Masar ‘wajah’ baharu Makkah

Facebook
WhatsApp

MAKKAH: Wajah Makkah dijangka berubah menjelang 2030 menerusi pembangunan mega Masar Destination (Masar), sebuah koridor bandar pintar yang moden bagi menampung  peningkatan jemaah haji dan umrah.

Bernilai SAR100 bilion (RM104 bilion) dan terletak hanya 550 meter dari Masjidil Haram, Masar muncul sebagai antara pembangunan paling strategik yang sedang dirancang di kawasan sekitar kota suci berkenaan.

Pegawai projek Masar Destination, Abdulaziz Alqurashi berkata pembangunan itu bukan sekadar projek fizikal tetapi visi masa depan untuk menjadikan Makkah lebih moden, cekap dan selesa bagi jutaan jemaah.

“Projek sepanjang 3.65 kilometer itu merupakan sebahagian daripada agenda Saudi Vision 2030 yang memberi fokus kepada mobiliti, pengurangan kesesakan dan peningkatan kapasiti bandar suci itu.

“Masar dibangunkan sebagai destinasi bandar moden bertaraf antarabangsa tanpa mengabaikan identiti kerohanian Makkah,” katanya ketika memberi taklimat kepada 200 pengamal media antarabangsa anjuran Pihak Berkuasa Am Pengawalselia Media dan Suruhanjaya Diraja Bandar Raya Makkah dan Tanah Suci di sini baru-baru ini.

Menerusi lawatan khas itu, pengamal media antarabangsa turut diberi peluang untuk melihat sendiri perancangan masa depan projek berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Masar dibangunkan di atas kawasan seluas 1.2 juta meter persegi dan bakal menempatkan 205 lot pembangunan dengan jumlah keluasan binaan mencecah 6.7 juta meter persegi.

Abdulaziz berkata antara komponen utama yang menjadi tulang belakang projek itu ialah laluan pejalan kaki selebar antara 40 hingga 60 meter yang menghubungkan terus kawasan pembangunan ke Masjidil Haram, sekali gus melancarkan aliran pergerakan jemaah terutama ketika musim puncak haji dan umrah.

Beliau berkata Masar juga akan dihubungkan secara langsung dengan Kereta Api Laju Haramain serta sistem metro Makkah yang bakal dibangunkan, selain projek itu dilengkapi 11 hentian bas elektrik, lebih 5,700 ruang parkir bawah tanah dan sistem utiliti pintar.

Katanya Masar mampu menampung kira-kira 158,000 orang pada satu-satu masa, dengan lebih 60 peratus kapasiti diperuntukkan kepada jemaah haji dan umrah.

Beliau berkata matlamat utama projek itu adalah melancarkan pergerakan tetamu Allah dari pintu masuk Makkah ke pusat bandar berhampiran Haram secara lebih tersusun dan selamat.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kerja pembinaan sedang giat dijalankan, sekali gus memberi gambaran jelas bahawa Makkah sedang melangkah ke era bandar suci yang lebih moden menjelang 2030. – Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman