
BATU NIAH: Anggota bomba terpaksa memecahkan pintu dan sebahagian dinding bilik mandi bagi memberi ruang kepada polis untuk mengeluarkan mayat seorang lelaki di lokasi kejadian hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, PBT II Rary Binjie, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada 10.59 pagi daripada polis Batu Niah.
Menurutnya, pihak polis memaklumkan kemungkinan mangsa telah meninggal dunia di dalam bilik mandi dan memerlukan bantuan bomba untuk membuka pintu.
“Sepasukan anggota telah bergegas ke lokasi kejadian di SPAD Ladang Kosa Oil Palm, Lebuh Raya Pan Borneo Miri–Bintulu.
“Setibanya di lokasi pada 11.27 pagi, pasukan operasi menggunakan sut isolasi badan penuh bagi tujuan keselamatan sebelum memecahkan pintu dan sebahagian dinding bilik mandi menggunakan tongkat besi untuk memberi ruang kepada pihak polis mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Katanya, operasi bermula pada 11.28 pagi sehingga 12.16 tengah hari, tiada masalah dilaporkan melibatkan jentera sepanjang operasi dijalankan.
“Pasukan yang terlibat terdiri daripada PBK I Jeffery Majin (Penyelia), PBK II Mar Zakiria (Pemandu) serta tiga anggota PBB Huzaimie, PBB Haqeem, dan PBB Zulizam,” katanya lagi.
Mangsa, 61 tahun, insiden kini disiasat lanjut oleh pihak polis untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Oleh Adum Liu