DOHA: Perancis menundukkan Poland 3-1 dalam aksi 16 pasukan terakhir Piala Dunia 2022 yang memecahkan rekod apabila Olivier Giroud menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dan Kylian Mbappe meledak dua gol menakjubkan.
Perancis melakukan serangan bertali arus namun tidak dapat menembusi kubu kuat Poland sehingga Mbappe membuka ruang untuk Giroud menewaskan penjaga gol, Wojciech Szczesny sebelum rehat yang menyaksikan jaringan ke-52 dirinya untuk Les Bleus.
Perancis yang juga juara bertahan terus mengasak selepas rehat, dengan Giroud hampir meledak gol kedua apabila dia menampan hantaran lintang Jules Kounde yang hanya sedikit melepasi tiang.
Namun Mbappe tidak melepaskan peluang pada minit ke-74 apabila melakukan rembatan deras dari dalam kotak penalti ke penjuru atas pintu gol.
Mbappe menambah gol kedua pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan pasukannya selain menyaksikan dia mengumpul lima gol keseluruhan dalam kejohanan itu.
Poland mendapat gol saguhati daripada sepakan penalti Robert Lewandowski.
Perancis seterusnya akan menentang pemenang perlawanan antara England menentang Senegal, yang akan berlangsung selepas ini. –