CYBERJAYA: Malaysia perlu menjadi negara berteknologi tinggi ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, sejarah telah membuktikan betapa kekuatan militari dan empayar ekonomi serta kuasa besar dunia banyak bergantung kepada penguasaan teknologi.
Dalam konteks Malaysia katanya, sekitar dua dekad selepas Perang Dunia Kedua, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negara jauh lebih tinggi berbanding Korea Selatan dan Taiwan.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan itu dicantas Taiwan hanya selang dua tahun selepas itu dan Korea Selatan pula pada 1977 dengan kejayaan mereka tidak lain daripada pencapaian dan penguasaan teknologi.
Melancarkan National Technology & Innovation Sandbox (NTIS), di sini semalam Muhyiddin berkata, inisiatif NTIS akan dapat menyokong dan mempercepatkan usaha kerajaan untuk membangunkan teknologi negara serta mengkomersialkan teknologi tempatan oleh para peniaga dan usahawan.
NTIS, yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), adalah satu cara mempercepatkan peluang pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi dron, teknologi sensor dan infrastruktur 5G dalam misi menyelesaikan permasalahan negara, katanya.
“Ini termasuklah permasalahan nasional yang meliputi kebergantungan terhadap buruh asing, risiko jaminan makanan, penjagaan kesihatan serta ketidaksamaan capaian internet dan jurang infrastruktur digital,” katanya.
Muhyiddin berkata, NTIS dilihat bakal memacu Malaysia ke arah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi melalui penyelesaian inovatif, terutamanya dari cetusan penyelesaian dan kepakaran tempatan.
Melalui NTIS katanya, syarikat pemula, pembangun teknologi, para penyelidik dan inovator boleh melaksanakan projek inovasi dalam persekitaran sandbox atau terkawal.
“Dengan adanya semakan kepada beberapa peraturan yang berupaya memberi kelonggaran untuk mengupaya, menguji serta mencuba teknologi baharu, saya yakin pembangunan penyelesaian berlandaskan teknologi dan inovasi dapat dipercepatkan,” katanya.
Bagi tujuan itu katanya. kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan RM100 juta untuk menggalakkan perkembangan teknologi, inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan dan pengkomersialan inovasi tempatan, serta mengorak langkah dalam mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu.
Ini katanya, boleh mengurangkan kebergantungan negara kepada teknologi dan inovasi daripada luar negara, selain dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup rakyat.
Muhyiddin berkata, ekonomi yang berpaksikan inovasi akan membentuk masyarakat yang aktif, mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi dan seterusnya melonjakkan nama negara ke tahap yang disanjungi masyarakat global.
Beliau memberi contoh penyedia perkhidmatan dron tempatan yang dipacu AI iaitu Aerodyne Group yang menerima pelbagai pengiktirafan termasuk ditempatkan pada kedudukan ketiga dunia oleh Drone Industry Insights (DII) dalam ’10 Penyedia Terbaik Perkhidmatan Dron 2019′ dan dinamakan sebagai Frost & Sullivan’s ‘Asia Pacific UAV Services Company of 2019’.
Menurut Muhyiddin, beberapa projek perintis telah dikenal pasti di bawah NTIS termasuk Farm Assist Robot for Multi Operation (FARMO) yang digunakan di sektor pertanian, robot rehabilitasi untuk hospital dan robot linear untuk aplikasi industri.
“Untuk petani di luar sana, penggunaan inovasi seperti robot FARMO contohnya dapat mengelakkan anda daripada terdedah dengan persekitaran yang berbahaya sewaktu anda melakukan aktiviti semburan racun kimia atau organik untuk tanaman.
“Penggunaan FARMO dapat meningkatkan produktiviti secara efisien kerana proses semburan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan penggunaan bahan semburan dapat dikurangkan berbanding kaedah konvensional di samping meningkatkan penjimatan tenaga kerja,” katanya.
Dari aspek komersil, Muhyiddin berkata, NTIS mampu memangkinkan pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat R & D ke peringkat yang sedia untuk dikomersialkan dengan jangkaan pulangan pelaburan (ROI) kira-kira RM300 juta.
Katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, hasil pencapaian serta impak NTIS akan dapat dilihat, meliputi pelbagai aspek termasuk menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK), KDNK dan penglibatan sosial yang lebih tinggi di samping kesan positif pengganda ekonomi.
Ia juga akan membantu meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, menyumbang kepada peningkatan pelaburan sektor swasta dalam R & D, menggalakkan pengunaan teknologi tempatan yang tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta membantu dalam meningkatkan kadar pengkomersialan negara, katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut berinteraksi secara langsung melalui persidangan video dengan dua pengusaha projek perintis NTIS dari Muar, Johor dan Ijok, Selangor yang menerangkan tentang projek masing-masing.
Turut hadir ialah Menteri Kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. – Bernama