meminta Digital Nasional Berhad (DNB) meneliti permohonan ini dan menyerahkan laporan kepada saya selewat-lewatnya minggu depan,” katanya.
Gobind turut menekankan bahawa suara dan permintaan daripada ketua komuniti termasuk tuai rumah perlu diberi perhatian serius dan diambil tindakan segera.
“Kesalinghubungan digital bukan sekadar untuk komunikasi, tetapi juga menjadi pemangkin kepada akses pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi luar bandar,” tambahnya.
Dalam majlis yang sama, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Collin bagi kerja-kerja baik pulih dan naik taraf rumah panjang termasuk pembaikan bumbung yang bocor.
Oleh Akun Giman