BINTULU: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu pada kedudukan 4 batu nautika barat laut Kuala Kemena sekitar jam 3.35 petang semalam.
Tindakan itu diambil selepas bot ronda Maritim Malaysia menjalankan OP PERMAI 01/2019 dan mendapati bot tunda tersebut dikendalikan tanpa nakhoda sah.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda berwarna putih itu sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan kayu balak ke atas kapal induk untuk dieksport ke India.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh empat kru warga Myanmar termasuk nakhoda dan seorang kru warga tempatan berusia antara 28 hingga 35 tahun.
“Bot tunda itu disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan secara bertulis kepada pendaftar kapal mengenai pertukaran nama nakhoda di dalam sijil pendaftaran kapal, yang memperuntukkan hukuman kompaun RM2,500.
“Bot tunda beserta dokumen berkaitan telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan semua komuniti maritim agar mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Pihak kami juga mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan mengenai aktiviti mencurigakan atau kemalangan di laut, yang boleh dilaporkan terus ke talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam sehari,” katanya.
Gambar
Bot tunda tanpa nakhoda sah yang ditahan oleh Maritim Malaysia di perairan Bintulu bersama lima kru.