Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Mbappe puas menggalas peranan kapten Perancis di Piala Dunia
  • SUKAN

Mbappe puas menggalas peranan kapten Perancis di Piala Dunia

Utusan Sarawak 5 hours ago

PENYERANG Perancis, Kylian Mbappe (#10).

FOXBOROUGH, Amerika Syarikat: Pengkritik Kylian Mbappe mungkin beranggapan bintang Perancis itu tidak sentiasa mengutamakan kepentingan pasukan.

Namun, penyerang berusia 27 tahun itu kini dilihat semakin serasi menggalas tanggungjawab sebagai kapten Les Bleus dalam usaha membawa negaranya menjulang gelaran Piala Dunia buat kali ketiga.

Mbappe mengharungi penghujung musim lalu yang mencabar bersama Real Madrid apabila diejek penyokong yang mempersoalkan komitmennya terhadap pasukan ketika beliau bergelut dengan kecederaan.

Walaupun terkenal sebagai penyudah yang prolifik, jaringan 86 gol dalam tempoh dua musim masih belum mencukupi untuk menghadiahkan Real Madrid kejuaraan utama.

Situasi sama turut berlaku ketika beliau meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada 2024 sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu, namun gagal menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara. Ironinya, PSG muncul juara Eropah selama dua musim berturut-turut selepas pemergiannya.

Namun begitu, pentas Piala Dunia merupakan kejohanan yang benar-benar membentuk perjalanan karier Mbappe. Sepanjang sebulan beraksi di Amerika Syarikat, beliau dilihat tampil dengan tekad yang cukup tinggi.

Setakat ini, Mbappe telah menjaringkan tujuh gol dalam lima perlawanan sebelum Perancis berdepan Maghribi pada aksi suku akhir di Stadium Gillette, berhampiran Boston, Khamis ini.

Sebagai bintang muda yang membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018, selain meledak hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022 ketika tewas kepada Argentina, Mbappe baru-baru ini muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad kebangsaan Perancis.

Kini beliau sedang mengejar Lionel Messi dalam perebutan Kasut Emas Piala Dunia, selain berusaha menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu. Namun, Mbappe tetap menegaskan bahawa pencapaian peribadi bukan keutamaan baginya.

“Saya tahu orang bercakap mengenai statistik. Saya juga menonton televisyen. Namun, fokus saya hanyalah membantu pasukan dan memastikan kami kembali ke sini pada 19 Julai,” katanya selepas kemenangan 3-0 ke atas Sweden pada pusingan 32 terakhir di Stadium MetLife, gelanggang perlawanan akhir.

Mbappe turut menjaringkan gol kemenangan ketika Perancis menewaskan Paraguay pada pusingan 16 terakhir di Philadelphia. Dalam perlawanan itu, beliau menjadi sasaran provokasi pemain lawan, namun berjaya mengawal emosi sepanjang perlawanan.

Selepas tamat perlawanan yang berlangsung dalam suasana tegang, Mbappe enggan bersalaman dengan penjaga gol Paraguay, Orlando Gill, sebaliknya terus mengetuai rakan sepasukan meraikan kemenangan bersama penyokong Perancis.

Dia Mempunyai Satu Misi

Selepas perlawanan itu, Mbappe menjadi sasaran kenyataan berbaur perkauman oleh seorang ahli politik Paraguay di media sosial.

Beliau membalas dengan menyifatkan Celeste Amarilla sebagai ‘hina’ dan ‘tidak layak’ memegang jawatan tersebut.

Mbappe turut mendapat sokongan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, serta Presiden FIFA, Gianni Infantino. Bagaimanapun, kontroversi itu tidak mengganggu tumpuannya untuk memburu kejuaraan Piala Dunia.

“Ramai menggambarkan dia seperti seorang diktator, sedangkan tanggapan terhadap Kylian tidak mencerminkan hakikat sebenar.

“Dia seorang pemain yang luar biasa dan apabila bercakap, dia mewakili seluruh pasukan,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Keputusan Deschamps menyerahkan lilitan kapten kepada Mbappe pada Mac 2023 selepas persaraan Hugo Lloris sebelum ini pernah menimbulkan tanda tanya.

Antoine Griezmann turut dianggap calon yang sesuai berdasarkan pengalaman lebih luas, namun Deschamps yakin Mbappe mampu memikul tanggungjawab tersebut.

Kempen Euro 2024 pula tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila Mbappe mengalami patah hidung dalam perlawanan pembukaan.

Beliau hanya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti, manakala Perancis sekadar mara ke separuh akhir tanpa mempamerkan prestasi terbaik.

Komitmennya bersama skuad kebangsaan turut dipersoalkan selepas kejohanan itu apabila Deschamps tidak menyenaraikannya dalam beberapa perlawanan ketika beliau sedang menyesuaikan diri bersama Real Madrid.

Namun, menjelang Piala Dunia, Mbappe kembali mempamerkan sentuhan terbaik apabila meledak lapan gol dalam tujuh penampilan antarabangsa antara Jun tahun lalu hingga Mac tahun ini.

Hubungan erat beliau dengan Deschamps turut terserlah apabila Mbappe meraikan gol pertamanya ketika menentang Sweden dengan berlari mendapatkan jurulatih itu untuk memeluknya selepas ibu Deschamps meninggal dunia beberapa hari sebelum perlawanan.

“Sejak hari pertama lagi, dia mempunyai satu misi,” kata Deschamps, yang berharap Mbappe mampu memimpin Perancis mara ke perlawanan akhir Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut sebelum beliau menamatkan khidmat sebagai ketua jurulatih selepas 14 tahun membimbing skuad kebangsaan. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Onana terlepas baki saingan Piala Dunia akibat kecederaan ACL
Next: Liga Juara Bola Sepak Belia Petronas 2026 himpun 164 pasukan rebut kejuaraan belia Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.