MCTP salur RM50 ribu perkasa Fiesta Kebudayaan Tiong Hua Antarabangsa 2026

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Abdul Rahman pada Program Fiesta Kebudayaan Tiong Hua Antarabangsa 2026. Foto Pusat Khidmat Bukit Kota.

LIMBANG: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menyokong penganjuran Pesta Tiong Hua Limbang.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan terus menyokong inisiatif pelbagai pihak dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasa aktiviti kebudayaan sebagai pemangkin sektor pelancongan di utara Sarawak.

“Kita berterima kasih kepada MTCP kerana menyokong penuh dan membantu dari segi dana bagi menjayakan pelbagai program di bawah Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang.

“Untuk program malam ini, kita diberikan dana sebanyak RM50,000 daripada MTCP,” katanya.

DATUK Dr Abdul Rahman pada Program Fiesta Kebudayaan Tiong Hua Antarabangsa 2026. Foto Pusat Khidmat Bukit Kota.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Fiesta Kebudayaan Tiong Hua Antarabangsa 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang, malam tadi.

Program tahunan anjuran Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang dengan kerjasama MTCP dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu berlangsung dari 25 hingga 27 September 2026, bertemakan ‘Warisan Budaya, Perpaduan Jiwa’.

Dr Abdul Rahman berkata, Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang turut melaksanakan pelbagai program menarik di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun.

Menurutnya, program berskala besar mampu menarik kehadiran pengunjung sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya peniaga, pengusaha makanan, usahawan kecil dan pemain industri pelancongan.