PARIS: Satu lambang swastika atau Nazi, Jerman dan lukisan grafiti diconteng di sebuah masjid di bandar Agen, barat daya Perancis, kata Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin pada Ahad lalu.
Beliau mengutuk tindakan itu yang dianggap sebagai menjelekkan selain menyatakan sokongan kepada penduduk Muslim di bandar tersebut menerusi satu kenyataan di Twitter.
Dalam kenyataan tersebut, Darmanin juga menganggap bahawa perbuatan vandalisme adalah bertentangan dengan nilai-nilai yang terdapat dalam sebuah republik.
Sementara itu, seorang presiden persatuan bandar itu berkata, beliau menyedari contengan pada masjid tersebut pada kira-kira jam 2 pagi.
Menurutnya, pihak masjid sudah memberikan rakaman kamera video pemantau kepada pihak polis.
Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki memasuki pekarangan masjid sejurus selepas tengah malam.
Dalam pada itu, Ketua Pemantauan Menentang Islamofobia, Abdallah Zekri mengutuk lukisan grafiti tersebut yang berlaku lima hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.
Ia merupakan satu provokasi dan mengaibkan kepercayaan penduduk Perancis, katanya.
Perancis mempunyai antara lima hingga enam juta penduduk Islam, menurut satu kajian terbaru yang menjadikan ia agama kedua terbesar di negara tersebut selepas Kristian.
Komuniti Islam di negara itu juga adalah yang terbesar di Eropah. – AFP