SIBU: Medan Selera Dayak pertama di Sarawak telah dirasmikan hari ini di Taman Tasik Permai, di sini dalam usaha memperkaya kepelbagaian makanan serta budaya tempatan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, pencapaian pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) ini menjadikan mereka pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sarawak yang membuka medan selera itu, dan wajar diperluaskan ke kawasan lain di negeri ini.
“Saya percaya bahawa Sibu mempunyai potensi sebagai destinasi makanan pelbagai citarasa. Oleh itu, saya menggalakkan usaha untuk menjadikan Sibu sebagai sebuah bandar yang terkenal dengan pelbagai hidangan uniknya.
“Saya berharap model ini dapat diterapkan oleh majlis-majlis besar lain di Sarawak supaya konsep ini dapat diperluaskan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian.
Menurut Penguang, berdasarkan kajian demografi, Sibu mempunyai kira-kira 217,000 penduduk, dengan 70,000 orang berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) atau Sibu Jaya.
Daripada jumlah itu, katanya, sekitar 25 peratus terdiri daripada masyarakat Iban, termasuk 40,000 yang menetap di kawasan bandar.
“Oleh itu, adalah wajar untuk kita mempunyai sebuah tempat seperti ini yang bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian makanan tetapi juga budaya serta tradisi masyarakat kita,” katanya.
Mengimbas kembali pembangunan kawasan tersebut, Penguang berkata ia mula dibangunkan pada tahun 2009 dan melalui proses penambahbaikan pada 2014.
“Ini adalah kali kedua saya melawat Taman Tasik Permai ini, dan saya dapat melihat banyak perubahan, terutamanya dari segi landskap serta penggunaan bangunan yang lebih menarik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada MPS atas visi jauh mereka dalam merealisasikan medan selera Iban atau Dayak pertama di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar sebuah pentas terapung dibina di kawasan itu bagi menganjurkan pelbagai acara seperti pra-Gawai atau konsert budaya.
“Tadi saya telah berbincang dengan pengerusi MPS untuk menambah baik lagi tempat ini dan katanya MPS mempunyai dana yang mencukupi.
“MPS berjaya mengutip tidak kurang daripada RM70 juta setahun dalam hasil pendapatan.
“Walaupun jumlah ini kurang berbanding Miri (RM90 juta) atau Kuching (MBKS dan DBKU masing-masing lebih RM100 juta), namun ia tetap satu pencapaian yang besar.
“Justeru, saya berharap apabila saya datang lagi pada masa hadapan, pentas ini sudah siap dan boleh digunakan untuk mempamerkan budaya, makanan, dan kraf tangan masyarakat kita,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying, Pengerusi MPS Clarence Ting, Pengerusi Penganjur bagi Majlis Perasmian Medan Selera Taman Tasik Permai Kaunselor Augustine Merikan serta tetamu kehormat lain.
Oleh Tarani Lanting