SEMUA lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan dan pemimpin akar umbi perlu memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja keras menangani penularan wabak Covid-19 .
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Rosey Yunus menyatakan sokongan ini bagi menghargai petugas barisan hadapan yang sanggup mengadai nyawa, bekerja 24 jam dan meninggalkan keluarga untuk membantu memerangi pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga antara petugas barisan hadapan yang bekerja sewaktu pandemik ini melanda negara dengan mendapatkan maklumat dan menyebarkannya kepada orang awam menerusi rancangan siaran mereka.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Showcase TQ Frontliners dan Aspirasi Merdeka di Dewan Masyarakat Bekenu di sini malam semalam.
“Agensi kerajaan dan pemimpin akar umbi memainkan peranan membantu mengekang penularan ini sebab kita belum menang lagi memerangi wabak ini.
“Nasihat saya agar masyarakat terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan demi kesihatan diri sendiri,keluarga dan negeri kita,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak, Abdull Hadi Mohd Yusoff berkata, program ini bagi mendekatkan RTM dengan masyarakat setempat yang lebih terarah kepada penyaluran maklumat dan dasar kerajaan, pendidikan dan hiburan.
Program ini merupakan kerjasama startegik RTM Mirifm, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN 71 Bekenu dan Pejabat Daerah Subis yang menyajikan pelbagai persembahan seperti Sketsa Merdeka berkisarkan tugas yang dijalankan petugas barisan hadapan dalam norma baharu seperti pejuang kemerdekaan terdahulu menentang penjajahan serta persembahan nyanyian daripada beberapa penyanyi tempatan.
Oleh Adum Liu