KEJAYAAN MAS… Malaysia Airlines (MAS) mencapai satu lagi kejayaan dalam pelan pengembangan rangkaiannya dengan memperkenalkan laluan penerbangan terus baharu antara Kota Kinabalu dengan Singapura.
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) mencapai satu lagi kejayaan dalam pelan pengembangan rangkaiannya dengan memperkenalkan laluan penerbangan terus baharu antara Kota Kinabalu dengan Singapura yang memulakan operasi kelmarin.
Penerbangan pertama itu diraikan dengan majlis sambutan untuk penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) pada 12:25 tengah hari waktu tempatan melalui penerbangan MH648 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (SIN).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Kapten Izham Ismail yang mengendalikan Malaysia Airlines berkata, laluan itu akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dan fleksibiliti untuk penumpang yang menuju ke Singapura berikutan syarikat penerbangan itu turut menawarkan penerbangan terus ke negara tersebut melalui hab utamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuching.
“Dengan perkhidmatan baharu ini, penumpang dari Singapura boleh dihubungkan dengan lancar ke negeri di bawah bayu itu untuk menemui tarikan indah di Sabah dan mengelilingi sekitar negeri dari BKI melalui syarikat penerbangan sekutu Firefly dan MASwings.”
“Kami berharap dapat meningkatkan lagi pertumbuhan kami, memperkenalkan laluan strategik baharu dan meningkatkan kapasiti kami untuk mencapai lebih 70 peratus daripada kapasiti kami sebelum Covid-19 menjelang akhir tahun,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman berkata, sejak pembukaan semula laluan SIN ke BKI pada April, laluan itu mencatatkan aliran meningkat dengan 1,248 ketibaan pada Mei dan 3,051 ketibaan pada Jun.
“Dengan tambahan Malaysia Airlines, kami yakin trend ini akan berterusan,” kata beliau.
Malaysia Airlines akan melaksanakan penerbangan terus tiga kali seminggu pada Isnin, Khamis dan Sabtu, berlepas dari BKI ke SIN melalui MH647 pada 7.00 pagi dan berlepas dari SIN-BKI melalui MH648 pada 10.00 pagi.
Penerbangan akan dikendalikan oleh pesawat B737-800 yang dilengkapi dengan 160 tempat duduk, terdiri daripada 16 tempat duduk untuk kelas perniagaan dan 144 tempat duduk untuk kelas ekonomi. – Bernama