
KUALA LUMPUR: Malaysia menolak keras sebarang penyalahgunaan sistem perdagangan antarabangsa, termasuk pengeluaran Sijil Asal palsu atau mengelirukan yang bertujuan untuk mengelakkan tarif, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata MITI mengambil maklum laporan oleh beberapa media berhubung dakwaan bahawa pengeksport dari China cuba mengelak tarif Amerika Syarikat (AS) dengan ‘mencuci asal’ produk melalui negara ketiga seperti Malaysia.
“Mulai esok, kita tidak akan benarkan lagi dewan-dewan perniagaan untuk mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) ini kerana memang banyak aduan daripada pihak industri yang mengatakan banyak barangan daripada negara lain datang ke negara kita.
“NCPO yang selalu dikeluarkan oleh Dewan Perniagaan tidak lagi akan dibenarkan dan permohonan NCPO yang melibatkan AS, akan dipusatkan di bawah MITI,” katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika sesi penggulungan pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini. -Bernama