


TANJUNG MANIS: Masjid Al-Haj, Jerijeh semalam menerima sumbangan sebanyak RM4,000 daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR).
Majlis penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,000 daripada Pusat Khidmat Kuala Rajang kepada masjid tersebut.
Katanya, sumbangan yang disalurkan itu adalah bagi aktiviti sempena Ramadan.
“Pada hari kedua program Jelajah Ramadan, saya menikmati suasana di masjid baharu, Masjid Al-Haj di Kampung Jerijeh untuk bersama-sama berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isya dan Tarawih.
“Sejumlah RM4,000 sumbangan LAKIKR, manakala RM2,000 dari Pusat Khidmat disalurkan kepada masjid bagi aktiviti sempena Ramadan kali ini,” katanya di hantaran laman facebooknya, semalam.
Katanya, program Jelajah Ramadan itu turut diserikan dengan sumbangan dana dalam bentuk duit raya kepada seramai 201 penerima termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf dan anak yatim.
“Program yang dilaksanakan ini bertujuan memberi peluang untuk membantu golongan yang memerlukan serta mengeratkan hubungan umat Islam.
“Malah, program ini juga bagi menyemarakkan Ramadan dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti, khususnya golongan yang memerlukan.
“Diharap inisiatif yang merupakan program tahunan Kuala Rajang ini akan menyemarakkan semangat kebersamaan serta keprihatinan dan semoga Ramadan kali ini akan menjadi lebih bermakna bagi kita semua,” katanya.
Tambahnya, program tersebut juga akan diteruskan di lokasi-lokasi seterusnya.