MUKAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) menerusi pelaksanaan Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Tahap 3 Mukah 2026 selama tiga hari di perairan Mukah, bermula 4 hingga 6 Ogos.
Latihan yang diselaraskan oleh Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching dengan kerjasama Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu itu bertujuan menguji keberkesanan Prosedur Tetap Operasi (PROTAP) Carilamat serta pematuhan kepada arahan NADMA No. 1, selain memperkukuh koordinasi antara agensi penyelamat dalam menghadapi insiden kecemasan maritim.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abdul Aziz berkata, latihan bersepadu seperti SAREX menjadi platform penting bagi memastikan semua agensi sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.

“Operasi CARILAMAT memerlukan koordinasi yang mantap antara semua agensi. Setiap aset dan anggota memainkan peranan mengikut bidang kuasa serta kepakaran masing-masing bagi memastikan setiap insiden kecemasan di laut dapat ditangani secara pantas, cekap dan berkesan.
“SAREX ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh keupayaan operasi demi keselamatan komuniti maritim dan kedaulatan perairan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi yang memberikan komitmen tinggi sepanjang penganjuran latihan tersebut.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai sesi taklimat serta perkongsian kepakaran melibatkan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perikanan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Sarawak Coast Guard bagi meningkatkan kefahaman mengenai aspek keselamatan dan pengurusan kecemasan di laut.

Latihan lapangan yang berlangsung di Jeti Awam Mukah pula memberi penekanan kepada simulasi operasi Carilamat secara bersepadu, termasuk penyelarasan operasi mencari dan menyelamat, komunikasi antara agensi serta pengurusan sumber bagi memastikan tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.
Pada hari terakhir, sesi pasca penilaian (post-mortem) SAREX dikendalikan oleh Pegawai Pengendali MRSC Kuching, Leftenan Komander Maritim Nur Hafiza Hasan bersama Leftenan Maritim Mohd Hairi Abd Ghani bagi menilai pelaksanaan latihan, mengenal pasti kekuatan serta merangka langkah penambahbaikan untuk meningkatkan keberkesanan operasi Carilamat pada masa hadapan.
Penganjuran SAREX Level 3 Mukah 2026 mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi, mempererat kerjasama antara agensi serta meningkatkan keupayaan negara menghadapi sebarang insiden kecemasan maritim demi memastikan keselamatan nyawa, harta benda dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia terus terpelihara.




