
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Skills Standard Association (MASSA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi dari Korea Selatan Braindrop bagi meneroka inisiatif keselamatan penerbangan berkaitan risiko bateri litium dan bank kuasa (power bank) di kabin pesawat.
Kerjasama strategik itu ditandatangani Presiden MASSA Dr Nur Zairahtul Amirah dan Ketua Pegawai Eksekutif Braindrop Kim James.
MASSA dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu bertujuan memperkenalkan dan menilai secara teknikal teknologi kawalan kebakaran yang dibangunkan Braindrop termasuk TNFT Air-Pouch iaitu sebuah beg kalis api khas bagi menyokong usaha mitigasi risiko insiden pelepasan haba tanpa kawalan (thermal runaway) bateri di dalam pesawat.
”Inisiatif ini selari dengan peningkatan kesedaran global terhadap insiden berkaitan bateri litium dalam industri penerbangan, khususnya membabitkan bank kuasa dan peranti elektronik mudah alih yang dibawa penumpang,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak juga dijangka meneroka inisiatif penilaian dan pengujian teknikal di Malaysia selain mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri penerbangan tempatan serta program kesedaran awam pada masa depan.
MASSA memaklumkan inisiatif itu masih pada peringkat libat urus dan tidak mewakili sebarang bentuk pengesahan atau pensijilan rasmi daripada pihak berkuasa pada masa ini, dengan fokus awal ditumpukan di Malaysia sebelum potensi pengembangan ke rantau Asia Tenggara kelak. – Bernama