
NEW DELHI: Malaysia berhasrat untuk mempertingkat hubungan perdagangan halal dengan negara-negara Afrika susulan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan ke Algeria, salah satu ekonomi utama rantau tersebut.
Malaysia menekankan minatnya untuk meningkatkan kerjasama dengan rakan kongsi Afrika dalam pelbagai industri halal pada Forum Kepimpinan Ekonomi Halal (HELF) 2025 yang diadakan di Algiers baru-baru ini.
Acara itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Tahunan Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Forum Sektor Swasta.
“Kami mengadakan perbincangan mengenai keperluan pembinaan kapasiti dan latihan teknikal dengan Malaysia menawarkan pemindahan kepakaran dan pengetahuan untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan badan pensijilan tempatan,” kata Duta Besar Malaysia ke Algeria Rizany Irwan Muhamad Mazlan kepada Bernama.
Dianjurkan bersama oleh Halal Development Corporation (HDC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia, IsDB dan Halal Products Development Company (HPDC), anak syarikat Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, forum berprofil tinggi itu mengiktiraf kepentingan strategik Afrika dalam ekonomi halal global yang luas.
Eksport halal Malaysia ke Algeria pada 2024 melonjak 24 peratus mencecah RM156.3 juta dengan segmen utama ialah makanan dan minuman, kosmetik, bahan disahkan halal dan barangan berasaskan minyak sawit, kata Rizany pada forum itu.
“Peserta menggesa wujudkan lebih banyak kerjasama awam-swasta dan dialog berterusan untuk memajukan integrasi ekonomi halal, mereka memuji Malaysia kerana mendahului dalam sektor halal global,” katanya.
“Malaysia komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan Algeria dan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lain untuk menambah baik rantaian bekalan halal, meningkatkan integrasi perdagangan dan menyokong pembangunan sosioekonomi bersama,” katanya.
Memupuk keusahawanan dan menggalakkan inovasi dilihat penting untuk membina rantaian bekalan halal berdaya tahan dengan peserta mencadangkan penubuhan zon industri halal untuk menambah baik kapasiti pengeluaran serantau dan daya saing pasaran dunia.
Afrika dilihat mempunyai potensi besar sebagai pasaran dan pangkalan pengeluaran dalam perniagaan halal global.
Rizany berkata topik agenda utama termasuk pengiktirafan bersama terhadap pensijilan halal, meningkatkan kemudahan perdagangan Malaysia-Afrika Utara, pelaburan dalam infrastruktur logistik dan sistem sokongan untuk PKS dalam perniagaan halal.
Ketua Pusat Kecemerlangan IsDB Samer Elesawi menjadi moderator forum berkenaan, ia dihadiri lebih 300 pihak berkepentingan mewakili sektor awam dan swasta, institusi kewangan, agensi pembangunan dan penggiat industri halal di negara-negara OIC.
Antara peserta adalah Ketua Pegawai Eksekutif HDC Malaysia Hairol Ariffein Sahari, Pengerusi PT. ILTHABI Rekatama Indonesia Ilham A. Habibie, Ketua Dar Al Halal Group Ltd Nigeria Muhammadu Dikko Ladan, Pengurus Besar Yildiz Holding Turkiye Rohaizad Hassan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pengarah IsDB untuk amalan global dan perkongsian Issa Faye.– Bernama