KUALA LUMPUR: Bagi menghargai artis Pop Yeh Yeh yang masih aktif berkarya, Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) akan menganjurkan Malam Nostalgia “Down Memory Lane” pada 1 Nov ini di Miri, Sarawak.
Pengerusi YAVM Sandakiah Azez berkata majlis yang julung kali diadakan itu juga bertujuan mengumpul dana tabung kebajikan pertubuhan bagi membantu artis- artis veteran yang memerlukan.
“Sebanyak 23 buah lagu yang dipilih dengan teliti, sesuai dengan lagu-lagu sing-along serta semua lapisan masyarakat, akan dipersembahkan dengan diiringi oleh Sandpepper Band dan penari-penari daripada Gah Rentak.
“Artis-artis yang akan membuat persembahan ialah Datuk Jefrydin, A. Rahman Onn, J. Sham, S. Mariam, Junainah M. Amin, Datuk Siti Fairus, Seri (Kilauan Emas) dan penyanyi ‘jelmaan’ Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu P. Radhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, tetamu juga akan dihiburkan oleh Abon, atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad, Juara Maharaja Lawak 2011.
Sandakiah berkata di sebalik kelahiran pelbagai jenis muzik baharu, irama era 1960-an dan 1970-an masih lagi diminati hingga kini dan ada peminat yang bukan sekadar menggemari irama itu tetapi juga gaya penyanyinya.
“Nama-nama seperti M. Shariff, A. Ramlie, M. Osman, S. Jibeng, Dato’ A. Rahman Hassan, The Rhythm Boys, The Swallows dan The Siglap Five antaranya cukup sinonim apabila dikaitkan dengan Pop Yeh Yeh.
“Irama rancak lagu-lagu Pop Yeh Yeh yang dikatakan dipengaruhi oleh kumpulan British The Beatles, kekal menjadi pilihan di pusat-pusat karaoke dan majlis-majlis perkahwinan,” katanya sambil mempelawa peminat irama itu yang berada di Miri dan Brunei agar datang menyaksikan konsert berkenaan. — BERNAMA