
MADINAH: Sistem perkhidmatan bersepadu untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) disediakan di Masjid Nabawi serta kawasan sekitarnya sepanjang musim haji kali ini.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan sistem itu bertujuan memudahkan pergerakan golongan itu selain membolehkan mereka menunaikan ibadah serta melakukan ziarah dengan mudah dan tenang, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengunjung Masjid Nabawi.
Perkhidmatan itu termasuk memudahkan akses dan pergerakan di dalam Masjid Nabawi dengan menyediakan kerusi roda elektrik dan manual serta kenderaan pengangkutan di lokasi tertentu, selain melengkapkan laluan, pintu masuk dan lif bagi memudahkan pergerakan penerima manfaat di dalam masjid dan kawasan dataran.
Laluan khas dan lokasi bersesuaian turut disediakan bagi memenuhi keperluan warga emas dan OKU ketika bergerak dan menunaikan solat.
Pasukan lapangan dan pasukan bimbingan turut menyediakan bantuan secara langsung kepada penerima manfaat di beberapa lokasi dalam kawasan pusat dengan membantu mereka mengakses ruang solat, kemudahan dan perkhidmatan, selain membantu mengawal pergerakan ketika waktu puncak bagi meningkatkan keselamatan dan memastikan kelancaran pergerakan.
Selain itu, perkhidmatan digital turut memudahkan akses menerusi peta interaktif yang disediakan melalui kod respons pantas (QR) di pintu masuk kawasan dataran Masjid Nabawi, di samping perkhidmatan digital pintar yang lain.
Perkhidmatan sokongan merangkumi tandas yang dilengkapi kemudahan khas serta kemudahan yang disediakan khusus, selain perkhidmatan pandu arah dan bimbingan dalam beberapa bahasa bagi membantu penerima manfaat tiba ke destinasi mereka serta mengakses perkhidmatan yang disediakan dengan mudah.
Usaha itu turut disepadukan dengan perkhidmatan pengangkutan, pengurusan orang ramai, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kecemasan di kawasan pusat bagi memastikan persekitaran yang selamat dan mudah diakses yang memenuhi keperluan warga emas dan OKU, sekali gus memperkayakan pengalaman mereka sepanjang berada di Masjid Nabawi dan kawasan sekitarnya sepanjang musim haji.- Bernama-SPA