PETRA JAYA, 31 Oktober: Suasana penuh kemesraan dan semangat persaudaraan mewarnai malam kemuncak Cat City International Bike Week (CCIBW) 2026 apabila komuniti permotoran dari dalam dan luar negara berkumpul memeriahkan acara berkenaan, malam ini.
Penganjuran edisi ketiga itu menghimpunkan sebanyak 61 kelab dan komuniti permotoran dari Sarawak, Semenanjung Malaysia serta luar negara yang berkongsi minat sama terhadap dunia dua roda.

Antara acara yang menjadi tumpuan ialah majlis penyampaian momento kepada wakil kelab motosikal sebagai tanda penghargaan terhadap penyertaan dan sokongan mereka sepanjang program berlangsung.
Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sarkawi menyempurnakan penyampaian momento tersebut dalam suasana penuh kemesraan bersama komuniti permotoran yang hadir.
Kemeriahan malam kemuncak turut diserikan dengan persembahan konsert yang menampilkan Hatta Junction, sekali gus menghiburkan peserta dan pengunjung.

Persembahan berkenaan menambahkan lagi suasana meriah, selain memberi peluang kepada peserta untuk bersantai dan menikmati hiburan selepas mengikuti pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.
Pengerusi CCIBW 2026, Abang Nor Nasaruddin Abang Norzuki turut hadir memeriahkan majlis bersama komuniti permotoran yang menjayakan acara berkenaan.
Sepanjang penganjurannya, CCIBW 2026 menghimpunkan peminat motosikal daripada pelbagai latar belakang menerusi aktiviti yang menggabungkan elemen permotoran, persahabatan dan kemasyarakatan.
Antara acara yang mencuri perhatian ialah konvoi mega ‘Rolling Thunder’ yang membawa peserta dari perkarangan stadium di Petra Jaya menuju ke Kampung Santubong, pagi tadi.
Konvoi berkenaan turut menghimpunkan peserta dari luar Sarawak termasuk Brunei, Indonesia dan Australia, selain penyertaan kumpulan penunggang wanita dari Semenanjung Malaysia.
Penganjuran CCIBW 2026 bukan sahaja menjadi medan pertemuan peminat motosikal, malah memperkukuh hubungan persaudaraan merentasi sempadan negeri dan negara, sekali gus memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi acara permotoran antarabangsa.
Oleh Norman B





