KUALA LUMPUR: Arab Saudi akan menjadi hab Malaysia bagi import serta pengedaran minyak sawit dan produk berasaskannya ke pasaran besar Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Timur Tengah serta Afrika Utara (MENA) — sekali gus menandakan pencapaian bermakna untuk negara ini.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Arab Saudi yang juga negara kaya dengan hasil minyaknya, akan turut meningkatkan import minyak sawit serta produk berkaitan dari Malaysia.
Pada masa sama, Malaysia akan meneliti untuk mewujudkan kemudahan kilang pemprosesan dan penapisan minyak sawit di rantau tersebut, kata Mohamed Azmin dalam catatannya di Twitter yang turut mengetengahkan kejayaan misi perdagangan dan pelaburan diketuai beliau ke Arab Saudi.
Menurutnya, delegasi itu turut mengadakan pertemuan produktif dengan Savola Group, salah satu syarikat pegangan pelaburan strategik terkemuka di MENA dengan portfolio membabitkan jenama utama dalam sektor makanan dan peruncitan.
“Kita turut membincangkan potensi besar yang boleh diterokai dengan mengembangkan eksport barangan pengguna cepat laris (FMCG) ke dalam Panda — rantaian runcit terbesar negara itu,” katanya.
Bagi kemajuan masa depan, Mohamed Azmin berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bercadang menganjurkan lawatan pihak Savola Group ke Malaysia, khususnya ketika acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), tahun ini.
Misi ke negara-negara terbabit pada 26 April hingga 4 Mei, 2021, adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menggalakkan peluang perniagaan dan kerjasama strategik antara Malaysia serta wilayah Asia Barat.
Malah, misi itu juga bertujuan mengekalkan momentum hubungan ekonomi Malaysia dan kedua-dua negara susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac lepas.
“Seiring dengan usaha kita untuk terus memperkukuh hubungan dagangan dua hala, MATRADE telah menyelaras satu mesyuarat dengan Makkah Healthcare Cluster (MHC), hab penjagaan kesihatan berkelas dunia dan menjadi pusat rujukan bagi penjagaan kesihatan mampan di negara itu,” katanya.
Institut Penjagaan Kesihatan Onkologi Makkah selain institusi kejururawatan di Makkah juga merancang untuk bekerjasama dengan pembekal produk dan perkhidmatan perubatan Malaysia bagi kegunaan hospitalnya.
“Memandangkan pandemik Covid-19 masih terus berleluasa dan meragut nyawa, saya amat percaya bahawa penyedia penjagaan kesihatan ini perlu merebut peluang ini bagi menghasilkan manfaat bersama,” katanya yang akan turut mengunjungi UAE selaku antara lokasi misi terbabit.
Mohamed Azmin yang turut mengadakan mesyuarat dua hala yang disifatkan sebagai berjaya dengan Menteri Kewangan dan Pemangku Menteri Ekonomi dan Perancangan Arab Saudi, Mohammed al-Jadaan, turut berkongsi keyakinan beliau terhadap hubungan unik dan istimewa yang terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi sebagaimana dibuktikan menerusi kunjungan Muhyiddin ke negara itu.
“Saya menegaskan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama sedia ada yang harus dimantapkan lagi dengan kemungkinan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kedua-dua negara untuk saling meningkatkan aliran pelaburan silang sejajar dengan matlamat pembangunan negara masing-masing serta menumpukan bidang pertumbuhan baharu.”
Dalam usaha menembusi pasaran serantau, beliau membangkitkan mengenai faedah strategik bagi Arab Saudi dengan memanfaatkan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Menurutnya, ini turut membuka jalan bagi kalangan ahli perniagaan Arab Saudi untuk meninjau serta turut memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Besar (FTA) terbesar dunia itu. – Bernama