
KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk mencapai sasaran sebanyak 32 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) terpasang pada tahun ini, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sehingga Disember 2025, negara telah mencapai kapasiti sebanyak 31 peratus TBB terpasang.
“Kerajaan menyasarkan kenaikan satu peratus kapasiti TBB terpasang pada setiap tahun sehingga mencapai 35 peratus pada 2030 atau lebih awal daripada itu.
“Campuran tenaga terdiri daripada banyak sumber seperti solar, biogas dan biobahan api. Insya-Allah kita akan mencapainya melalui semua program yang kita telah perkenalkan termasuk storan bateri dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu program temu bual eksklusif Bernama Radio bertajuk “Krisis Geopolitik Pacu Peralihan Tenaga Malaysia” di Wisma Bernama hari ini.
Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan untuk mencapai kapasiti TBB sebanyak 70 peratus menjelang 2050.
Terdahulu, dalam temu bual eksklusif beliau dengan Bernama Radio, Fadillah berkata pada masa ini kira-kira 40 peratus hingga 50 peratus penggunaan tenaga negara adalah berasaskan gas.
Menurutnya walaupun sebahagian besar tenaga masih bergantung kepada sumber berkarbon, negara tetap komited untuk tidak lagi menggunakan arang batu menjelang 2044.
“Sebab itu, sekarang kita banyak memperkenalkan solar berskala besar atau solar atas atap untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan TBB. Insya-Allah tahun ini kita akan buka lagi tender untuk program Solar Berskala Besar pusingan keenam (LSS6),” katanya.
Justeru, beliau berkata selain solar, Malaysia turut melihat kepada campuran tenaga lain termasuk biodiesel, biogas dan sebagainya bagi menjamin bekalan tenaga negara yang mencukupi pada masa hadapan.
Fadillah berkata Malaysia juga sedang meneliti potensi tenaga nuklear dan telah menjalankan kajian mengenainya.
Sehubungan itu, katanya negara perlu melaksanakan perjanjian di peringkat antarabangsa serta menilai secara menyeluruh dari sudut perundangan, keselamatan, alam sekitar dan penerimaan rakyat.
“Di Semenanjung terutamanya, kita tidak cukup beban dasar iaitu asas bekalan tenaga. Solar bersifat berkala, tidak menentu.. yang kita ada sekarang ialah gas. Gas kita tahu kita bergantung kepada import dan harganya turun naik.
“Kita mempunyai arang batu, tetapi 2044 sudah tidak boleh digunakan lagi. Biogas dan biomas kita pula terhad. Oleh itu, kita perlu ada campuran. Hidro, kalau musim panas, air kurang, hidro tidak dapat menjana kuasa kerana air itu tidak cukup. Sebab itu sekarang ini dunia sedang melihat kepada nuklear,” katanya.
Menurut Fadillah, Filipina dan Vietnam telah menetapkan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada sumber tenaga.
“Oleh itu, Malaysia perlu melihat ini adalah antara tenaga bersih yang berdaya maju untuk masa depan. Kalau kita menggunakan nuklear dan jika kita telah ada, langkah ini boleh menjamin bekalan tenaga antara 10 hingga 15 tahun.
“Selepas itu, baru kita boleh menukar semula dan sebagainya, dan langkah ini perlu dilihat secara terperinci. Kita perlu ada campuran tenaga yang lebih banyak supaya keterjaminan bekalan tenaga yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat ini dapat kita capai. Di Semenanjung, itulah pendekatannya.
“Di Sabah pula cabarannya lain. Sabah banyak bergantung kepada diesel. Diesel pada masa ini mahal dan menyebabkan kos penjanaan adalah lebih mahal. Di Sarawak, alhamdulillah, telah mencapai 70 peratus TBB dan kini sedang mempercepat penggunaan gas dan tenaga solar,” katanya. – Bernama