

IRING… Anggota Maritim Malaysia mengiringi konvoi pemindahan 190 prospek dari Penjara Pusat Miri ke Penjara Pusat Limbang melalui laluan laut menerusi Ops Jerjak Samudera 2.0 bagi memastikan operasi berlangsung dengan selamat dan lancar serta mengikut prosedur operasi standard (SOP). Foto Maritim Malaysia
MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) menggerakkan beberapa aset bagi mengiringi pemindahan 190 prospek dari Penjara Pusat Miri ke Penjara Pusat Limbang melalui laluan laut dalam Ops Jerjak Samudera 2.0 awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Zon Miri, Kapten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, konvoi yang diketuai Timbalan Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Penjara, Ibu Pejabat Penjara, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Mohd. Nasir Yusof, berlepas dari Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Miri pada 3.15 pagi dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, beberapa aset Maritim Malaysia digerakkan bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar, termasuk KM Tegas, Bot Kilat 41 dan Bot Kilat 42 dari Maritim Zon Miri serta Bot Petir 10 dari Maritim Zon Bintulu.
Katanya, operasi itu turut mendapat bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Bot RH66 bagi memperkukuh kawalan keselamatan sepanjang laluan pelayaran.
“Hasil penyelarasan operasi secara bersepadu antara semua aset yang terlibat memastikan aspek keselamatan berada pada tahap optimum, sekali gus menjamin kelancaran pemindahan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Ops Jerjak Samudera 2.0 membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Maritim Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia dan Pasukan Polis Marin dalam mengendalikan operasi berisiko tinggi yang melibatkan pengangkutan melalui laluan laut.
Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kesiapsiagaan aset dan anggota serta memberikan sokongan penuh terhadap operasi keselamatan negara bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara.
Oleh Liong Chai Ling



