KUCHING: Umat Islam di Sarawak masih dibenarkan untuk menjalankan dan menyambut ibadah korban walaupun terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dicatatkan di Sarawak.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, namun sambutan dan pelaksanaan ibadah ini mestihlah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh sekretariat Majlis Islam Sarawak (MIS).
“Antara garis panduan perlu dipatuhi adalah masjid dan surau yang berhasrat untuk menjalankan ibadah ini hendaklah mewujudkan jawatankuasa pengelola dan mendaftar dengan Pejabat Agama Islam Bahagia.
“Ia termasuk mendapatkan permit penyembelihan ternakan daripada Pejabat Veterinar Negeri atau mana-mana Pejabat Veterinar Daerah dan pembekal binatang qurban hendaklah memperolehi sijil kesihatan veterinar daripada Pejabat Veterinar Negeri atau mana-mana Pejabat Veterinar Daerah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata, demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Khidmat Islam Sarawak (KISWA) 2020 di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, semalam.
Menurutnya, setakat ini belum ada perubahan mengenai SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ibadah korban dan pihaknya belum menerima apa-apa arahan pembatalan sambutan ibadah korban daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Ini bermakna masyarakat Islam masih boleh melaksanakan ibadah korban namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Memang ibadah korban kali ini ada perbezaan terutama melibatkan bilangan peserta namun ia merupakan SOP yang perlu dipatuhi,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini JPBNS masih mengekalkan keputusan mengenai ibadah korban.
“Antara SOP adalah jumlah individu yang dibenarkan adalah seperti berikut iaitu bagi penyembelihan hanya 10 individu dibenarkan, melapah (20 individu), pemotongan, penimbangan dan bungkusan (10 individu) manakala peserta dan penerima (maksima 20 orang).
“Mana-mana individu yang disahkan Covid-19 atau baru sembuh dengan notis kuarantin atau mempunyai gejala adalah dilarang hadir,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa tapak penyembelihan mestilah sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam (parit dan longkang) dan dibenarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Oleh Zarina Abdullah