PETRA JAYA: Masyarakat di sekitar Kampung Siol Kandis menarik nafas lega apabila Masjid Darul Huda berjaya disiapkan sepenuhnya dan mula dibuka secara rasmi kepada penduduk bermula hari ini.
Masjid yang boleh memuatkan seramai 1,200 orang jemaah itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pembinaan masjid itu siap sepenuhnya pada 10 Mac 2024, iaitu setelah tiga tahun pembinaan dan melibatkan peruntukan sebanyak RM5.2 juta.
Pembiayaan pembinaan itu juga merangkumi RM3.9 juta yang diberikan oleh kerajaan Sarawak manakala RM1.3 juta diperoleh melalui sumbangan wakaf.
Difahamkan, tapak masjid seluas 4,570 meter persegi itu merupakan hasil sumbangan tanah wakaf Mantan Presiden Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak, Allahyarham Tan Sri Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki dan Puan Sri Lily Johari serta Allahyarham Abdul Rahim Moharif sekeluarga.
Majlis perasmian diadakan selepas solat Jumaat dan diikuti dengan bacaan doa selamat.
Dalam pada itu, majlis perasmian turut menyaksikan simbolik sumbangan sebuah van jenazah daripada Yayasan Bintulu Port bagi membantu mempercepat dan mempermudah pengurusan jenazah di kawasan itu.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Oleh Rynna Sha’erra