KUALA LUMPUR: Maybank Islamic Bhd memperkenalkan produk pelaburan pertamanya — Maybank Islamic Gold Account-i (MIGA-i), yang membolehkan pelanggan membuka akaun, membeli dan menjual emas, serta memindahkan emas, melalui saluran perbankan dalam talian Maybank2u.
Bank itu dalam satu kenyataan semalam berkata, pelanggan boleh membuat pelaburan emas dan melakukan transaksi beli atau jual dengan nilai serendah RM10 menerusi produk pelaburan tersebut yang dilancarkan baru-baru ini.
Perkhidmatan tersebut membolehkan pelanggan memiliki emas fizikal dengan ketulenan 999.9 peratus seperti yang diakreditasikan oleh London Bullion Market Association tanpa perlu menyimpan emas fizikal atau bimbang akan keselamatannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata MIGA-i berbeza daripada akaun emas konvensional, kerana akaun emas patuh syariah ini membolehkan pelanggan menebus baki emas yang ada dalam akaun mereka dengan emas fizikal, dalam denominasi daripada sekecil satu gram sehingga satu kilogram emas.
Bank itu juga merupakan institusi kewangan pertama di negara ini yang dapat menyerahkan emas fizikal kepada pelanggan mereka setelah penebusan dibuat.
“Pelanggan boleh melabur dalam emas dengan nilai pelaburan awal serendah RM10. Kadar keutamaan pendahuluan akan diberikan kepada pelanggan dengan pelaburan sebanyak 100 gram ke atas untuk memastikan pelanggan mendapat harga emas yang paling menarik di pasaran,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Mohamed Rafique, akaun itu juga merupakan yang pertama seumpamanya di pasaran yang membolehkan pelanggan menikmati harga pasaran semasa secara masa nyata untuk membeli dan menjual emas.
Tidak lama lagi, katanya, pelanggan juga akan ditawarkan fleksibiliti untuk membuat pra-pesanan untuk membeli atau menjual berdasarkan harga pilihan mereka melalui Maybank2u.
Manfaat lain yang dapat dinikmati pelanggan akaun tersebut termasuklah tebaran yang lebih rendah antara harga jualan dan belian pihak bank serta tidak ada caj tambahan apabila pelanggan memindahkan emas dalam gram daripada satu akaun MIGA-i ke akaun MIGA-i yang lain.
“Terdapat peningkatan pelaburan emas dalam kalangan pelanggan pada masa kini. Pandemik Covid-19 telah mendorong para pelabur yang mengelak risiko untuk membeli aset seperti emas yang mereka anggap sebagai pelaburan yang stabil,” katanya.
Bagi MIGA-i, Maybank Islamic bekerjasama dengan syarikat perdagangan emas, ACE Innovate Asia Berhad (AIAB) yang telah terlibat dalam perdagangan jongkong emas sekerap, jongkong emas kas dan jongkong emas cetak sejak 2011.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MIGA-i boleh Layari www.maybank2u.com.my/miga. – Bernama