
MARUDI: Seramai 148 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan berbasikal Marudi Classic 2.0 yang akan berlangsung pada 21 Jun ini.
Pegawai Daerah Marudi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Rose Edward Tarang, berkata daripada jumlah tersebut, 56 peserta berasal dari Miri dan 56 lagi dari Brunei Darussalam.
Katanya, selebihnya terdiri daripada 16 peserta dari Bintulu, tujuh dari Sabah, tujuh dari Kuching, empat dari Lawas, dua dari Sarikei, dua dari Semenanjung Malaysia serta masing-masing seorang dari Sibu dan Labuan.
Menurut beliau, penganjuran acara itu merupakan kerjasama strategik antara Pejabat Daerah Marudi dan Kelab Berbasikal Masterpiece dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP).
“Marudi Classic 2.0 bukan sekadar perlumbaan berbasikal, malah menjadi platform untuk mempromosikan keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta potensi pelancongan yang terdapat di Daerah Marudi kepada peserta dan pengunjung dari dalam serta luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Marudi, hari ini.
Rose berkata, penganjuran program itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Residen Bahagian Miri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Daerah Marudi, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Penerangan Malaysia dan Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak.
Beliau menjelaskan perlumbaan sejauh 60 kilometer itu akan bermula di Dataran Marudi pada 8.00 pagi sebelum peserta melalui laluan menuju ke persimpangan Rumah Sator Baran, membuat pusingan U dan kembali ke Marudi dengan garisan penamat di hadapan Pejabat Daerah Marudi.
Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Lelaki Master A, Lelaki Master B, Lelaki Veteran dan Wanita Terbuka.
Dalam pada itu, Rose berkata acara berkenaan dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat melalui peningkatan penggunaan kemudahan penginapan, restoran, pengangkutan dan perniagaan kecil sepanjang tempoh penganjurannya.
Beliau berharap Marudi Classic 2.0 akan terus berkembang sebagai acara berbasikal tahunan berprestij yang mampu menarik lebih ramai peserta dan pelancong pada masa hadapan, sekali gus mengangkat Marudi sebagai antara destinasi utama pelancongan sukan luar bandar di Sarawak.
“Acara ini juga dirancang untuk diadakan setiap tahun bagi memperkasakan sukan berbasikal serta merancakkan sektor ekopelancongan di daerah Marudi dan Bahagian Miri,” katanya.
Oleh Jiku Juguong