
SIBU: Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan terapung di Sungai Rajang, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihak polis telah terkesan satu video tular di laman sosial Facebook dari pemilik akaun ‘SARAWAKIAN’ yang berdurasi selama enam minit memaparkan mayat manusia ditemui terapung dan hanyut di Sungai Rajang.
Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, sekitar 1.30 petang tadi, sepasukan Polis Marin Sibu telah menemui satu mayat lelaki terapung tanpa pakaian dalam keadaan tertiarap di Sungai Rajang.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati seorang seorang lelaki, dengan anggaran ketinggian lebih kurang lima kaki dan berkepala botak.
“Tiada tanda-tanda lain ditemui pada tubuh si mati, turut dijumpai seutas rantai benang berwarna merah di leher si mati.
“Identiti lengkap, umur dan bangsa si mati masih belum dikenal pasti,” katanya menerusi siaran media, sebentar tadi.
Katanya, pemeriksaan awal terhadap tubuh badan si mati juga mendapati tiada sebarang kecederaan atau tanda-tanda berlaku pergelutan atau pergaduhan.
“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata beliau.
Zulkipli berkata, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga untuk menghubungi balai polis terdekat.
Atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes Sub Inspektor Donny Lai di talian 084-211221. Siasatan lanjut masih dijalankan.
Oleh Akun Giman