
MARUDI: Mangsa yang dilaporkan lemas dalam tragedi yang berlaku di Sungai Sengayan, Long Jekitan semalam masih gagal ditemui dalam operasi pencarian yang dilaksanakan hari ini.
Mangsa, Dawellies Luing, 46, masih belum dijumpai setakat 5.00 petang tadi, dengan operasi ditangguhkan hingga esok.
Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK 1) Nasir Razali memberitahu pihak bomba tiba di lokasi kejadian pada 3.04 petang hari ini dan melakukan operasi ‘size up’. Susulan tiada petunjuk lanjut, anggota bertindak ke kediaman ibu mangsa bagi mendapatkan maklumat berkenaan kejadian tersebut.
Sementara itu, anak perempuan Dawellies, Vallerie Mentie Dawellies telah dijumpai pada 2.00 petang semalam oleh penduduk kampung berhampiran kenderaan yang dinaiki mereka di sungai tersebut.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dilaporkan hanyut dibawa arus sungai ketika cuba menyeberangi Sungai Sengayan menggunakan pacuan empat roda sekitar 8.00 pagi.