
KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak menunjukkan trend pemulihan apabila jumlah mangsa semakin berkurang.
Pada 8.00 pagi, seramai 5,384 mangsa direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS), namun angka tersebut menurun kepada 5,294 orang menjelang 12.00 tengah hari.
Setakat ini, 53 PPS telah ditutup, manakala 29 PPS masih beroperasi bagi menempatkan 1,584 keluarga yang terjejas dan memerlukan perlindungan.
Di Samarahan, sebanyak tiga PPS masih berfungsi, manakala 11 PPS telah ditutup. Sejumlah 46 keluarga dengan 136 mangsa telah dipindahkan ke pusat-pusat bantuan yang disediakan.
Di Serian, satu PPS masih beroperasi dan 19 PPS telah ditutup. Sebanyak 155 keluarga, melibatkan 507 mangsa, telah dipindahkan bagi mendapatkan bantuan segera.
Sementara itu, di Sarikei, hanya satu PPS yang masih aktif dan tiada PPS yang ditutup setakat ini. Dua keluarga dengan 10 mangsa telah dipindahkan ke pusat bantuan.
Keadaan di Sibu lebih serius, dengan enam PPS masih beroperasi dan tiga PPS telah ditutup. Sebanyak 379 keluarga melibatkan 1,145 mangsa telah dipindahkan ke pusat-pusat bantuan.
Di Mukah, lima PPS masih beroperasi, manakala dua PPS telah ditutup. Sebanyak 183 keluarga, dengan 528 mangsa, telah dipindahkan bagi mendapatkan bantuan.
Di Bintulu, enam PPS masih aktif dan empat PPS telah ditutup. Seramai 539 keluarga melibatkan 1,839 mangsa telah dipindahkan ke pusat-pusat bantuan.
Di Miri, tujuh PPS masih beroperasi manakala enam PPS telah ditutup. Sebanyak 280 keluarga dengan 1,129 mangsa telah dipindahkan untuk menerima bantuan segera.
Oleh Amanda L.