
KUCHING: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan menganjurkan MATTA Malaysia Pickleball Grand Slam (MPG) 2025 di Pikabol, Malaysia’s Pickleball Powerhouse di sini dari 7 hingga 20 Oktober.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata kejohanan pertama seumpamanya di Malaysia itu dijangka menarik ramai pemain dan peminat antarabangsa, dengan hadiah wang tunai RM100,000 menjadikannya kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai terbesar di rantau ini.
“Sekurang-kurangnya 1,350 pemain dijangka menyertai kejohanan selama dua minggu ini, membawa lebih 2,000 pengunjung ke Sarawak termasuk penyokong, peminat, rakan dan ahli keluarga yang mengiringi para peserta,” katanya pada sidang media bagi mempromosikan kejohanan berkenaan di sini hari ini.
Pickleball ialah sukan raket pantas yang menggabungkan elemen badminton, tenis dan ping pong yang dimainkan di gelanggang lebih kecil.
Beliau berkata kejohanan itu akan mempertandingkan pelbagai kategori, termasuk acara berpasukan dan acara individu bagi beregu lelaki, wanita dan campuran merangkumi pelbagai peringkat kemahiran dan kumpulan umur.
“Kami menjangkakan ramai pemain akan tinggal di Sarawak sekurang-kurangnya lima hari atau lebih untuk menyertai kejohanan itu. Kami menganggarkan ROI (Pulangan Pelaburan) untuk negeri ini sekurang-kurangnya RM31.6 juta dalam perbelanjaan sepanjang dua minggu kejohanan itu,” katanya.

Susulan pengumuman itu, MATTA, yang diwakili Setiausaha Agung Phua Tai Neng menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pickleball Malaysia yang diwakili Bendahari Delima Ibrahim.
Wong berkata keputusan untuk mengadakan kejohanan itu di Sarawak adalah disebabkan peningkatan ketara negeri berkenaan dalam pelancongan sukan, yang dijangka menjadi pemacu utama pelancongan di rantau ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Sarawak sudah mula mencipta momentum dalam bidang ini, jadi adalah wajar untuk mengadakan kejohanan ini di Kuching di sini. Lebih penting lagi, kami mendapat sokongan padu daripada pelbagai persatuan pickleball,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata mereka menjangkakan sekitar 30 peratus pemain adalah warga Sarawak.
“Kira-kira 50 peratus pemain dijangka datang dari Sabah dan Semenanjung manakala 20 peratus lagi pemain antarabangsa,” katanya. – Bernama