MUKAH: Dalam kejadian sekitar 9.30 pagi tadi, mangsa berusia 54 tahun terjatuh ke sungai Batang Mukah akibat tergelincir ketika menaiki jeti penambang.
Mangsa yang dikenali sebagai Ajeman Saini dari Kampung Litong dikatakan jatuh di Pengkalan Penambang, Kampung Tanjung Mukah.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden Polis (DSP) Muhammad Rizal Alias berkata, dalam kejadian tersebut mangsa tergelincir lalu jatuh ke dalam sungai ketika menaiki jeti penambang di Kampung Tanjung. Sebelum itu, beliau dikatakan menaiki bot penambang dari seberang sungai iaitu jeti Pasar Lama Mukah menuju ke Kpg Tanjung.
Berikutan kejadian itu, pemandu bot yang mengenali mangsa telah bergegas memberitahu bapa saudara mangsa yang kemudian melaporkan insiden itu kepada pihak polis.
“Pengadu telah meminta bantuan penduduk kampung dan nelayan untuk mencari si mati yang terjatuh ke dalam sungai. Mangsa telah dijumpai pada 11.00 pagi setelah tersangkut di pukat yang digunakan dalam pencarian oleh penduduk kampung dan nelayan. Si mati dijumpai tidak jauh dari tempat beliau terjatuh,” katanya.
Rizal berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mukah juga berada di tempat kejadian untuk memberi bantuan mencari dan menyelamat.
“Mangsa dijumpai dan dibawa ke darat kemudian dihantar ke wad kecemasan Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan lanjut namundengan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Mukah disyaki akibat lemas,” ujar beliau lagi.
Jenazah si mati telah ditempatkan di rumah mayat Hospital Mukah untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.
Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Oleh HENRY B SIYU