
BEIJING: Malaysia menyasarkan eksport durian ke China bernilai AS$229 juta (RM932.3 juta) menjelang 2030, didorong oleh peningkatan permintaan daripada pengguna di negara itu serta pertumbuhan kukuh penghantaran durian segar dan sejuk beku.
Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Menteri Penasihat (Perdagangan) Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Niqman Rafaee M. Sahar berkata eksport durian segar melonjak sejak Malaysia memperoleh akses pasaran ke China pada Ogos 2024.
“Eksport durian segar meningkat lebih 500 peratus, daripada kira-kira AS$5 juta (RM20.4 juta) kepada AS$37 juta (RM150.6 juta) pada 2025 sahaja. Eksport durian sejuk beku pula mencecah hampir AS$202 juta (RM822.3 juta) pada 2025, dan momentum positif itu berterusan pada suku pertama 2026.
“Pada suku pertama 2026, eksport durian Malaysia mencecah AS$77 juta (RM313.5 juta), dan kami sedang berusaha mencapai sasaran AS$229 juta (RM932.3 juta) menjelang 2030,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Durian Cube, sebuah kedai utama yang menjual durian Malaysia secara eksklusif di Beijing pada Sabtu.
Niqman Rafaee berkata China mengimport durian bernilai hampir AS$7 bilion (RM28.5 bilion) setiap tahun, kebanyakannya dari negara ASEAN, namun Malaysia tampil berbeza dengan menawarkan varieti premium.
“Black Thorn dan Musang King Malaysia sangat popular di pasaran di sini. Kami tidak bersaing dari segi harga. Apa yang penting ialah menawarkan produk terbaik kepada pasaran. Durian kami dibiarkan masak secara semula jadi dan gugur dari pokok sebelum dieksport ke China dalam tempoh 48 jam,” katanya.
Beliau berkata Malaysia kini menguasai kira-kira empat hingga lima peratus pasaran durian China dan menyasarkan untuk meningkatkan bahagiannya kepada antara lapan hingga 10 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, bergantung kepada bekalan.
Selain durian segar dan sejuk beku, Niqman Rafaee berkata permintaan terhadap produk berasaskan durian Malaysia juga semakin meningkat di China.
“Industri hotel, restoran dan katering mengimport durian Malaysia untuk menghasilkan pastri, coklat, snek, mochi dan pencuci mulut sejuk beku. Ini membuka lebih banyak peluang bukan sahaja kepada durian segar dan sejuk beku, malah produk hiliran,” katanya.
Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Beijing Norfarina Mohd Azmee berkata perdagangan durian yang semakin berkembang terus mengukuhkan hubungan Malaysia-China, khususnya dalam perdagangan serta hubungan antara rakyat.
Beliau berkata Malaysia mempunyai lebih 100 jenis durian, dengan lebih 30 daripadanya telah dieksport ke China.
“Berbanding pengeksport utama ASEAN yang lain, Malaysia mungkin tidak mengeksport jumlah terbesar, tetapi kami mahu memastikan hanya durian premium dihantar. Kami membiarkan buah masak secara semula jadi dan gugur dari pokok. Ini antara ciri yang membezakan durian Malaysia,” katanya.
Norfarina berkata Durian Cube, antara kedai utama di Beijing yang menjual durian Malaysia secara eksklusif, mencerminkan permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna China.
“Kami melihat durian bukan sekadar produk perdagangan, tetapi juga sebagai “diplomasi durian”. Melalui durian, masyarakat dapat mengenali Malaysia dengan lebih dekat, termasuk budaya dan sektor pertanian negara. Memandangkan 2026 ialah Tahun Melawat Malaysia, promosi durian Malaysia juga merupakan peluang untuk menggalakkan lebih ramai pelancong China berkunjung ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kedutaan akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat dan pihak berkepentingan industri bagi mempromosikan durian Malaysia di China.
Sementara itu, Pengarah Sri Walis (M) Sdn Bhd K.P. Pang berkata permintaan terhadap durian segar Malaysia di China telah melonjak, dengan jualan syarikatnya meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu.
“Kami membekalkan durian ke lima bandar iaitu Shenzhen, Guangzhou, Beijing, Shanghai dan Hangzhou. Jualan syarikat kami meningkat tiga kali ganda dan pasaran berkembang dengan sangat pesat,” katanya.
Pang berkata syarikat itu mengeksport kira-kira 1,000 tan durian segar ke China setiap tahun dengan hasil sekitar RM30 juta, dan menjangkakan penghantaran meningkat kepada antara 2,000 hingga 3,000 tan tahun depan.
Beliau berkata mengekalkan kesegaran durian pada musim panas kekal menjadi cabaran berikutan jangka hayat simpanannya yang lebih singkat, namun syarikat terus menambah baik proses pengendalian dan pemeliharaan buah itu.-Bernama