KUCHING: Tiga mangsa tanah runtuh membabitkan sebuah rumah di Kampung Surabaya di sini malam tadi, kini bimbang kemungkinan berlaku episod kedua kejadian ngeri itu.
Ini berikutan amaran hujan lebat yang dijangka akan berlarutan sehingga esok.
Salah seorang mangsa, Luqman Hakim Kasim, 22, berkata keadaan cuaca yang kerap hujan kebelakangan ini menjadi salah satu punca utama kejadian itu selain jenis tanah yang berpasir menyebabkan struktur tanah di situ menjadi tidak stabil.
Katanya, setelah diberitahu oleh pihak Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak, dia reda dengan ketentuan dan dugaan yang menimpa keluarganya.
“Ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Saya dan keluarga reda dan percaya ada hikmah di sebalik dugaan ini. Mungkin Allah ada rancangan yang lebih baik untuk kami sekeluarga.
“Namun, saya juga berasa amat sedih. Kami sekeluarga menyewa rumah ini sejak 2016 dan kadar sewa rumah ini sangat murah iaitu hanya RM200 sebulan.
“Pada saat ini amat sukar untuk menjumpai kadar rumah sewa serendah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di sini hari ini.
Luqman dan keluarganya merupakan penyewa rumah yang dilanda tanah runtuh malam tadi juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Baitulmal Sarawak, Jabatan Kebajikan dan Pejabat Dato Sri Nancy Shukri atas bantuan bakul makanan yang disalurkan.
Ibunya, Roselawati Sulaiman, 61 pula berasa takut dan ingin berpindah dari rumah itu.
“Setelah kejadian semalam, saya berasa amat takut dan bimbang akan keselamatan kami sekeluarga. Saya risau struktur rumah ini sudah tidak stabil dan tidak selamat untuk didiami.
“Pihak polis dan Bomba juga menyarankan kami untuk berpindah.
“Saya berharap kami menemukan rumah sewa kos rendah dan mungkin ada bantuan dari kerajaan negeri untuk membantu kami menemui rumah sewa dengan kadar bayaran bulan yang rendah,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Gersik, Jaafar Abong berkata ini merupakan kejadian kedua tanah runtuh di kawasan terbabit.
Dengan ini katanya, beliau mengendalikan kejadian kali ini dengan tenang dan tiada suasana panik yang berlaku.
“Dengan pengalaman kejadian tanah runtuh yang berlaku beberapa tahun lalu, saya sudah tahu selok belok dan cara untuk menguruskan bencana alam sebegini,”katanya.
Beliau memaklumkan kepada Utusan Sarawak bahawa beliau sudah menyediakan surat untuk dihantarkan kepada Pejabat Residen Kuching bagi mendapatkan bantuan kepada mangsa.
“Saya akan menghantar surat ini dalam masa terdekat dan hanya menunggu tindakan susulan dari pihak Jabatan Residen Kuching untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT