Masyarakat Dayak disaran tidak balik

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH… Datuk John Sikie (kiri) menyerahkan cek untuk pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau kepada Pemangku Pegawai Daerah, Calvin Ligong, di Tatau semalam.

TATAU: Masyarakat Dayak di negeri ini disarankan supaya tidak balik ke rumah panjang menjelang Hari Gawai bagi meraikan perayaan itu nanti.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, langkah itu sebagai tanggungjawab dan kerjamsa semua pihak dalam memastikan penularan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Jika kita di bandar, Gawai disambut  ahli keluarga yang tinggal bersama serumah. Tidak perlu untuk balik ke rumah panjang. Begitu juga bagi penduduk di rumah panjang, sambut gawai di bilik sendiri sahaja bersama ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa penerima di Pejabat Pusat Khidmat DUN Kakus, semalam.

Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kakus mengingatkan masyarakat khususnya di Tatau ini supaya sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP), terutamanya masyarakat di rumah rumah panjang.

“Pastikan sentiasa menjaga jarak sosial, guna pelitup hidung dan mulut, kerap mencuci tangan,” katanya.

Dengan kerjasmaa semua pihak, beliau yakin rumah panjang dan kampung akan bebas daripada penularan wabak berkenaan.

“Saya mengikuti pemantauan yang dilakukan oleh pihak Polis dan Pejabat Daerah baru baru ini di Rumah Mat, Tatau. 

“Contohi apa yang dibuat di Rumah Mat, Tatau ini.  Mereka membuat tanda halangan diruai masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan supaya Tuai Rumah selaku Pengerusi Jawatankuasa keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan ahli JKKK Rumah Panjang  harus memantau dengan tegas agar semua SOP ini dipatuhi oleh semua penduduk di rumah panjang.

Oleh ELLIE EDWARD