
NIAH: Niah bukanlah kawasan yang asing dalam peta sejarah dan pelancongan Sarawak kerana terkenal di peringkat antarabangsa menerusi Taman Negara Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Keunikan tersebut menjadikan Niah bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai kawasan yang mempunyai identiti serta sejarah yang membanggakan rakyat Sarawak keseluruhannya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus menegaskan bahawa Daerah Kecil Niah merupakan kawasan yang luas serta didiami masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.
“Masyarakat Kedayan, Melayu, Dalik, Miriek, Melanau, Iban, Penan, Cina dan lain-lain sentiasa mengamalkan sikap saling menghormati serta bekerjasama dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan.
“Saya percaya kekuatan sebenar Daerah Subis bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi pada semangat perpaduan masyarakatnya yang sentiasa bersatu hati dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berjarah Subis 2026 yang berlangsung di sini, malam tadi.
Beliau yang juga juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut berharap semangat perpaduan dan keharmonian yang wujud dalam masyarakat di kawasan itu akan terus dipelihara demi memastikan pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan pada masa hadapan.
Majlis Berjarah Subis 2026 telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri Dato Dayang Morliah Awang Daud.
Tambahnya, 20 khemah raya telah turut serta memeriahkan sambutan pada malam tersebut.
“Tahniah dan syabas kepada semua peserta khemah raya yang berjaya menampilkan kreativiti, semangat kerjasama serta usaha luar biasa dalam menghias khemah masing-masing mengikut tema kampung klasik.
“Penyertaan seperti itu bukan sahaja menceriakan majlis, malah berjaya menghidupkan kembali nostalgia sambutan Hari Raya dalam suasana kampung yang semakin jarang dilihat pada masa kini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, budaya ‘berjarah’ dan kunjung-mengunjungi seperti yang diadakan amat penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Katanya, peluang seperti itu perlu dimanfaatkan untuk saling beramah mesra, bermaaf-maafan serta memperkukuhkan lagi hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, program seumpama itu akan terus menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di Daerah Subis.
Oleh Adum Liu