PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengesahkan bahawa syarikat penerbangan MASWings Sdn Bhd (MASWings) kini sudah menjadi milik kerajaan Sarawak selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.
Ini berikutan rundingan pengambilalihan MASwings selesai dimuktamadkan.
Katanya, perbincangan yang diadakan antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) sebulat suara mengenai persetujuan yang melibatkan nilai aset.
Beliau turut memaklumkan bahawa majlis menandatangani perjanjian jual beli (SPA) ini akan dilakukan secara rasmi dalam tempoh terdekat dan diadakan di Kuching
“Apa yang dapat saya beritahu hari ini adalah urusan MASWings sudah selasai dimana kita sudahpun mengambil alih MASWings
“Tidak lama lagi kita akan adakan satu majlis rasmi untuk menandatangani persetujuan ini di mana saya jangka dalam masa satu bulan, sebelum bulan puasa,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Abang Johari memberitahu bahawa nama baharu bagi syarikat penerbangan tersebut akan diumumkan selepas selesai majlis pemeteraian itu nanti.
Sebelum ini, media melaporkan proses rundingan nilai aset berkenaan melibatkan aspek pengendalian darat di lapangan terbang yang terbabit.
Sebelum ini, Abang Johari menyatakan bahawa pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak memerlukan campur tangan pihak ketiga bagi menyelesaikan perbezaan penilaian aset antara pihak terlibat.
Antara destinasi antarabangsa menjadi pilihan syarikat penerbangan Sarawak susulan pengambilalihan itu termasuk Jerman, Korea, Jepun, Hong Kong dan Bangkok.
Oleh Noor Ikmal