
SIMANGGANG: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) memandang serius masalah anjing liar yang semakin tidak terkawal di kawasan Kampung Muhibbah sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut kenyataan media MDSA hari ini, isu tersebut bukan sahaja menjejaskan aspek keselamatan penduduk, malah turut memberi kesan terhadap kebersihan dan kesejahteraan komuniti di kampung berkenaan.
Sehubungan itu, pihak MDSA telah mengadakan satu sesi perjumpaan bersama Ketua Kampung serta penduduk Kampung Muhibbah bagi membincangkan masalah berkenaan secara lebih menyeluruh.
MDSA berkata, perjumpaan tersebut bertujuan memberi penjelasan kepada penduduk mengenai tindakan dan langkah-langkah yang sedang serta akan dilaksanakan oleh pihak majlis dalam menangani isu anjing liar.
Dalam masa sama, sesi itu turut dijadikan platform untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan kerjasama daripada penduduk kampung supaya usaha menangani masalah tersebut dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berhemah.

Menurut MDSA, semua tindakan yang diambil adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa demi menjaga kepentingan dan keselamatan awam.
Pihak majlis turut menasihatkan pemilik anjing agar sentiasa memastikan haiwan peliharaan mereka dikawal dengan baik dan tidak dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk gangguan terhadap penduduk serta risiko keselamatan kepada kanak-kanak dan warga emas.
MDSA menegaskan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya dari semasa ke semasa demi memastikan persekitaran Kampung Muhibbah sentiasa bersih, selamat dan harmoni untuk kesejahteraan komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman