BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda bersama tongkang yang didapati melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Penahanan dilakukan ketika bot tersebut berada di perairan sekitar 2.6 batu nautika barat laut Kuala Kemena, sekitar 9.30 pagi, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda tersebut dikendalikan oleh sepuluh kru yang terdiri daripada dua warga tempatan termasuk nakhoda, tiga warga Indonesia, tiga warga Myanmar, dan dua warga India berusia antara 19 hingga 56 tahun.
“Bot tunda ini disyaki melakukan kesalahan di bawah MSO 1952 kerana tidak memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal mengenai pertukaran nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal, yang memperuntukkan hukuman kompaun sebanyak RM2,500,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, bot tunda dan kru seterusnya ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua komuniti maritim agar mematuhi peraturan undang-undang sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.
“Sebarang maklumat, aduan, atau insiden kecemasan boleh dilaporkan ke Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254, Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544), atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.